EKSPRESI@FINAS MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN RAMAI PEMINAT SENI TANAH AIR



Sebagai suatu usaha untuk mewujudkan pembangunan dan jaringan industri bersama komuniti kreatif dalam merakyatkan filem, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menganjurkan Program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia atau singkatannya EKSPRESI@FINAS.

Program EKSPRESI@FINAS ini akan diadakan di Kompleks Studio Merdeka, FINAS Hulu Kelang pada 23 Oktober hingga 24 Oktober ini dan ia akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti merangkumi empat komponen utama iaitu Ekspresi Bakat, Ekspresi Seni, Ekspresi Minda dan Ekspresi Komuniti.

Antara aktiviti yang telah dirancang sepanjang program tersebut adalah sesi uji bakat bersama syarikat produksi, uji bakat suara latar, sesi tayangan dan apresiasi filem tempatan, persembahan penggiat industri kreatif dan komuniti, sesi perkongsian ilmu bersama penggiat industri, ramah mesra bersama artis, sesi Townhall libat urus industri bersama KWSP, PERKESO dan banyak lagi.

Turut diadakan adalah sesi JOM PITCH! iaitu sesi pembentangan idea bagi Dana Mikro bertemakan Keluarga Malaysia. Individu yang terpilih akan menerima dana berjumlah RM5000 dan keputusan akan diumumkan majlis perasmian penutup program EKSPRESI@FINAS pada 24 Oktober. 

Majlis perasmian itu nanti akan disempurnakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa. 

Program ini juga memberi peluang kepada penggiat industri  jualan produk-produk mereka dengan penyediaan  37 tapak  reruai (booth). Kaunter bayaran kompaun Majlis Perbandaran Ampang Jaya juga akan dibuka dengan tawaran kompaun sehingga 80 Peratus. Bahkan kaunter bayaran kompaun Jabatan Pengangkutan Jalan juga akan dibuka sepanjang program berlangsung.

FINAS mensasarkan kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung pada kedua-dua hari program EKSPRESI@FINAS tersebut. Pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik seperti motorsikal, peralatan elektrik dan pakej penginapan menanti para pengunjung.

Bagi peminat industri filem dan hiburan tempatan, dijemput hadir. Masuk adalah percuma.






















Catat Ulasan

0 Ulasan