'WARM THIER WINTER' MENGALU-ALUKAN SUMBANGAN PAKAIAN SEJUK UNTUK PELARIAN SYRIA

Walaupun Syria bakal menghadapi musim sejuk tidak lama lagi, bagi pelarian Syria ia bagaikan suatu mimpi ngeri kerana kesejukan melampau boleh meragut nyawa. Namun atas inisiatif kemanusiaan, Syria Care dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa, Yayazan EZ Prihatin, dan Sinar Karangkraf telah melancarkan projek 'Warm Their Winter'. Projek khas kelolaan agensi bukan kerajaan itu adalah bertujuan untuk mengumpul beberapa koleksi pakaian terpakai bagi musim sejuk untuk pelarian Syria. 

Projek kemanusiaan yang dianggotai beberapa sukarelawan terdiri daripada pelajar Universiti Islam Antarabangsa itu juga turut menyenaraikan Rabbani, Khai Bahar, dan Wany Hasrita sebagai Ikon Kemanusiaan Syria Care. Menurut Nurdieana Mohd Mardzi, Ketua Pegawai Strategik Syria Care ,'Projek Khas Warm Their Winter ini mengalu-alukan sumbangan pakaian sejuk dari rakyat Malaysia untuk kegunaan bagi kehidupan pelarian Syria. Ia penting bagi menghadapi musim sejuk yang bakal melanda dunia tidak lama lagi. Penyertaan beberapa selebriti tanah air yang dipilih adalah bagi merancakkan momentum perjalanan projek yang khabarnya bagi membantu nasib pelarian Syria yang amat memerlukan'. 


Terdahulu, Syria Care telah menggerakkan Bantuan Musim Sejuk 10.0 (BMS10.0) sejak September lalu. Bantuan ini bukan sahaja mengumpul dana, tetapi berusaha untuk menyediakan kelengkapan asas pelarian Syria termasuk pakaian yang sememangnya penting untuk kehidupan manusia sejagat amnya. Projek khas yang diadakan ini memilih dua lokasi iaitu Zon Lembah Klang (2 hingga 8 Oktober 2022) dan Zon Selatan (17 hingga 24 Oktober 2022). 

Bagi Zon Lembah Klang, Laman 83, Bukit Jelutong Shah Alam manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Pagoh, Johor pula dipilih mewakili Zon Selatan. Kedua-dua lokasi ini mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi menghantar pakaian-pakaian tersebut seawal jam 9.00 pagi sehingga jam 4.30 petang. Hab pengumpulan juga dibuka di beberapa lokasi iaitu pejabat urusan Yayasan EZ Prihatin, Batu Caves dan Sasuke Outlet, Bangi dan Kajang, Selangor. 


Menurut Muhammad Khairul bin Baharuddin atau lebih dikenali sebagai Khai Bahar, 'Projek pengumpulan pakaian sejuk ini adalah misi kemanusiaan yang penting untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Penyertaan Khai dalam misi kemanusiaan ini bukan perkara baharu memandangkan projek ini adalah rentetan kepada projek-projek kemanusiaan sebelumnya. Bagi mereka yang ingin membantu, amat digalakkan'', ujar pelantun lagu Bayang dan Luluh itu menutup bicara semasa perasmian Projek Pengumpulan Pakaian Sejuk 'Warm Their Winter' bersama-sama Azadan Rabbani dan Asri Ubaidullah Rabbani di Laman 83, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor pada petang Ahad.



Bagi pertanyaan atau ingin menyumbang, hubungi hotline 'Warm Thier Winter' di talian 011-1136 2567 (Zana), 013-971 5901 (Fayyadh) dan 011-3703 0900 (Nisa) atau layari laman sesawang www.syriacare.org.my/warmtheirwinter atau ikuti kami di media sosial Syria Care Malaysia di Facebook, Instagram dan Twitter dan Syria Care Media di YouTube dan TikTok.

Catat Ulasan

0 Ulasan