BELAGU BUKTI KEMAMPUAN SENI DAYANG

Dua tahun lepas, ketika mengetahui Dayang Nurfaizah mengeluarkan album Belagu yang menghimpunkan 8 track lagu klasik melayu malar segar, hati ini berdebar malahan teruja, memandangkan sebelum ini Dayang pernah menerbitkan album klasik bertajuk 'Kasih' dan terbaru 'Belagu II', yang diterbitkannya awal tahun 2023. 'Belagu' dalam dialek Sarawak membawa maksud 'menyanyi', ia memberi signifikan tersendiri bahawa lagu-lagu melayu klasik wajar dipulihara sebagai satu khazanah seni dan warisan yang tidak luput ditelan zaman. Seleksi lagu-lagu melayu seperti 'tudung periuk, jikalau abang merindu, tak seindah wajah, malam ku bermimpi, gurindam jiwa, tari tualang tiga, dikirim jangan dipesan jangan, kenang daku dalam doamu, nak dara rindu, menanti diambang syurga, ketipang payung, jauh di mata, mengapa dirindu, sejak ku bertemu padamu, dari hati ke hati, dan umpan jinak di air tenang'  adalah antara lagu dendangan semula Dayang Nurfaizah menerusi karya Belagu dan Belagu II. Tidak lupa juga, sebuah lagu baharu ciptaan Aubrey Suwito bertajuk 'Rindu Menyapa', di mana liriknya ditulis oleh penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan. 

Mendapat sentuhan komposer dan penggubah muzik tersohor, Aubrey Suwito, karya Belagu mencipta sejarah dan fenomenanya apabila Dayang Nurfaizah berpeluang berkolaborasi bersama Budapest Scoring Orchestra, menjadikan susunan lagu-lagu klasik melayu nyanyian Dayang tampak elegan dan mewah. Orkestra hebat yang banyak melatari filem-filem Hollywood dan penerbitan album artis antarabangsa seperti Michael Buble', Stevie Wonder, Al Jarreau, David Foster, Gladys Knight, Steve Tyrell dan ramai lagi itu, berjaya menjadikan Belagu II antara album klasik dari Malaysia bertaraf antarabangsa. 

Menelusuri dua dekad perjalanan Dayang dalam industri seni suara tanah air, 2023 menyaksikan tahun penuh bermakna bagi Dayang apabila berpeluang mengadakan persembahan solo diiringi pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO). Konsert yang diberi nama 'Dayang Nurfaizah & MPO : Belagu' itu berjaya membuai penonton dengan rantaian lagu-lagu malar segar yang boleh disifatkan sebagai lagu 'berhantu', yang pernah didendangkan oleh Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee, Biduanita Negara Saloma, Tan Sri SM Salim, Datuk Ahmad Jais, Datuk Sharifah Aini, Katina Dahari, Datuk Andre Goh dan ramai lagi. 

Pesona Dayang menyampaikan hampir 17 buah lagu klasik melayu dari album Belagu dan Belagu II  itu membuktikan aura Dayang sebagai penghibur bertaraf legenda berbaloi malahan tiket untuk menyaksikan konsert penuh mega ini habis terjual dalam masa beberapa jam selepas ia diumumkan sejak 4 bulan yang lepas. 

Namun, seandainya barisan penyanyi asal lagu-lagu tersebut masih hidup, pastinya mereka turut bergembira menyaksikan betapa lunak merdunya suara Dayang yang gemersik membawakan lagu-lagu klasik melayu yang indah melodi dan liriknya di Dewan Filharmonik Petronas pada 11 Mac yang lalu. Persembahan Dayang diringi barisan pemuzik antarabangsa juga turut mendapat sentuhan konduktor, Ahmad Muriz Che Rose menjadikan persembahan Dayang penuh ikonik dan membanggakan.

Ketika melangkah masuk ke Dewan Filharmonik Petronas setelah berjaya memiliki dua tiket konsert ini yang dibeli awal secara online, penulis tersenyum puas melihat susuk pesona Dayang mengalunkan seleksi lagu-lagu klasik melayu yang sememangnya penulis minati. Ketika persembahan, Dayang sempat bergurau senda dengan penonton malahan turut berjoget manja. Ini membuktikan Dayang layak digelar seorang 'penghibur'. 

Rasa sebak menyelubungi segenap ruang DFP apabila Dayang menyampaikan lagu 'Menanti Di Ambang Syurga', di mana lagu ini memberikan penghormatan kepada Allahyarham Rudy Imran, yang merupakan sahabat baik dan rakan media bagi  Dayang Nurfaizah. 

Membuai rasa hampir tiga jam lamanya, sehingga boleh dikatakan tidak puas dengan persembahannya, malahan peminat turut bersorak mahukan Dayang menambah seleksi lagu sedia ada, 'Belagu' versi konsert di pentas DFP ini khabarnya akan menjelajah ke Singapura menerusi Pesta Raya 2023 : Dayang Nurfaizah Belagu yang bakal diadakan pada 20 Mei 2023 di Esplanade Concert Hall, Singapura.

Berbalik kepada persembahan Belagu di DFP, Dayang dalam satu kenyataan media selepas konsert, amat terharu dengan sokongan peminat yang datang menyaksikan konsert ini. Ini momen penting bagi Dayang untuk mempersembahkan Belagu kepada peminat khususnya generasi muda yang mungkin tidak tahu dan kenal dengan lagu-lagu tersebut. Menerusi konsert inilah, Dayang berjuang sebaik mungkin bagi mengetengahkan muzik tradisi kita yang mempunyai nilai tinggi dari segi seni dan estetikanya', kongsi Dayang berharap peminat terus menyokong hasil karya seni seperti ini.

Walaupun projek Belagu dan Belagu II telah berjaya mencipta fenomenanya, namun apakah Dayang akan tetap meneruskan legasi album klasik melayu bagi Projek Belagu III?. Dan apakah konsert pada malam 11 Mac ini akan diterbitkan dalam bentuk fizikal seperti CD dan piring hitam?. Apa yang pasti, tepuk dada tanya selera.

Catat Ulasan

0 Ulasan