SAZALI P. RAMLEE AKAN TERUS MENARUH HARAPAN

Walapun berbaki cuma tinggal beberapa bulan sahaja lagi, namun royalti Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee masih belum capai kata putusnya. 29 Mei depan, adalah tarikh keramat di mana Seniman Negara yang amat dicintai itu sudah meninggalkan kita hampir 5 dekad. Pelbagai persepsi timbul apabila Sazali, 64; anak kandung Allahyarham  terus berjuang untuk membolehkan royalti dari hasil karya bapanya itu disambung walaupun beliau terpaksa menaruh harapan berulang kali.

Sazali ketika bercakap kepada media, menjelaskan beliau tidak akan berhenti berharap sekalipun terpaksa mengorbankan jiwa dan raga bagi memastikan nasibnya terbela. Sazali yang kehilangan punca pendapatan akibat masalah kesihatan juga memaklumkan pada bulan depan, cukup 50 tahun tarikh royalti diberikan sebagaimana mengikut kontrak perjanjian yang diurus Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP). 

"Mulai tahun 2024 saya tidak akan menerima royalti lagi dan ini sedikit sebanyak membebankan kehidupan saya sekeluarga memandangkan saya dan isteri tidak boleh keluar bekerja. Jadi, dengan wang royalti yang diterima sebelum ini, ia sedikit membantu kehidupan kami terutamanya untuk mendapatkan rawatan kesihatan berkala dari Hospital Pakar di Cheras,"  ujar Sazali optimis berharap keluhannya ini mendapat perhatian kerajaan melalui kementerian berkaitan.

Sazali berkata, sebanyak RM17,000 diterimanya pada tahun lalu daripada MACP walaupun jumlah tersebut semakin berkurangan sejak Covid melanda. Mengikut rekod, pada tahun sebelumnya, beliau menerima jumlah yang agak baik, namun selepas itu seolah-olah pembahagian royalti ayah saya, P. Ramlee tidak penting lagi.

Menurut Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam satu kenyataan berkata, "Kerajaan memberi tempoh hingga akhir tahun ini untuk membuat keputusan sama ada tempoh pembayaran royalti muzik kepada waris Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dilanjutkan daripada 50 tahun kepada 70 tahun. Perbincangan dan pertimbangan terhadap syor itu hanya dapat dibuat selepas 31 Disember depan.

Namun, Jika mengikut Aka Hak Cipta 1987, tarikh tamat tempoh 50 tahun bayaran royalti P Ramlee adalah pada 31 Disember depan. Kita ikut kalendar tahun itu berakhir, bukan pada tarikh Allahyarham P Ramlee meninggal dunia iaitu 29 Mei ini. Berikutan royalti ini milik Seniman Agung, sebarang kata putus perlu mendapat persetujuan Kabinet," ujarnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Berita Harian pada 2 Mac yang lalu. 

Mengenai kemungkinan tempoh bayaran royalti dilanjutkan kepada 75 tahun seperti dilaksanakan Singapura, Salahuddin menyerahkan perkara itu kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk menelitinya.

Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 29 Mei 1973 akibat masalah jantung, merupakan seorang penyanyi, pencipta lagu, penulis lirik, dan pelakon yang mencipta nama menerusi filem-filem melayu klasik di Studio Jalan Ampas, Singapura. 

Amy Ikram by wajib tonton.
Kredit Gambar : Arkib NSTP

Catat Ulasan

0 Ulasan