ANTARA MITOS DAN FANTASI. 'HARUM MALAM' SETARAF FILEM SERAM HOLLYWOOD?

Jika anda penggemar naskhah seram bertaraf festival, 'Harum Malam', mungkin pilihan tepat bagi meletakkan Dain Said sebagai pengarah filem 'kelas pertama'. Filem keempat arahan pengarah profilik itu bakal menerjah pawagam tempatan seluruh Malaysia bermula 9 Februari ini. Menampilkan Bront Palarae, Idan Aedan, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein, 'Harum Malam' membuka sisi cerita sebuah kisah berkaitan 'alam, kehidupan dan penghuninya'. Ini merujuk kepada kisah tentang Iqbal, seorang remaja lelaki mempunyai kebolehan luar biasa yang mampu melihat orang mati dan makhluk-makhluk dari alam ghaib. Keistimewaan Iqbal berjaya menyelongkar kisah mistik di sebuah flat yang di dalamnya terdapat sebuah bilik rahsia yang luarnya dipenuhi tumbuhan eksotik menghijau yang hidup dengan darah manusia yang dibunuh. 

Jamil, lakonan Remy Ishak seorang aktivis alam yang telah menukar flatnya menjadi rumah hijau di mana ia membiak tumbuhan eksotik termasuk tumbuhan karnivor seperti bunga bangkai yang diseludupnya dari Indonesia. Jamil memerlukan Norman lakonan Bront Palarae untuk menjaga pokok-pokoknya semasa dia ke hutan beberapa minggu. Akibat terlanggar pantang, Iqbal dan rakan-rakannya dihantui pelbagai kejadian misteri yang menggemparkan. 

'Harum Malam', membuka sisi perihal Dain Said seorang yang cukup meminati alam dan mitosnya. Maka, tidak mustahil filem keempat arahannya itu banyak bermain dengan mitos alam, cerita mistik, dan  kepercayaan dengan penambahan elemen seram bagi menyuntik mood penceritaan walaupun penulis begitu kabur dengan 'substeks' yang cuba diketengahkan Dain melalui naskhah tulisannya bersama Nandita dan Ben Omar kali ini.  Menonton 'Harum Malam' baru-baru ini, nyata memberikan kepuasan berlipat ganda walaupun filem terbitan Apparat  bersama Skop Production, dan D'Ayu Pictures ini 'diganggu' LPF (Lembaga Penapisan Filem) dan dikhabarkan sebanyak 14 tapisan dibuat pada beberapa babak yang penulis rasakan tidak wajar memandangkan adegan sebegitu bukanlah 'lucah' walaupun ada sesetengah babak dan dialog hanya sekadar menyampaikan maksud cerita melalui visual yang dipaparkan itu mungkin tidak sesuai pada pandangan mata kasar sehingga dilabelkan P13. 

Ekoran itu, penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam menempelak tindakan LPF yang mengenakan pelbagai batasan ke atas filem terbaru terbitannya, 'Harum Malam', Menurut beliau, dalam zaman sekarang yang dipenuhi dengan pelbagai karya bersifat universal, Datuk Yusof mahu LPF membuka mata untuk melihat kepentingan karya tempatan melalui sekatan pelbagai tapisan yang tidak munasabah sehingga beberapa adegan tampak dikaburkan dan disenyapkan tanpa membuat potongan agar karya arahan Dain Said ini dapat ditonton pelbagai lapisan masyarakat tidak kira peringkat usia. 

Ketika perkongsian Datuk Yusof dikongsikan kami melalui portal TikTok rasmi Wajib Tonton mengenai pemotongan LPF ke atas karya tempatan, rata-rata netizen meluahkan sisi pandangan yang berbeza. Menurut mereka, LPF perlu lebih peka dan telus dengan menapis sesebuah adegan dan rata-rata komen mengaitkan adegan 'lucah' walaupun maksud video asal adalah tentang karya seram dalam filem Harum Malam. Menurut Datuk Yusof lagi, sekiranya LPF tidak mengkaji syarat semula tapisan sekarang, pasti industri perfileman negara tidak dapat berdaya maju. Dalam situasi ini, beliau mengaitkan filem-filem yang ditayangkan di saluran penstriman popular, Netflix dengan karya tempatan yang perlu menembusi tembok LPF. 


