PUTERI SARAH LIYANA DALAM 'ANDAI ITU TAKDIRNYA' AKAN DATANG 6 MAC INI

Pergolakan rumah tangga serta mahligai tanpa cinta menonjolkan sisi cerita sebuah keluarga yang hidup tanpa hubungan kasih sayang yang terbina. Siti Rosmizah yang terkenal dengan karya bersifat melodrama kekeluargaan kini kembali dengan 'Andai Itu Takdirnya' yang bakal bersiaran 6 Mac ini. Namun, jika takdir yang menentukan cinta dan kebahagiaan sesebuah perkahwinan, mampukah ia diubah melalui peluang kedua? Itulah tunjang utama penceritaan kehidupan gadis bernama Aleya yang mengharungi pelbagai dugaan dalam perkahwinannya menerusi ‘Andai Itu Takdirnya’. 

Slot MegaDrama kali ini memaparkan sebuah adaptasi novel terlaris penulis terkemuka, Siti Rosmizah yang mengangkat elemen keganasan rumah tangga, pengkhianatan dalam perhubungan serta perasaan hasad dengki yang bermula dengan Aleya yang menaruh hati terhadap Syed Aizril, seorang anak kepada tokoh korporat yang bersikap angkuh dengan kemewahan hidupnya. Kejadian yang tidak diduga menyatukan mereka berdua sebagai suami isteri. Namun bertentangan dengan perkahwinan impiannya, Aleya diseksa oleh Syed Aizril dan dibenci oleh mertuanya. Kehadiran Sharifah Emilin dalam kehidupannya juga membuatkan Syed Aizril menjadi goyah sehingga membuatkan Aleya hilang kepercayaan kepadanya. Kini, hanya takdir yang dapat menyelamatkan hubungan mereka berdua. 

Penceritaan drama bersiri ini merupakan karya terbaik daripada Siti Rosmizah dan menjadi drama yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat siri novelnya. Drama ini turut menekankan kepentingan keikhlasan dan kejujuran di antara suami isteri serta keburukan ego yang akan menghancurkan kebahagiaan masing-masing. 

Kekuatan naratif dan pembawaan emosi dalam setiap episod berjaya dipaparkan oleh barisan pelakon berbakat yang menerajui drama ini iaitu Shukri Yahaya yang memegang watak sebagai Syed Adam Aizril dan Hannah Delisha sebagai Aleya. Dibawah arahan pengarah oleh Jamal Khan serta terbitan SR One Sdn Bhd, drama ini turut dibintangi  Puteri Sarah Liana sebagai Umairah dan Idzham Ismail sebagai Ikram. 

Dalam satu kenyataan media, Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Ria berkata ,“Apa yang membezakan kandungan Melayu di Astro dengan pesaing-pesaing yang lain adalah kualiti hebat yang ternyata mampu meraih tontonan dan penstriman tinggi termasuk adaptasi drama novel-novel terlaris di pasaran. 


Malah antara adaptasi yang menjadi santapan para penonton adalah hasil karya Siti Rosmizah yang namanya begitu sinonim sebagai novelis terulung di negara kita. Dalam usaha memperkukuhkan strategi kandungan Melayu, pihak Astro telah berjaya mengunci antara novel-novel terhebatnya termasuk ‘Andai Itu Takdirnya’ yang merupakan karya terbaiknya. 

Bahkan strategi seperti ini mampu memperluaskan segmen penonton kami termasuk para aficionado novel karya Siti Rosmizah yang sudah pastinya akan tertarik untuk menonton drama ini di Saluran Astro Ria serta distrim menerusi On Demand.

Dengan sukses ‘Jangan Menangis Cinta’ yang telah disiarkan sepanjang bulan Ramadan tahun yang lalu, sekali lagi ‘Andai Itu Takdirnya’ bakal membawa kesinambungan rantaian drama terbaik yang dijadikan tontonan untuk bulan Ramadan ini. Dengan kisah dan garapan yang pasti menerkam jiwa para penonton, kami menjangkakan sambutan yang hebat untuk adaptasi ini. 

