IKLAN RAYA PETRONAS 2023 PAPARKAN PERTEMBUNGAN DUA IRAMA MELALUI MUZIK

Membawa tema 'Akar untuk Masa Depan', Dilema Irama sebuah filem pendek terbitan Petronas yang mengupas persoalan tentang irama lagu tradisional melalui perjalanan kisah seorang bapa dan anak lelaki yang berkongsi minat yang besar terhadap muzik walaupun berbeza genre. 

Diarahkan oleh Hyrul Anuar, Dilema Irama sebuah cerita yang memaparkan keindahan budaya dan warisan Malaysia menerusi lagu dan muzik yang menjadi nadi kepada pembangunan sahsiah diri dan hidup bermasyarakat berbilang bangsa. Walaupun kita berdepan dengan muzik moden yang mempunyai banyak jenisnya, namun irama muzik tradisi tidak boleh dilupakan, bahkan ia  cukup  popular dan masih relevan sehingga ke hari ini.

Dihasilkan sempena perayaan Aidilfitri, filem ini merakamkan suka-duka kisah sebuah keluarga  yang berdepan dengan minat, kehendak dan masa depan. Keindahan melodi melalui gubahan muzik klasik menjadi intipati menarik yang cuba diketengahkan pengarah menerusi 'Dilema Irama'. Ia membawa penonton kepada penemuan diri dan hubungan kekeluargaan sekaligus menjamin keharmonian dan kesejahteraan bersama. 

Cerita yang sarat dengan emosi ini mengisahkan Nadim seorang komposer muzik kontemporari yang baru muncul, menghadapi dilema apabila dia dengan berat hati bersetuju untuk bermain gambus bagi persembahan tradisional bapanya di acara Iftar. Persetujuan Nadim menimbulkan konflik  antara mereka, bahkan semangat bapanya terhadap seni melayu tradisi membuatkan Nadim dan bapanya kembali bersatu melalui muzik. 

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata, "Lagu tradisional adalah warisan tulen rakyat Malaysia. Ia mencerminkan budaya pelbagai generasi yang kaya dengan seni dan adab yang baik. Keindahan lagu-lagu perayaan tradisional inilah yang mendorong kami untuk menghasilkan 'Dilema Irama', yang menampilkan tiga gubahan muzik asli. Dengan tema 'akar untuk masa depan', kami berharap ia akan memberi inspirasi terhadap rasa bangga kita tentang khazanah seni dan warisan yang menjadi tradisi dan adat budaya berzaman". 

Tonton 'Dilema Irama' yang kini ditayangkan di laman Facebook dan YouTube Petronas mulai 3 April 2023. 

Amy Ikram by wajib tonton.
Gambar: Petronas

Catat Ulasan

0 Ulasan