FARID KAMIL DAN ACHA SEPTRIASA MEMBINTANGI FILEM KISAH ANWAR IBRAHIM?

Ketika Malaysia berdepan dengan gelombang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebuah filem yang memperkatakan mengenai susuk pesona tokoh politik terkenal, Datuk Seri Dr. Anwar Ibrahim dan isterinya Dato' Seri Dr Wan Azizah menjadi perbualan segelintir warganet dan peminat filem. Pelakon berkaliber dari Malaysia, Farid Kamil dan Bintang terkenal Indonesia, Acha Septriasa diberi kepercayaan bagi menggalas peranan utama dengan memegang watak penting kedua-dua tokoh negara itu.

Farid Kamil yang memegang peranan sebagai Anwar Ibrahim dan Acha Septriasa sebagai Wan Azizah itu adalah untuk filem bertajuk 'Anwar'. Filem terbitan produksi seberang dari Indonesia itu merupakan karya filem arahan pengarah terkenal Indonesia, Viva Westi. 'Anwar', yang mengisahkan perjuangan Anwar di tahun-tahun terakhir sebelum dipecat dari kerajaan itu juga turut menampilkan Hasnul Rahmat (sebagai Mahathir Mohamad), Piet Pagau dan Dewi Irawan. 

Ketika bercakap dalam satu kenyataan, pelakon Farid Kamil, 41, berkata dia menerima watak itu atas permintaan ibunya sendiri, setelah diberikan skrip kepada ibunya untuk dibaca. ''Memang, ibu saya adalah orang pertama yang membaca naskah skrip Anwar ini, dan atas inisiatif bagi menghargai pengorbanan Datuk Seri Dr. Anwar dan membantu beliau, saya galas peranan ini dengan hati terbuka. Namun tetap juga gementar memandangkan tokoh yang digambarkan dalam filem ini orangnya masih hidup", ujar Farid optimis mengatakan 'Anwar' adalah projek filem terbaik dari Indonesia, memandangkan Viva Westi adalah pengarah hebat dari negara jiran itu yang banyak memenangi anugerah perfileman di Indonesia. Bagi menghidupkan watak itu, Farid menjelaskan dia ada berjumpa dengan Datuk Seri Dr. Anwar Ibrahim bagi melihat sendiri personaliti Anwar Ibrahim secara dekat supaya watak yang dibawanya berjaya direalisasikan. 

Acha yang memegang watak sebagai isteri Anwar, Dato' Seri Dr Wan Azizah itu, teruja ketika namanya diumumkan sebagai pelakon utama, namun berharap peminat filem dapat menerima naskhah ini kerana ia menyelitkan elemen kasih sayang antara dua figura hebat itu. "Anwar dan Azizah adalah pasangan yang secocok, namun kasih sayang antara mereka sebagai suami isteri memberikan isnpirasi buat kita", ujar Acha yang pernah membintangi filem Heart, Kartini, Aku Cinta Kamu dan banyak lagi. 

Diterbitkan oleh produksi Bianglala Entertainment, 'Anwar', sebuah filem Indonesia arahan Viva Westi yang kini dalam proses akhir penggambaran. 

Catat Ulasan

0 Ulasan