Harum Malam antara filem seram tempatan wajib tonton yang boleh dikatakan cukup rencahnya. Dari segi lakonan, kredit wajar diberikan kepada pelakon baharu, Idan Aedan, dan Arnie Sasha, kerana kemunculan mereka dalam filem ini tampak hidup walaupun Harum Malam mengetengahkan Bront Palarae, Remy Ishak dan Nadiya Nisaa sebagai teraju bersama. Namun, sesungguhnya boleh dikatakan 'Harum Malam', antara naskhah terbaik Dain selepas Bunohan, Interchange dan Dukun. 

Dalam satu soal jawab bersama Dain Said, beliau sememangnya cukup menggemari filem-filem seram. Menurutnya, sesebuah cerita seram mestilah berteraskan dunia yang berbeza atau tempat yang berbeza bagi menambah nilai atau nuansa bagi memberikan warna yang berbeza kepada sesebuah genre. Ini mungkin berkaitan dengan penceritaan yang berhubung kait dengan pelbagai aspek masyarakat, budaya, fantasi, mitologi, cerita rakyat yang wujud dalam komuniti, keluarga dan masyarakat. Begitu juga dengan 'Harum Malam', ia mengenai fantasi saya terhadap perhubungan sesebuah keluarga yang menyimpan pelbagai rahsia. 

Perhubungan antara bapa dan anak, serta ikatan yang menyatukan keluarga ; antara intipati yang cuba diselongkar Dain bagi menterjemahkan 'Harum Malam', sebagai sebuah naskhah tentang dunia dimensi ghaib, serta rahsia gelap yang tidak boleh disimpan malahan tidak logik walaupun ia sekadar fantasi sebagai sebuah karya seram semata-mata. Namun, menonton Harum Malam, mengingatkan penulis dengan filem-filem seram dari Indonesia, Thailand, Filipina dan Amerika. Mungkin filem ini banyak bermain dengan 'dark elemen', -  kisah flat yang nampak hanyir tapi ada nilai 'horror flick' di situ. 

'Saya suka mencungkil dan membuat cerita yang jauh  di antara jurang yang bersembunyi di dalam kepercayaan dan keinginan terdalam kita yang kita nafikan, supaya tidak dianggap penghinaan dan konfrontasi'. Harum Malam sebenarnya terlalu dekat dengan jiwa kita semua . Ia ada di sekeling kita',  ujar Dain Said berharap penonton dan peminat filem tempatan dapat menerima Harum Malam sebagai sebuah karya seram tempatan.

Harum Malam mendapat tayangan perdana festival filem antarabangsa di Fantastic Fest, sebuah festival filem bercorak “genre” (horror, fantasi) yang terbesar di Amerika Utara di Austin, Texas pada September 2022. Pada bulan Oktober 2022 telah berlangsung tayangan untuk filem Harum Malam di Sitges Film Festival, Sepanyol, sebuah festival filem genre yang utama di Eropah. Di pasaran antarabangsa, Harum Malam diwakili oleh Reel Suspects, manakala XYZ Films pula mewakili filem ini di pasaran Amerika Utara. Judul antarabangsa untuk filem Harum Malam adalah Blood Flower.

Diterbitkan Apparat Film bersama Skop Production dan D'Ayu Pictures, 'Harum Malam' merupakan antara filem yang dibiayai sebahagiannya melalui Geran Pengeluaran Kandungan Digital (DKD), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). 

Harum Malam, Wajib Tonton bermula 9 Februari 2023. 



Catat Ulasan

0 Ulasan