Mengetengahkan isu penculikan dan penyeludupan organ manusia, Tujuh Dua Belas mengisahkan tentang Safia, seorang atlet seni mempertahankan diri yang terpaksa bertarung nyawa untuk menyelamatkan anak saudaranya yang diculik oleh sekumpulan penyeludup organ manusia. Pelbagai kejadian pelik, mendebarkan dan penuh emosi ini bakal menerjah pawagam tanah air bermula 4 Mei 2023.
Ketika ditemui media di Tayangan Perdana filem ini di sebuah pawagam di Petaling Jaya, pengarah filem tersebut, Thorpe Ali berharap peminat dan penggemar filem tempatan dapat menerima naskhah aksi arahannya itu. Tujuh Dua Belas sebenarnya membawa maksud kejadian penculikan yang berlaku antara jam 7 pagi hingga 12 malam.
"la memberi mesej bahawa sekiranya berlaku kejadian sebegini, tindakan pantas harus diambil segera. Kejadian penculikan ini selalunya tidak menunggu masa lama kerana mudah dikesan. Filem ini menunjukkan watak utamanya berusaha mencari penculik. Namun dalam sisi yang berbeza saya cuba mengenengahkan isu wanita sebagai tunjang utama dalam filem ini.", ujar Thorpe Ali dengan nada teruja menantikan debaran filem ini ditayangkan kelak.
“Kebanyakan filem aksi selalunya memaparkan watak lelaki selaku tunjang utama, tetapi filem Tujuh Dua Belas ini mengangkat golongan wanita yang lincah dalam seni bela diri.
“Disebabkan itu saya memilih pelakon seperti Farali Khan kerana dia memiliki asas seni bela diri MMA, begitu juga pemilihan Chintya yang sememangnya tular dengan aksinya menendang tong gas terutama sekali di YouTube,” jelasnya.
Untuk filem ini, Thorpe memberitahu penggambaran dilakukan sekitar Januari 2022 di beberapa buah lokasi seperti Kuala Lumpur serta Gopeng, Lenggong dan Pengkalan Hulu, Perak.
“Kalau ditanya mengenai harapan pula, pasti saya mengharapkan Tujuh Dua Belas berjaya menarik sokongan penonton ke pawagam. Sekiranya filem ini mencipta kejayaan, kami juga sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan sekuel yang kedua dengan gabungan pelakon-pelakon Malaysia, Indonesia dan Kemboja,” ujarnya.
AKSI MENDEBARKAN NAMUN...
Ketika diberi peluang menonton keseluruhan filem ini pada selasa lepas, saya merasakan filem ini seperti ada kekurangan dari sudut penceritaannya. Walaupun plot ceritanya dan idea asal sangat bagus, cuma olahan cerita pada keseluruhan filem ini boleh ditambah baik (mungkin utk sekuel akan datang). Maksud saya watak Safia lakonan Farali Khan itu perlu ada penerangan watak, seperti siapa dia, latar belakangnya dan apa kaitan hubungan kekeluargaan antara dirinya dengan keluarga asal dalam cerita ini. Kadang kala saya tafsir bahawa Safia ini adalah skandal bapa Adam masa bapanya masih hidup. Tidak salah untuk menceritakan serba sedikit siapa Safia ini.
Keterujaan saya dalam filem ini kerana ia cuba mengenengahkan isu wanita itu sendiri dengan menjadikan lelaki sebagai umpan yang lemah. Namun ini tidak bermakna Tujuh Dua Belas sebagai sebuah karya yang gagal, tetapi ia memikat memandangkan Farali Khan ini bijak berbahasa Indonesia, dan saya tertanya sendiri, 'apakah karektor Farali Khan dalam naskhah ini adalah wanita Indonesia yang punya saudara di Malaysia?. dan wajarkah Safia (Farali Khan) hanya berpandukan jenis pakaian yang dipakai penculik itu untuk mencari di mana mereka bersembunyi. Mungkin penulis skrip ada jawapannya yang tersendiri.
Amy Ikram by wajib tonton
0 Ulasan