Dalam usia 71 tahun itu, suara biduanita hebat ini masih sedap didengar apatah lagi nafasnya masih kuat walaupun dalam usia sebegini ramai dikalangan mereka sudah pun bersara malahan tidak aktif lagi, tetapi bagi Sanisah Huri usia bukan penghalang bagi dirinya terus berbakti di arena seni suara tanah air. Apabila kelibat pertama kali Sanisah Huri ini muncul di pentas DFP, beliau menerima tepukan gemuruh dari penonton malahan rata-rata dari peminat muzik yang hadir bersetuju jika dikatakan Sanisah Huri adalah penghibur legenda terkemuka negara yang masih berbisa sehingga tiket jualan bagi menyaksikan Konsert Raya Sepanjang Zaman ini habis terjual.
Menurut Ahmad Muriz Che Rose yang merupakan konduktor muzik konsert ini menyifatkan Sanisah sebagai penyanyi yang sangat hebat, dan "Bersabarlah Sayang yang dipersembahkan Sanisah pada malam tadi merupakan lagu yang sangat mencabar untuk dipersembahkan malahan proses gubahan dalam lagu ini disediakan dengan teliti dan untuk merealisasikannya, saya perlu memahami karektor penyanyi, walaupun dalam masa yang singkat. Alhamdulillah ia berjaya dilakukan", ujar konduktor hebat yang mempunyai pengalaman yang luar biasa sebagai konduktor dan pengarah muzik bagi beberapa buah konsert yang pernah dianjurkan di Dewan Filharmonik Petronas termasuklah konsert Raya Sepanjang Zaman.
Kehebatan vokal Ziana Zain dan Bob Yusof juga tidak kurang hebatnya. Apatah lagi, Ziana Zain yang diberi kepercayaan untuk berkongsi pentas bersama legenda Sanisah Huri dan Datuk Hail Amir memberikan persembahan yang cukup memukau dan mengkagumkan. Lagu-lagu seperti Indah Di Hari Raya, Hari Mulia, Selamat Hari Raya dan Seloka Hari Raya dipersembahkan Ziana penuh bersahaja membuktikan persembahan yang julung kali itu bagaikan sebuah magika yang berwarna-warni.
Ziana yang kelihatan anggun mengenakan busana raya warna 'lilac' lengkap berselendang itu berharap konsert yang diadakan ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang sebagai konsert tahunan kerana konsert sebegini mampu meninggalkan nostalgia tersendiri buat penonton. Selain dikenali sebagai seorang penyanyi, Ziana juga merupakan seorang pelakon dalam beberapa buah drama dan filem tempatan.
Ketika berkongsi sesuatu kepada media, Bob Yusof tidak menafikan bahawa lagu-lagu hari raya era ibu dan ayah kita pada tahun 70-an hinggalah 90-an adalah yang terbaik. Lagu-lagu tersebut pada hari ini menjadi malar segar dan kian diminati ramai.
Gambar-Gambar Milik Hak Cipta: Malaysian Philharmonic Orchestra
0 Ulasan