'Anwar The Untold Story' yang diilhamkan dari sebuah kisah benar mengenai perjuangan Anwar Ibrahim menentang rasuah dalam kerajaan mendapat tentangan hebat sehingga dirinya terpenjara. Filem yang mengambil latar masa antara tahun 1993 dan 1998 itu menggambarkan bagaimana Anwar ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri yang cuba berusaha membina kemajuan dalam negara tetapi menentang amalan rasuah dikalangan pemimpin menjadi plot utama filem terbitan Bianglala Entertainment ini.
Ketika selesai tayangan media khas dan VIP filem biografi ‘Anwar, The Untold Story’ di Dadi Cinema Pavillion KL malam tadi (8Mei), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menahan rasa sebak. Ingatannya kembali mengenangkan perjuangannya memerangi ketidakadilan dan rasuah menerusi filem satu jam 30 minit ini.
“Ini cerita yang mesti diceritakan, perjuangan menentang rasuah perlu diteruskan. Sekarang saya menjadi perdana menteri, saya mahu menyelamatkan negara ini dan memerangi rasuah dan perangi mereka bersungguh-sungguh," katanya dengan disambut tepukan gemuruh.
Pelakon tempatan Malaysia, Farid Kamil Zahari memegang watak utama sebagai Anwar Ibrahim manakala pelakon terkenal Indonesia Acha Septriasa memainkan watak sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Filem ini juga menampilkan Hasnul Rahmat yang memegang watak sebagai Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ketika bercakap kepada media, pengasas dan pengerusi DMY Creation Datuk Mohamed Yusoff menggalakkan orang ramai untuk menonton filem tersebut bagi merasai perjuangan yang dilalui perdana menteri dan menyaksikan sekilas perjalanannya yang merupakan salah satu perubahan politik paling luar biasa dalam sejarah Asia Tenggara moden.
"Kami berharap semua terutama golongan belia menyokong dan menonton filem ini untuk mengetahui perjuangan sebenar perdana menteri kita. Filem ini menunjukkan kepentingan membasmi rasuah di negara ini," katanya.
Antara yang menghadiri majlis tersebut adalah Dr Wan Azizah Wan Ismail, penyanyi Malaysia Dato' Seri Siti Nurhaliza, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, pemuzik, pelakon dan artis Datuk M Nasir, pelakon dan penerbit veteran Fauziah Ahmad Daud, pengasas dan pengerusi DMY Creation Datuk Mohamed Yusoff, penulis lirik dan penulis skrip prolifik Datuk Habsah Hassan, penerbit filem tempatan Datuk Yusof Haslam dan pembuat filem popular David Teo.
Ketika berucap kepada barisan media dalam satu sidang media khas selepas tayangan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap penonton dan peminat filem dapat menonton filem ini.
"Saya berharap dengan adanya karya sebegini, industri filem tempatan melalui FINAS dapat memberi ruang kepada pengkarya untuk menghasilkan lebih banyak filem yang baik, bersifat terbuka tanpa ada sebarang unsur menyekat kreativiti mereka. Kalau tidak kita susah untuk mengangkat martabat filem kita jika banyak tapisan dilakukan", tegas Anwar berharap filem yang bakal ditayangkan kepada umum 18 Mei ini dapat ditonton oleh semua rakyat Malaysia.
Ketika ditanya adakah beliau akan meminta penerbit untuk membuat suntingan semula memandangkan beberapa dialog, babak dan visual dalam filem ini mungkin mencetuskan kontroversi. Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata tiada sebab untuk suntingan dilakukan, kerana filem ini sebuah kisah benar yang harus dipertontonkan kepada khalayak dan sekiranya ada babak yang buat keluarganya tersinggungpun, beliau akan memujuk mereka agar memahami dan menerima naskhah filem ini.
Turut hadir pada majlis tayangan tersebut ialah pengerusi eksekutif Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd Puan Sri Cindy Lim, Pengarah Urusan Yusrych Global Yusry Makmor.
Tayangan awam ‘Anwar, The Untold Story’ akan ditayangkan di semua pawagam utama di seluruh negara mulai 18 Mei 2023. Tempahan awal untuk filem itu akan dibuka tidak lama lagi.
Gambar oleh: Zarrin, FB Siti Nurhaliza, FB Anwar Ibrahim
0 Ulasan