High Council yang merupakan francais "Projek" selepas drama premium popular, Projek Anchor SPM (2020) berkisarkan tentang dua beradik, Fakri dan Naim yang telah terpisah sejak mereka masih kanak-kanak dan bertemu semula di KUDRAT, sebuah sekolah asrama berprestij tinggi. Mereka berdua memasuki gelanggang “Pilihanraya”, sebuah pertandingan tradisi yang dilangsungkan secara sulit dan diseliakan oleh “High Council”. Pemenang “Pilihanraya” akan dianggap sebagai pelajar paling berkuasa di KUDRAT.
Jika terdahulu, francais Projek: Anchor SPM mempersembahkan sisi-sisi ideal kehidupan di sekolah berasrama; High Council pula tidak segan membongkarkan aspek-aspek gelap yang sehingga kini, menjadi realiti sebahagian besar pelajar-pelajar sekolah berasrama. Meskipun bergenre aksi fiksyen remaja serta membawa isu tentang buli dan diskriminasi, banyak mesej positif yang ingin disampaikan kepada penonton. High Council menggabungkan isu-isu gangsterism yang dihadapi pelbagai jenis sekolah. Diharapkan kehadiran naskhah ini dapat membantu pihak tertentu mengkaji punca, kitaran dan langkah yang boleh diambil untuk menamatkan budaya tersebut.
Bagi memastikan jalan cerita dan lakon layar yang dihidangkan dapat memenuhi selera penonton, proses penyelidikan dan story development mengambil masa selama 11 bulan bermula Ogos 2021, sebelum memulakan penggambaran pada bulan Julai 2022 selama 55 hari. Idea asal drama premium ini dicetuskan oleh Show Runner (pencipta) yang juga pengarah Projek Anchor SPM iaitu Anwari Ashraf bersama pengarah baru berbakat besar, Zulaikha Zakaria. Menerusi 10 episod, penonton dapat menyaksikan jalan cerita dan konflik berbeza, aksi pertarungan penuh debaran serta permainan emosi sehingga membuatkan penonton tidak senang duduk pada setiap episod.
High Council membariskan para pelakon baru dan berpengalaman daripada pelbagai latar seperti Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Naim Daniel, Yusof Hashim, Daiyan Trisha, Sazzy Falak, Ben Tan, Sathisvaran M Magesvaran, Kahoe Hon, Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Ameer Asyraf, Muzayyin Mahyuddin, Hazeeq Dean, Aida Aris, Azhar Sulaiman dan Edika Yusof. Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, Raja Jastina Raja Arshad, juga merangkap sebagai Penerbit Eksekutif berkata “Buat konten di bawah jenama Astro Originals, kami terus komited mempersembahkan kandungan yang segar dan subjek luar dari kebiasaan. Kali ini Astro membawakan High Council yang mengetengahkan isu yang pernah menggemparkan negara iaitu kemunculan kumpulan gengsterism di kalangan pelajar sekolah berasrama penuh. Naskhah ini membawa penonton menyelami permasalahan dalam kalangan remaja. Sorotan itu bukan sahaja dari sisi luaran tetapi juga dari sudut emosi dalaman remaja yang berdepan dengan kepincangan sistem kekeluargaan, konflik serta isu seperti buli, psikologi dan pengaruh rakan sebaya di sekolah yang mungkin tidak dibincangkan secara terbuka.
High Council telah mendapat kerjasama Flash Sukan yang menyokong usaha dalam memerangi isu buli yang terjadi dalam kalangan remaja dengan menaja aktiviti pemasaran lapangan (on-ground promotion). Flash Sukan merupakan platform terbaharu berita sukan tanah air dengan sentuhan tempatan bagi berkongsi informasi, berita serta isu-isu terkini dunia sukan tanah air dan antarabangsa. Flash Sukan turut menyediakan pelbagai kandungan untuk semua golongan merangkumi isu panas sukan semasa, sukan komuniti, personaliti atlet, kelab serta sukan luar negara. Daripada liputan acara, ulasan permainan, wawancara pemain, perkongsian media dan banyak lagi.
Mengulas mengenai mengapa tidak menyambung sahaja Projek: Anchor SPM, Pengarah & Show Runner Projek: High Council, Anwari Ashraf, berkata, “Tiada lagi yang mampu saya karangkan untuk watak-watak Anchor SPM, tanpa menzalimi perkembangan watak-watak mereka di penghujung siri tersebut buat masa ini. Namun, ini tidak bermakna kami kehabisan kisah-kisah pendewasaan (coming-of age) untuk diceritakan. Jadi, saya memutuskan bahawa jalan yang terbaik untuk meneruskan antologi ‘Projek’ adalah menerusi sekolah-sekolah fiksional, watak-watak, dan tema-tema yang baharu. Terdahulu, Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) menjadi latar tempat watak-watak PASPM menempuh kematangan. Kali ini, watak-watak 'Projek: High Council' bakal menempuh rintangan-rintangan yang lebih ‘kasar’ di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT), dalam usaha mereka untuk mendalami, erti sebenar di sebalik menjadi seorang ‘lelaki’. Terdapat dua lagu runut bunyi yang akan memeriahkan High Council, iaitu lagu utamanya adalah ‘Kudrat’ nyanyian Sekumpulan Orang Gila featuring Naim Daniel dan ‘Test drive’ nyanyian Firdaus Rahmat.
Mungkin ada yang mempertikaikan siri ini bakal memberi gambaran yang tidak baik seperti satu ‘galakan’ kepada golongan remaja, tetapi Astro Originals bukanlah menghidangkan hiburan semata-mata tetapi sebagai naskah yang memberi pengajaran dan lebih kefahaman tentang apa yang berlaku. Ini seterusnya akan menjadikan kita lebih peka dan mampu mengawalnya dari terus terjadi. Setiap nilai positif boleh dijadikan tauladan dan yang buruk itu boleh dijadikan iktibar.
Saksikan High Council secara strim di Astro On Demand atau Astro GO bermula 14 Januari ini atau di saluran linear, Astro Citra saluran 108 bermula 23 Januari, setiap Sabtu, jam 9.00 malam. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, TikTok, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.
0 Ulasan