‘Hijrah Jannah’ memaparkan polemik perkahwinan serta tugas dan tanggungjawab lelaki sebagai suami di dalam kerangka poligami. Drama kali ini turut memberi penekanan terhadap penerimaan golongan mualaf di kalangan keluarga dan masyarakat.
Remy Ishak turut membuat penampilan pertamanya di slot Tiara sebagai Syawal, sekaligus membuktikan kredibilitinya sebagai hero drama rantaian yang mempunyai ramai pengikutnya. Pertaruhan kali ini turut melihat Puteri Sarah memegang watak antagonis, Munirah yakni isteri kedua Syawal manakala pelakon jelita, Daniella Sya memegang watak utama, Jannah/Janet.
Puteri Sarah ketika ditemui semasa sidang media drama Hijrah Jannah di Dadi Cinema, Pavillion Kuala Lumpur menyifatkan lakonannya sebagai wanita 'perampas' yang menganggu hidup rumah tangga antara Syawal dan Jannah sedikit sebanyak akan membuatkan penonton tidak senang duduk, malahan Sarah teruja menantikan sambutan penonton apabila drama ini ditayangkan kelak bermula 5 Jun 2023.
" Saya tidak kisah jika ada peminat membenci saya selepas ini. Saya menerima sebarang kemungkinan yang akan terjadi selepas drama ini ditayangkan kelak. Ini antara watak yang mencabar kredibiliti saya sebagai pelakon dan saya tidak pernah melakonkan watak perampas sebelum ini. Mungkin dari pengalaman hidup dan apa yang telah terjadi. Jika ada yang bencikan saya, bermakna lakonan saya menjadi,"ujar Puteri Sarah dengan nada penuh teruja.
‘Hijrah Jannah’ turut didukung oleh pelakon-pelakon hebat seperti Ezaidi Aziz, Khalidah Atlibah, Daniel Fong, Angeline Tan, Kenji Sawahi dan ramai lagi. Menurut Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Ria berkata, "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah penceritaan ‘Hijrah Jannah’ yang memaparkan sisi-sisi liku perjalanan seorang mualaf dalam memulakan kehidupan baharunya, terutamanya apabila diri tertekan dengan ketidakterimaan keluarga serta tentangan yang diterima daripada keluarga mertua.
Drama rantaian kali ini memaparkan Janet atau Jannah, sebagai protagonis utama drama yang mengharungi pelbagai dugaan dan tentangan yang diterima daripada pelbagai pihak, termasuklah keluarganya sendiri serta keluarga suaminya.
Lakonan Daniella Sya amat berkesan serta efektif. Dia berjaya mendalami watak yang kompleks yang jarang sekali dipaparkan menerusi platform mainstream secara mendalam. Jarang sekali kita dipertontonkan drama yang penuh dengan titipan-titipan agama yang memerlukan penelitian dalam menjelaskan hukum-hukum yang ada. Kelainan seperti ini mampu mencabar pembikin-pembikin drama dalam memperluaskan penceritaan kepada elemen religi yang seharusnya menjadi antara kandungan utama dalam drama-drama rantaian di Malaysia.
Bagi Feroz Kader, Pengarah drama 'Hijrah Jannah', mula menganggap naskhah arahannya kali ini lebih mencabar kerana ianya berkaitan dengan isu penghijrahan agama seseorang individu yang sememangnya terjadi dalam masyarakat kita.
"Gabungan pelakon dalam drama ini samada yang baru atau lama merupakan gandingan yang bagus, sangat positif. Kami memaparkan pelakon-pelakon pelapis. Kami juga kekalkan pelakon lama membawakan watak-watak yang berat dan tak lupa pelakon baharu yang berbakat besar. Selain itu, gabungan itu dapat memberi ilmu kepada pelakon baharu untuk menimba pengalaman. Sebagai pengarah, saya suka bekerja dengan orang baharu kerana saya nampak mereka sangat berusaha untuk buat sesuatu dan tahu bila digandingkan dengan pelakon lama, mereka teruja. Mereka rasa bertanggungjawab dan buat yang terbaik.
Cabaran drama ‘Hijrah Jannah’ adalah lebih kepada karakter. Kami mahu warnakan setiap watak yang ada. Saya tahu Remy boleh membawa karakter dengan sangat berkesan dan baik. Saya pernah bekerja dengan Daniella menerusi kisah aksi, tetapi ini kali pertama dia melakonkan sesuatu yang sangat beremosi bersentimenkan keluarga, kasih sayang dan dia banyak menitis air mata. Jadi saya tahu dia boleh bawa dengan baik. Gandingan antara Daniella dan Remy sangat baik. Saya banyak berbincang dengan Remy untuk warnakan karakter dia sebab nak lari daripada dikena stereotaip. Saya berharap agar para penonton teruja dengan kisah ‘Hijrah Jannah’ serta dinamik para pelakonnya", ujar Feroz berharap peminat drama dan penonton tempatan dapat menerima naskhah terbaharu arahannya.
0 Ulasan