Anugerah Telenovela kali ke-9 adalah anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) bersama Intact Media Sdn. Bhd. Anugerah ini merupakan sub-kategori kepada Anugerah Buku Negara yang mula diperkenalkan pada tahun 2005 dan melaluinya Anugerah Telenovela telah dianjurkan secara berasingan. Kini, Anugerah Telenovela telah menjadi acara tahunan yang berprestij bagi mengiktiraf dan meraikan kejayaan warga industri seni kreatif tempatan yang sentiasa menerbitkan karya berkualiti tinggi dan berpotensi untuk menembusi pasaran di peringkat global. Ini bertepatan dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia oleh UNESCO, atau UNESCO – Kuala Lumpur World Book Capital 2020.
Anugerah Telenovela kali ini merupakan edisi kesembilan (ATN9) dengan menghimpunkan sebanyak 46 calon karya adaptasi novel ke telenovela (drama bersiri), telefilem dan filem bagi tayangan dari Januari hingga Disember 2022 berentap bagi merebut lebih 40 Anugerah dalam 2 Kategori, iaitu Kategori Popular (100% Undian Online) dan Kategori Terbaik (100% Penjurian oleh Juri Professional). Kesemua karya adaptasi yang tercalon mestilah ditayangkan di televisyen atau stesen satelit atau stesen umum (Free To Air. FTA) atau pawagam. Buat masa ini, pencalonan bagi tayangan melalui laman sosial tidak akan diterima.
Bagi kategori popular, undian 100% dibuat oleh kumpulan peminat melalui laman web rasmi https://www.telenovela.my melalui 5 anugerah, manakala Kategori Terbaik pula penilaiannya dibuat oleh kumpulan juri profesional. Sebanyak 5 kategori terbaik dengan 23 anugerah yang dipertandingkan juga bakal merebut 6 anugerah khas dengan 2 anugerah kemuncak antaranya Bintang Telenovela dan Ratu Telenovela.
Menurut pelakon dan Ratu Telenovela bagi Anugerah Telenovela ke-8, Siti Saleha Mohd Baharum, 33, berkata, sebagai anak seni dan pelakon yang terpilih membintangi beberapa buah karya sama ada filem, telefilem, drama mahupun sebagainya, harus peka dan bersungguh-sungguh dalam menonjolkan bakat tanpa ada rasa putus asa walaupun dikritik atau dilabelkan sebagai 'tidak boleh berlakon'. Ini cabaran terbesar bagi mereka yang mahu berjaya sebagai seorang bintang yang disegani dalam dunia lakonan tempatan.
Seiring hasrat Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) bagi memperkasa usaha memacu industri kreatif tempatan menembusi pasaran global, pemenang Kategori Telenovela Terbaik Anugerah Telenovela Ke-9 berpotensi dipertandingkan pada Anugerah Telenovela Antarabangsa (International Telenovela Award) yang akan berlangsung pada penghujung tahun ini. Langkah ini seiring usaha mengangkat karya kreatif tempatan ke peringkat global dan memperkenalkan produk Malaysia di pentas dunia.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr. Ahmad Ibrahim atau Mat London yang juga Pengerusi Panel Penjurian Professional ATN9 berkata, 46 karya yang dipertandingkan ini banyak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Penilaian paling utama adalah asas naratif atau penceritaan berpaksikan konsep yang berlandaskan kekayaan budaya, kesopanan dan amalan bangsa. Begitu juga aspek bahasa yang berhikmah dan sopan santun.
Tambah Mat London lagi, penganjuran Anugerah Telenovela bukan sahaja memberi pengiktirafan terhadap penglibatan penggiat seni dalam naskhah adaptasi novel tetapi ia juga turut memberi penghargaan kepada hasil kreativiti penulis tempatan. Selain itu, Anugerah Telenovela mampu menggalakkan budaya membaca terutama di kalangan golongan belia bagi menghasilkan karya yang berkualiti seiring dengan hasrat kerajaan bagi membawa industri kreatif bukan sahaja di kenali dalam negara malahan mampu merantau jauh ke persada dunia.
Anugerah Telenovela ke-9 ini menyenaraikan 5 anugerah bagi kategori popular iaitu Novel Popular, Telenovela Popular, Pelakon Lelaki Telenovela Popular, Pelakon Wanita Telenovela Popular dan Pasangan Serasi Popular. Manakala bagi kategori terbaik, sebanyak 5 kategori bagi merebut 23 anugerah iaitu Novel (5 anugerah), Telenovela Drama Bersiri (7 anugerah), Telefilem (6 anugerah), Filem (6 anugerah) dan satu anugerah bagi Lagu Tema Terbaik. Bagi Anugerah Khas pula, sebanyak 6 anugerah dipertandingkan dan menariknya pada acara kemuncak Anugerah Telenovela ke-9 nanti, ATN9 akan menobatkan pelakon lelaki dan wanita kegemaran anda sebagai Bintang dan Ratu Telenovela.
Kelainan dan Pembaharuan diperkenalkan
Melalui konsep "Mengundi Sambil Menderma", setiap nilai pengundian ini akan membolehkan pengiktirafan dan sokongan diberikan kepada karyawan, penerbit, pengarah, pengarang dan artis serta tenaga kerja yang terbabit secara langsung atau tidak langsung, dalam membawa karya agung lebih jauh lagi. Bagi peminat-peminat yang mengundi di dalam kategori popular yang dipertandingkan ini, mereka berpeluang untuk memenangi HADIAH-HADIAH BULANAN, BONANZA dan HADIAH KHAS yang ditawarkan.
Pengerusi Eksekutif Intact Media Sdn Bhd, En Mohammed Rishi Md Ross, berkata sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WCKL) sehingga 4 Jun 2023 ini, pengundi-pengundi bertuah yang membuat pengundian di WTCKL akan berpeluang mendapat hadiah-hadiah harian yang disediakan sepanjang tempoh Pesta Buku ini.
Pengundian Atas Talian (Online) bagi Fasa 1 dibuka kepada peminat menerusi laman portal https://www.telenovela.my bermula dari 27 Mei 2023, bagi memberi peluang kepada para peminat tegar untuk mengundi karya-karya adaptasi “Book2Screen”, iaitu novel ke telenovela (drama bersiri), telefilem dan filem yang mereka rasakan layak untuk bergelar pemenang.
Senarai penuh pencalonan Anugerah Telenovela Ke-9 boleh dirujuk melalui laman web rasmi Anugerah Telenovela: https://www.telenovela.my .
Amy Ikram by wajib tonton
0 Ulasan