Kami amat bersyukur dengan pembawaan watak oleh Shukri Yahaya dan Hannah Delisha yang tepat dengan gambaran yang dihasilkan oleh Siti Rosmizah. Watak Syed Aizril yang sanggup memukul isterinya kerana egonya yang tidak dapat dikompromi. Manakala  watak Aleya yang hanya mampu bersabar dan turut dengan perintah suami durjana berjaya dibawa oleh mereka yang pastinya akan mengaut emosi para penonton. 

Manakala Penerbit drama 'Andai Itu Takdirnya', Siti Rosmizah optimis mengatakan karya yang ditulisnya ini adalah berdasarkan sebuah kisah benar yang sememangnya berlaku dalam masyarakat menerusi pengalaman kes guam beliau.

“Sebenarnya novel yang saya tulis ini merupakan dari kisah benar iaitu dari pengalaman kes guam saya. Namun penceritaannya ditukar sedikit sahaja mengikut kreativiti dan kesesuaian apabila dihasilkan dalam bentuk novel. Dari kes ini juga bermulanya kerjaya saya sebagai penulis novel kerana saya rasa ini adalah cara terbaik untuk berkongsi mesej dan pengajaran. Menerusi ‘Andai Itu Takdirnya’, saya berharap ia dapat membuka mata ramai orang tentang realiti hidup. Bukan semua ditakdirkan bahagia tetapi bukan pula kita perlu mengalah dan menjadi lemah bila diduga. Yang paling penting saling menghormati dan menghargai satu sama lain. Kekayaan tidak menjadikan kita hebat sehingga nak mendabik dada dan lupakan diri. 


Selain daripada itu, saya amat berpuas hati dengan pembikinan drama ini. Hampir 80% daripadanya memenuhi kehendak dan jangkaan saya dengan apa yang dihasilkan menerusi novel. Saya dan pihak Astro sendiri ada juga turun ke set penggambaran untuk adegan-adegan yang penting dan mencabar. Kami semua juga ada yang sama-sama turun ke set penggambaran bermandi hujan ketika satu adegan yang penting. Komitmen dari semua pihak memang terbaik. 

Mengenai pilihan watak utama pula, saya memilih Shukri Yahaya dalam beberapa drama saya kerana saya yakin dengan bakat yang dia ada. Pada saya dia seorang pelakon yang versatile dan komited dengan kerjanya. Yang paling penting Shukri kenal cara penulisan karya saya. Setiap kali diberi karya saya dia akan fahamkan karya itu dengan mendalam dan membawanya dengan penuh jiwa. Shukri adalah pelakon yang dianugerah Allah dengan bakat yang hebat. 

Karya ini sudah mempunyai ratusan ribu peminat dari hasil jualan novelnya. Yang meminati novel ini semuanya menghayatinya sehingga membaca berulang-ulang kali. Jadi apabila ia diterbitkan menjadi drama bersiri, saya yakin drama ini akan menambat hati peminat-peminat dan menjadikan drama ini sebagai fenomena. Harapan saya kepada para peminat drama dan karya-karya saya khususnya adalah jaminan saya bahawa ini merupakan drama terbaik yang dihasilkan. Kami tidak akan mengecewakan anda semua. Drama ‘Andai Itu Takdirnya’ adalah hadiah istimewa daripada saya buat peminat-peminat semua.” 


Tayangan Perdana
 

Membariskan Shukri Yahaya, Hannah Delisha, Puteri Sarah Liyana, Idzham Ismail, Dayang Areeda, Zulkifli Ismail, dan Aida Khalida, 'Andai Itu Takdirnya', akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula 6 Mac 2023, jam 10.00 malam secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.

Catat Ulasan

0 Ulasan