Selepas kejayaan drama bersiri ‘whodunit’ seperti The Maid dan program realiti selebriti popular The House, Gempak Originals Series kini mempersembahkan sebuah lagi drama bersiri dengan konsep yang segar dan berlainan.
Scammer Geng Marhaban membawakan genre komedi dengan tema ‘heist’ dan penipuan berlatar belakangkan komuniti di sebuah kampung. Mempertaruhkan pelakon muda berbakat besar, Amir Ahnaf yang popular dengan watak Kahar dari drama premium Astro Originals, High Council, sebagai teraju utama. Scammer Geng Marhaban merupakan sebuah drama bersiri arahan Wann Hafiz yang sebelum ini mengarahkan Gempak Original Series, bertajuk Beriani Gam Kak Aspalela yang pernah diterbitkan pada tahun lalu.
Drama bersiri lapan episod ini mengisahkan dua adik beradik yang tidak sehaluan, Aidil dan Adib. Namun apabila ibu mereka Hajah Quyah telah terjerat dalam kegiatan ‘scam’ ketika cuba mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Marhaban, Aidil dan Adib cuba mencari dalang yang telah menipu ibu mereka. Sepanjang memburu ‘si scammer’, banyak insiden yang berlaku termasuklah jerat percintaan di antara Aidil dan Adib terhadap seorang gadis.
Watak Aidil yang dijayakan oleh Amir Ahnaf tercetus apabila pelakon tersebut membuat kemunculan istimewa sebagai ‘rider’ di Anugerah Gempak Most Wanted pada Mac lalu dan telah menjadi tular di platform media sosial. Rentetan daripada itu, watak ‘rider’ tersebut dikembangkan dalam siri ini dan menariknya, drama ini juga menampilkan McDonald’s sebagai penaja utama bagi siri Scammer Geng Marhaban.Selain Amir, siri drama ini juga dibintangi oleh wajah-wajah baru seperti pempengaruh terkenal Lorenzo Irmann dan Qistina Khaled di samping pelakon berpengalaman seperti Ozlynn, Watie Sadali dan Che Kem. Drama tulisan Sham Hashim ini juga menampilkan Raja Azura dan Zahid AF. Bagi mewujudkan suasana kampung, pembikinan drama ini telah berjalan di Sekinchan, Kuala Selangor selama 17 hari.
Menurut Ketua Content Studio Astro, Syazwan Zakariah, “Gempak Originals komited dalam mempersembahkan konten yang bukan saja ‘gempak’ dan berkualiti tinggi, malah ianya haruslah dekat dengan masyarakat kita. Dengan kehadiran siri ini, kami berharap ia bukan sekadar memberi nilai hiburan semata-mata, tetapi menyedarkan penonton mengenai aktiviti dan taktik ‘scammer’ masih berleluasa dan muncul dalam pelbagai cara. Gempak Originals juga sering menampilkan bakat-bakat baru yang berpotensi besar seperti Amir Ahnaf, Lorenzo Irmann dan Qistina Khaled. Kami percaya pemilihan Amir sebagai tunjang utama adalah tepat pada masanya, untuk melihat sisi berbeza Amir dalam watak komedi. Bagi Lorenzo pula, siri ini merupakan penampilan pertama menerusi watak utama dan keserasian gandingan bersama Amir adalah salah satu kekuatan siri ini.”
Ketika bercakap kepada media, pengarah Scammer Geng Marhaban, Wann Hafiz pula melahirkan rasa teruja apabila siri ini akan menemui penonton tidak lama lagi. “Ini merupakan kali pertama saya mengarahkan genre heist comedy dan tentunya pengalaman saya mengarahkan drama serta filem komedi sebelum ini banyak membantu dalam menghasilkan Scammer Geng Marhaban. Kali ini agak lain fenomenanya kerana sebelum ditayangkan pun ramai yang sudah sedia maklum tentang drama ini sebagai contoh di platform TikTok. Saya juga sebenarnya terkejut kerana drama ini belum disiarkan tetapi ramai yang sudah tahu. Jadi saya anggap perkara itu sebagai sesuatu yang positif. Saya harap penonton akan terhibur menonton siri seperti mana saya dan semua yang terlibat teruja memberi komitmen yang tinggi", ujar Wan Hafiz optimis berharap drama ini dapat diterima penonton apabila ditayangkan kelak.
Pelakon Utama Scammer Geng Marhaban, Amir Ahnaf, juga melahirkan rasa teruja untuk berlakon dalam karya komedi. “Selepas kemunculan saya dalam High Council, watak Kahar telah memberi impak besar dalam karier saya. Lanjutan daripada itu, saya mengimpikan watak-watak berbeza yang mampu menampilkan sisi berbeza dan percaya watak Aidil adalah salah satu daripadanya. Scammer Geng Marhaban ini bagi saya cabarannya adalah berlakon ketika waktu berpuasa. Ditambah pula watak saya iaitu Aidil seorang yang sangat ceria dan aktif, memang banyak menggunakan pergerakan. Jadi apa yang harus saya lakukan adalah kena pandai simpan tenaga. Secara jujurnya saya sendiri seronok dapat menjadi sebahagian daripada Scammer Geng Marhaban, dengan cerita yang mencuit hati ini saya harap dapat menceriakan anda,” ujarnya.
Saksikan Scammer Geng Marhaban bermula 4 Mei di Astro Ria, saluran 104, setiap hari Khamis, jam 11 malam. Penonton juga boleh saksikan secara strim di platform Astro GO ataupun On Demand. Ikuti Instagram, TikTok, Twitter, YouTube dan Facebook Astro Gempak atau layari gempak.com untuk ‘digital extension’ siri ini secara ekslusif selain paparan klip-klip menarik Scammer Geng Marhaban.
Amy Ikram by wajib tonton.
Gambar oleh : Astro
0 Ulasan