'RAYA SEPANJANG ZAMAN', BANGKITKAN NOSTALGIA AIDILFITRI BERSAMA SANISAH HURI, DATUK HAIL AMIR, BOB YUSOF DAN ZIANA ZAIN


Bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri tahun ini, Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) akan mempersembahkan Konsert Raya Sepanjang Zaman. Konsert yang bakal berlangsung pada 6 Mei depan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC itu bakal menampilkan Datuk Hail Amir, Bob Yusof,  Ziana Zain dan penyanyi legenda  Singapura, Sanisah Huri. 

Bakal menampilkan 16 buah lagu raya malar segar, antaranya Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Hari Mulia, Menjelang Hari Raya, Aidilfitri, Bersabarlah Sayang dan banyak lagi, Konsert Raya Sepanjang Zaman ini akan dikemudi oleh konduktor MPO, Ahmad Muriz Che Rose. 

"Ekoran daripada kejayaan konsert Cahaya Aidilfitri tahun lalu, MPO komited mempersembahkan Konsert Raya Sepanjang Zaman bagi mengisi  sambutan ulang tahun ke-25 MPO sejak ditubuhkan pada tahun 1998. Ia menyaksikan MPO yang dianggotai 60 pemuzik akan mempersembahkan beberapa seleksi lagu raya malar segar dan digubah mengikut susunan simfoni orkestra", ujar Ahmad Muriz ketika ditemui media di sebuah hotel terkenal di ibu negara.

Namun begitu, apabila melihatkan kejayaan serta sambutan penonton yang agak luar biasa terhadap konsert Cahaya Aidilfitri sebelum ini, Ahmad Muriz berkata akan ada penambahbaikan dari segala aspek termasuk pemilihan seleksi lagu dan penyanyi. Lagu-lagu yang akan dipersembahkan nanti kebanyakkannya adalah dari rantaian lagu-lagu raya malar segar popular  dan pihaknya akan terus bekerjasama dengan penggiat industri seni tanah air  bagi membawa seni dan muzik ke satu tahap yang boleh dibanggakan. 

MPO adalah khazanah negara yang sentiasa memartabatkan kandungan tempatan. Pelbagai usaha telah kami lakukan termasuk menerbitkan album instrumental lagu tradisional yang dihasilkan dalam bentuk cakera padat (CD) agar lagu tradisi kita tidak akan hilang ditelan zaman, tegas beliau ketika  sidang media di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini. 

Datuk Hail Amir, antara penyanyi legenda popular era 70-an bersyukur kerana masih menerima tawaran untuk mengadakan persembahan, apatah lagi beraksi di pentas DFP.  Menurut  beliau, "Rasa teruja untuk mengadakan persembahan memang sentiasa ada. Apabila setiap kali menerima tawaran untuk menyanyi, saya bersetuju tanpa  menolak sebarang tawaran, kerana saya percaya jika saya menolaknya, bermakna saya menutup pintu rezeki saya. 

Bisikan Hati Di Pagi Raya, yang saya rakamkan pada tahun 1977 bersama Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Seloka Hari Raya, duet bersama Uji Rashid tetap menimbulkan kenangan dan memori tersendiri. Ini lagu kesukaan saya. Insya allah jika diberi kesempatan dan jika ada dalam senarai lagu nanti, akan saya persembahkan", kongsi Datuk Hail Amir teruja menantikan sambutan penonton dan peminat terhadap konsert ini.


Sementara itu, Bob Yusof menganggap peluang untuk berkongsi pentas dengan legenda muzik terkenal seperti Sanisah Huri, Datuk Hail Amir dan Ziana Zain sebagai satu penghormatan buat dirinya. "Persembahan bintang legenda ini tetap meresap ke jiwa, sebagai penyanyi saya akan melakukan sebaik mungkin. Memang gemuruh, apabila saya diberi tanggung jawab menyanyikan seleksi lagu-lagu raya malar segar yang semua orang tahu. Tetapi, teruja tu memang la ada sebab persembahan ini cukup berbeza kerana ia diiringi orkestra yang tentunya menjadikan ia satu yang unik dan luar biasa", ujar Bob optimis berharap konsert ini dapat ditonton segenap lapisan masyarakat dan berjaya dipersembahkan.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan persembahan Datuk Hail Amir, Ziana Zain, Bob Yusof dan Sanisah Huri dalam Konsert Raya Sepanjang Zaman yang akan dipersembahkan di Dewan Filharmonik Petronas, jangan lupa untuk mendapatkan tiket-tiket berharga RM218, RM268, RM318, RM368, RM600 dan RM650 bolehlah klik di sini

Oleh: Amy Ikram
Kredit Gambar : Faiz Alif Zubir


Catat Ulasan

0 Ulasan