Baginya, sekarang adalah era buat sesiapa sahaja termasuk artis dan selebriti untuk mempelbagaikan kerjaya yang diceburi.
Meskipun masih lagi menerima undangan menyanyi, Taufik, 41 tahun, lebih condong mengendalikan urusan jual beli hartanah di bawah pasukan SMZDBB dan mengurus restoran Chix Hot Chicken di Jalan Pisang.
Beliau juga gigih menyertai peraduan kecergasan dan aktiviti lasak seperti Lumba Spartan di Johor Bahru dan Sarawak.
Taufik malahan memberitahu Berita Minggu (BM), beliau berada di Sarawak untuk satu lagi Lumba Spartan bagi mengharungi 30 ujian kecergasan yang rencam.
Ketika ditemui BM di Hotel Royal Plaza On Scotts sebelum keberangkatannya ke Sarawak, Taufik berkata:
"Sekarang adalah masanya ramai mula 'side hustle' (buat pelbagai kerja sampingan) agar tidak menggelabah jika tugas utama kita terjejas.
"Kita perlu ada pelbagai sumber pendapatan. Saya lebih pada bidang hartanah tetapi ada juga muzik dan restoran untuk diusahakan.
"Penting untuk kita bekerja keras dan sentiasa mencari hobi baru untuk mengisi masa terluang, lebih-lebih lagi dalam menjaga kesihatan.
"Sewaktu pandemik, berat badan saya adalah 88 kilogram. Itulah berat badan paling berat untuk saya. Orang nampak saya macam biasa tetapi detik itulah saya mula pakai baju besar.
"Ia merupakan satu perjuangan di mana saya melawan diri saya sendiri. Saya perlu fikirkan apa yang dapat menggembirakan saya.
"Saya gigih nak turunkan berat badan saya. Pada November 2021, saya mula masuk peraduan kecergasan. Boleh menang pula sampaikan ada orang kata, 'Si Taufik masuk apa-apa pun boleh jadi juara'!
"Mereka tak tahu pengorbanan saya dalam arena berbeza ini. Apa yang saya amalkan hanyalah kerja keras dan sikap positif untuk berikan yang terbaik dalam bidang kecergasan sebagaimana yang saya berikan ketika menyanyi."
"Saya rasa peraduan ini bagus untuk mencorak sikap saya. Kita meletakkan diri kita dalam keadaan tidak selesa. Sakit otot, nafas tercungap tetapi saya dapat mengatasi segalanya.
"Ia mengajar saya tentang konsep tidak mudah putus asa dan selalu sedia mencuba walau keadaan kita seteruk mana. Ada orang dibuang kerja dan kebuntuan atau diuji dengan krisis kesihatan. Justeru, bagaimana ingin bina semangat positif di mana kita bukan sahaja berdoa tetapi berusaha sekali gus," kata Taufik yang gembira dapat menggalak penyokongnya untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Beliau mendapat galakan daripada isterinya Sheena Akbal untuk kekal aktif, bahkan ligat mengisi kandungan video untuk Instagram.
"Dulu Instagram saya macam tak ada apa-apa... kosong dan lengang tetapi kini, saya dapat paksa Sheena untuk ikut serta berkongsi dan buat sketsa lucu.
"Sheena ni tak suka berada dalam pemerhatian ramai tetapi saya lihat dia ada pengikut dan peminat sendiri.
"Saya memberitahunya inilah cara kita mendekati orang ramai dengan perkongsian sihat tentang kehidupan seharian.
"Siapa tahu ia juga akan membawa rezeki perniagaan atau tajaan untuknya juga," jelas Taufik yang baru-baru ini terlibat dalam Konsert Luar Biasa di The Star Theatre.
Artikel oleh: Haryani Ismail, BH Singapura
0 Ulasan