Apabila menjelangnya hari raya, pastinya corong radio, laman sosial, kaca televisyen dan platform muzik terkini pasti menyiarkan seleksi lagu-lagu raya malar segar. Lagu Nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad masih berbekas dihati malahan menjadi antara lagu wajib yang seringkali dimainkan atau diputarkan oleh juruhebah muzik, pelayar media sosial dan juga peminat muzik. Lagu seperti Selamat Hari Raya, Balik Kampung, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Inang Aidilfitri dan banyak lagi itu turut dimuatkan dalam album Balik Kampung yang diterbitkan EMI Music pada tahun 1993.
Bagi Penghibur No 1 Asia, Sudirman Hj Arshad, kenangan berhari raya cukup bermakna dan sebab itulah penyanyi pujaan ramai ini menulis coretan berkenaan Aidilfitri dan Saya yang pernah dimuatkan di dalam buku 'Dari Dalam Sudirman' yang pernah terbitkan pada Disember 1986. Ingin tahu apa yang dicoretkan Sudirman dalam buku tersebut?. Nah, kami sajikan kepada anda coretan penuh yang ditulis oleh Sudirman di dalam buku tersebut. - Amy Ikram
AIDILFITRI DAN SAYA
Tanggungjawab seorang ayah dan ibu memang tenat apabila menjelang hari raya. Ini saya sedari apabila saya merenung kembali musim raya semasa zaman kanak-kanak dulu. Waktu itu saya tidak tahu apa itu masalah. Kena sebat, kena pukul, itu bukan masalah. Itu perkara biasa.
Kalau baik dibalas baik, jahat dibalas jahat. Yang penting bagi saya ketika itu ialah mempunyai baju baru, sekurang-kurangnya tiga pasang untuk tiga hari raya, kasut baru, wang saku yang cukup dan kuih-muih yang lazat untuk dihidangkan kepada rakan-rakan. Saya tidak peduli bagaimana ayah mendapatkan ini semua. Pokoknya perkara-perkara ini adalah syarat-syarat yang perlu untuk saya berhari raya. Dan saya mesti berhari raya sebab saya puasa!
Seminggu sebelum raya, emak saya akan sibuk menyediakan berbagai-bagai jenis kuih. Emak memang pandai memasak. Selalunya emak buat kuih selepas sahur supaya jiran-jiran tidak mengetahui kuih apa yang dibuatnya. "Suspense," katanya. Dan pada pagi raya dia akan bertukar-tukar kuih dengan jiran sebelah-menyebelah. Dan saya tolong ulikan tepung, susun kuih ke atas tudung periuk untuk dimasukkan ke dalam dapur. Kemudian saya mencucuk kuih dengan lidi untuk memastikan sama ada ia sudah masak atau belum.
Kalau goreng kacang, saya tukang kupas kulit kacang. Kalau emak buat serunding daging, saya tukang siat daging. Emak kata mesti siat halus-halus, macam kapas. Kadang-kadang saya ke rumah nenek saya sebatu jauhnya dari rumah kami. Nenek suka buat kuih bahulu dan dodol. Saya suka memukul telur untuk dibuat kuih bahulu. Saya juga amat sukakan dodol panas.
Emak juga sibuk menjahit pakaian baru kami menjelang raya. Tetapi saya lebih berminat memakai baju 'koboi' (Cowboy) yang berambu-rambu atau baju 'zorro' yang bertopeng hitam. Saya memang gila. Dan emak selalu melayan kegilaan saya itu tanpa banyak soal. Kan saya berpuasa, dan hanya orang berpuasa saja boleh berhari raya.
Ayah tidak kaya. Tetapi tidak mahu menghampakan kakak saya. Tetapi apabila saya meminta sepasang kasut biru untuk dipakai pada hari raya, ayah mengecat kasut putih saya dengan cat warna biru. Kalau saya marah-marah, ayah berkata: "Cuba Sudir jadi ayah, dan ayah jadi Sudir, ke manalah Sudir nak cari duit untuk ayah."
Pada pagi raya, kami sekeluarga ke masjid untuk sembahyang raya. Sekembali dari masjid saya bergegas menukar pakaian saya..... saya malu-malu keluar pintu, takut diketawakan rakan-rakan. Teng.... tereng.... teng.... teng.... tereng.... saya keluar rumah dengan pakaian 'zorro'. Dan rakan-rakan saya ada yang 'terror'. Kami mengatur rancangan. Pagi-pagi lagi kami menziarah jiran-jiran.
Kadang-kadang dapat duit. Kami mesti dapat sebanyak yang terboleh, kerana kami akan menonton semua wayang gambar yang ditayangkan di bandar kami dan juga bandar yang berhampiran. Kami juga akan berbelanja di gerai-gerai yang sebelum ini cuma menjadi medan makanan tontonan kami.
Selalunya, pada hari raya, kerana terlalu banyak kuih-muih, saya tidak berselera untuk makan. Namun demikian, saya tidak dapat menolak rendang, lemang dan nasi kapit. Kadang-kadang kami berkerumun mengelilingi radio mendengar lagu-lagu permintaan dan ucapan-ucapan selamat hari raya.
Pada pagi raya kedua, penghuni-penghuni sekampung akan ke tanah perkuburan bertahlil. Di akhir tahlil tersebut, seorang tua akan diwakilkan mendermakan sedikit wang kepada kanak-kanak yang hadir. Ramai di antara kami yang berpindah-randah dari satu tempat ke tempat di sekitar kawasan perkuburan yang mendapat sedekah sebanyak yang terboleh. Waktu itu, lima puluh sen macam dapat rumah batu!
Semakin kami dewasa, semakin bertukar suasana raya di rumah saya. Walaupun kami sudah berjauhan membela untung masing-masing, pada malam raya kami akan bergelimpang bersama-sama di tengah ruang rumah di atas tikar mengkuang. Kami bercerita, Kerapkali cerita-cerita kami melarat kepada cerita hantu. Dan semuanya takut tidur di sebelah tingkap. Ayah cuma tersenyum di atas kerusi kesukaannya, sambil melihat gelagat anak-anaknya. Saya tahu saat-saat begini adalah saat-saat yang termanis buat ayah. Kerana itu sepanjang hayatnya, kami memastikan yang kami akan pulang untuk beraya walaupun sehari sahaja. Dari semua ini merapatkan lagi kami sekeluarga.
Saya tahu selepas raya, rumah ayah akan lengang kembali. Anak-anaknya telah besar dan perlu memulakan penghidupan sendiri. Saya juga tahu perasaan ayah ketika itu. Tetapi perjuangan kami harus diteruskan juga. Dan saya tahu ayah memahami hakikat ini.
Kredit Gambar: Pustaka Sudirman, Penghibur Legenda Sudirman.
0 Ulasan