'CINTA LUAR BIASA' ANDMESH KAMALENG

Saat mengetahui pelantun suara 'Cinta Luar Biasa', Andmesh Kamaleng akan beraksi di Kuala Lumpur pada 4 Jun 2023, hati ini bergetar malahan tidak sabar untuk bersama-sama mencipta memori anugerah terindah dalam sebuah konsert bertemakan 'cinta' dan kasih sayang yang dibawakan khas oleh Kharisma Music International. 

Mempersembahkan barisan lagu popularnya seperti Hanya Rindu, Ku Mau, Bisa Tanpamu, Jangan Lupakan Aku, Anugerah Terindah, dan Jangan Rubah Takdirku, Andmesh Kamaleng tidak menyangka konsert pertamanya di Kuala Lumpur mendapat sambutan luar biasa, apatah lagi saat beliau menyanyikan lagu Hanya Rindu itu, beliau kelihatan sebak untuk menyampaikan bait lirik pada rangkap pertama, tetapi penonton memberikan semangat untuk beliau meneruskan persembahan.

Andmesh telah memukau penonton apabila dia mengundang dua adik perempuannya untuk bersama-sama menyanyikan lagu Hanya Rindu sambil mendakap erat mereka dengan penuh kasih sayang. Tindakan Andmesh itu membuatkan rata-rata penonton sebak dan ada di antara mereka mengesat air mata tanda betapa agungnya cinta dalam sebuah keluarga insan bernama Jeandmesh Antonio Kamaleng.  

"Mereka ini harta yang saya ada selepas orang tua kami pergi. Saya berterima kasih kerana mereka bersusah payah ke sini apatah lagi mahu menyaksikan saya berdiri menghiburkan kalian," kata Andmesh dengan nada sebak.

Menghiburkan lebih kurang 3,000 penonton membanjiri segenap ruang dalam Dewan Plenary, KLCC sehingga jualan tiket menyaksikan konsert ini habis terjual, Andmesh kembali membuai jiwa penonton menerusi lagu 'Luka' di mana ianya memberi penghormatan buat mendiang bapanya, yang menjadi pendorong utama buat Andmesh untuk menceburi dunia muzik. 

Ketika persembahan, Andmesh berkata penglibatannya dalam industri muzik hari ini adalah bertitik tolak dari usaha mendiang bapanya yang menjadi tulang belakang untuk Andmesh dikenali. Walaupun bapanya sudah tiada, Andmesh tetap akan mengingatinya sebagai satu memori dan kenangan yang tidak mungkin dilupakan. 

MAHU BERKOLABORASI BERSAMA DATO' SRI SITI NURHALIZA

Menjadikan keluarga sebagai batu loncatan untuk dirinya berjaya, Andmesh membuai seluruh peminat yang hadir menerusi seleksi lagu-lagu terbaik dari album pertamanya dan juga lagu-lagu single yang pernah dirakamkannya. 

Nyaman, Jangan Semudah Itu, Senyumlah, Tiba-Tiba dan mengakhiri persembahan dengan lagu berhantu darinya, 'Cinta Luar Biasa', membuktikan penyanyi kelahiran Pulau Alor, Nusa Tenggara Timur, Indonesia ini cukup mengkagumi Penyanyi Nombor Satu Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza. 

Ketika persembahan yang turut dihadiri oleh Siti, Andmesh sempat berseloroh di atas pentas mengatakan beliau mahu berkolaborasi bersama penyanyi kesayangan ramai itu dan mahu merakamkan lagu dengan Dato' Sri Siti Nurhaliza jika diberi peluang dan kesempatan.

"Hari ini saya cukup teruja dengan kehadiran Dato' Sri Siti Nurhaliza. Tentunya saya mahu berkolaborasi bersama dengannya. Boleh bukan?," tanya Andmesh sambil diiringi tepukan gemuruh dari penonton. Adakah ianya sekadar gurauan atau  hint bagi memberikan maksud tentang keinginan Andmesh itu?. Sama-sama kita nantikan jawapan dari Dato' Sri Siti Nurhaliza.

Andmesh Kamaleng yang dicungkil bakatnya menerusi musim kedua program realiti, Rising Star Indonesia itu merupakan juga seorang penulis dan penggubah lagu bagi album 'Cinta Luar Biasa' yang diterbitkannya pada tahun 2019. 

Lagu bertajuk 'Sial' yang dinyanyikan oleh penyanyi Indonesia, Mahalini dan 'Terlalu Berharap'  nyanyian Rossa merupakan antara lagu ciptaan Andmesh Kamaleng yang turut dipersembahkan oleh Andmesh dalam versinya pada malam Konsert Andmesh Live in Kuala Lumpur pada 4 Jun lepas. Konsert yang berlangsung selama 2 jam itu dianjurkan Kharisma Music International turut menampilkan Arddley Nicholas, Daniesh Suffian, dan Aisha Retno merupakan konsert yang memukau dan penuh warna-warni.

Amy Ikram by wajib tonton
Gambar oleh: Ruffey Dean

Catat Ulasan

0 Ulasan