'KALAU TIDAK ADA MELAYU, JANGAN SEBUTLAH LAGU RAYA', - S. ATAN

Setiap kali menjelangnya hari raya Aidilfitri, lagu-lagu raya era 50-an sehinggalah ke 90-an menjadi pilihan wajib pendengar dan peminat muzik. Seleksi lagu-lagu raya dendangan Datuk Sudirman Hj. Arshad, Tan Sri P. Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk Sharifah Aini, Rosemaria Abd Hamid, Noorkumalasari, Aman Shah, Uji Rashid, Datuk Hail Amir, Azlina Aziz, Gaya Zakry, Datuk Jamal Abdillah, Datuk DJ Dave, Dato' Shiela Majid sehinggalah kepada era Dato' Sri Siti Nurhaliza tetap digemari malahan menjadi antara lagu popular yang cukup diminati pelbagai lapisan masyarakat.

Kualiti sesebuah lagu seringkali diperkatakan, malahan siapa penciptanya  menjadi tanda tanya bahkan penyanyi yang menyanyikan lagu tersebut turut juga terkena tempiasnya. Jika dilihat dalam penghasilan lagu-lagu raya hari ini , menurut pencipta dan penggubah lagu tersohor, S. Atan, sesebuah lagu yang dicipta perlu mempunyai nilai kemelayuan disamping gaya penulisan lirik yang sempurna bagi menterjemahkan budaya hidup orang melayu melalui cerita dalam lagu, namun sekiranya lagu yang dihasilkan terlalu mengikut budaya barat dengan elemen 'rap' sepenuhnya, maka lagu yang dicipta itu tidak layak dilabelkan sebagai lagu raya orang melayu. 

"Memang perlu ada kemajuan dalam sesebuah lagu, tidak kiralah lagu itu datang dari mana sekalipun, siapa penciptanya, penulis liriknya, tetapi lagu itu mesti ada nilai kemelayuan. Kalau sekadar nak buat lagu raya macam lagu barat, jangan sebutlah lagu raya. 

Contohnya lagu Sheila Majid. Ada elemen jazz, namun cara nyanyian dan susunan muziknya ada unsur kemelayuan. Kita orang melayu, ada identiti kita sendiri, tak payahlah nak bangga dengan lagu yang kita cipta kalau dalam lagu tu ada unsur rap, lebih-lebih lagi lagu raya hari ini. Bukan tak bagus, tapi nilai melayu itu sudah tidak ada!. Kenapa?. Kalau nak lagu itu kekal lama, jadi malar segar, sentiasa diminati pelbagai lapisan masyarakat, imej melayu itu mesti ada. Sampai bila kita nak jadi hamba kepada konsep lagu-lagu barat?. Bukan tak boleh, tapi budaya Melayu jangan lupa", tegas S. Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, 74; seorang komposer dan penggubah lagu tersohor yang banyak menghasilkan lagu-lagu raya malar segar seperti Balik Kampung, Menjelang Hari Raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Cahaya Aidilfitri, Hari Mulia, Selamat Hari Raya, Indahnya Beraya di Desa, Salam Aidilfitri, dan banyak lagi.

Ketika ditemui penulis dalam satu temu bual khas bersama S. Atan di Kompleks Studio Merdeka, Finas, S. Atan begitu komited memperkatakan koleksi lagu-lagu yang pernah beliau hasilkan. Sebanyak lebih 1,000 buah koleksi lagu melayu ciptaannya kini menjadi popular dan malar segar selepas beberapa tahun. Menurutnya, tiada rahsia yang perlu disembunyikan tetapi untuk menjadi 'malar segar' bukan suatu perkara yang mudah tetapi ia terhasil dengan sendirinya selepas beberapa tahun. 

Dalam pada itu, S. Atan juga memuji sikap beberapa penyanyi era sebelumnya termasuk Penghibur No. 1 Asia, Datuk Sudirman Hj. Arshad. Menurutnya, Sudirman adalah seorang penyanyi yang cukup istimewa. Walaupun terdapat krisis dalaman sehingga saya mengambil keputusan untuk tidak menerbitkan albumnya lagi, namun S. Atan optimis mengatakan Sudirman adalah seorang penyanyi yang cukup berbakat. 

"Sudirman seorang yang banyak idea. Dia seorang yang paling bagus dalam penghafalan lirik. Bagi je apa lagu pada dia, Sudirman akan nyanyikan dengan sempurna. Namun pemergiannya satu kehilangan besar buat negara", ujar S. Atan ketika mengimbas saat-saat manis bersama Sudirman ketika menghasilkan 5 buah album Sudirman bersama EMI Music.

Ketika di tanya mengenai penulis lirik pula,  S. Atan berkata,  Kamali Hudi, Haron Abdul Majid, Siso, dan Datuk Habsah Hassan antara penulis lirik kegemarannya. 

"Saya dah 'confirm' siapa akan menulis lirik untuk sesuatu lagu itu ketika mesyuarat diadakan. Ini kerana, mereka tahu dan faham apa (susunan lirik) yang saya nak untuk lagu itu. Paling penting, kena ada sebut hari raya.

"Saya juga serahkan sepenuhnya kisah penceritaan dalam lagu kepada penulis lirik. Saya tak ganggu kreativiti mereka, tapi kena tahu 'part' (bahagian) mana yang sesuai nak sebut hari raya itu dan mesti ada unsur kemelayuan," katanya.

Walaupun kita dibanjiri dengan pelbagai lagu raya baharu, namun bagi S. Atan tidak salah untuk kita memodenkan sesebuah lagu raya, namun perlu diingati bahawa sesebuah lagu raya yang dicipta mestilah mempunyai nilai kemelayuan.

"kalau tidak ada Melayu, jangan sebutlah lagu raya", S.Atan

Ikuti Perkongsian S.Atan, Datuk Habsah Hassan dan Datuk DJ Dave mengenai Legasi Lagu Raya. 

Amy Ikram by wajib tonton
Kredit Gambar: Ruffey Rahman

Catat Ulasan

0 Ulasan