Bagi anda yang membesar dengan karya agung seniman legenda Tan Sri P.Ramlee, mungkin anda tidak akan melepaskan peluang keemasan untuk sama-sama menghayati alunan indah lagu-lagu ciptaan dan dendangan beliau dalam sebuah konsert khas yang tentunya dinantikan oleh peminat seniman agung negara bertajuk Konsert P.Ramlee- Signature A Minor 7. Konsert yang berlangsung pada 7hb dan 8hb Julai depan memilih Stage 1, PJ Performing Arts Centre (PJPAC), 1Utama Shopping Centre, Petaling Jaya, Selangor sebagai lokasi utama penganjuran konsert berprestij itu.
Dianjurkan oleh PH7 Production Management Sdn. Bhd, konsert yang bakal berlangsung selama dua hari itu merupakan satu usaha untuk memperingati ulang tahun ke-50 pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, seorang seniman yang paling disayangi dan berpengaruh di Malaysia. Mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik melalui myCreative Ventures serta rakan-rakan penaja seperti PJ Performing Arts Centre (PJPAC), Cantuman Wawasan dan Bon Fashion Legacy Sdn. Bhd, konsert yang bakal dipersembahkan selama 75 minit itu akan menampilkan 12 buah lagu dari filem-filem lakonan dan arahan Tan Sri P. Ramlee, yang memenangi anugerah tempatan mahu pun antarabangsa dari tahun 1953 hingga 1965, iaitu tempoh kemuncak karya Allahyarham di Singapura.
Aubrey Suwito yang bertindak sebagai pengarah muzik dan penggubah lagu dalam konsert ini akan memimpin semula semua lagu-lagu yang pernah dicipta oleh arwah dengan nuansa yang baharu, tanpa menghilangkan keaslian jiwa karya Tan Sri P. Ramlee. Didendangkan oleh Sean Ghazi dan Liza Hanim, serta diselangi dengan persembahan monolog oleh Sobri Anuar, pasti konsert yang diarahkan oleh Hariry Jalil, Pemenang Pelakon Pembantu Telefilem Terbaik, Anugerah Telenovela 2023 ini akan membawa penonton menelusuri masa, mengimbau nostalgia dan menggali falsafah P. Ramlee dalam berkarya, terutama dalam mencipta lagu. Antara lagu di dalam konsert ini yang pasti mengajak penonton menyanyi bersama ialah Ingin Tahu, Berkorban Apa Saja, Engkau Laksana Bulan, Malam Bulan Dipagar Bintang, Gelora dan Madu Tiga.
“Saya sangat menghormati dan mengagumi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, terutamanya di atas sumbangan dan pencapaian luar biasa dalam bidang muzik. Semasa remaja, saya meluangkan masa malam Jumaat selama bertahun-tahun (terima kasih RTM!) dengan memasuki ke alam filem P. Ramlee yang indah. Rangkaian muzik ciptaannya yang luar biasa, telah memberi inspirasi dan impak yang besar terhadap muzik saya hari ini. Legasi P. Ramlee terus menjadi sumber inspirasi kepada ramai pihak dan sudah pasti, ia meninggalkan kesan yang takkan dilupakan oleh persada muzik Malaysia,” kata Pengarah Muzik Konsert P. Ramlee - Signature A Minor 7, Maestro Aubrey Suwito.
Menyentuh jangkaan daripada konsert ini, Aubrey Suwito berkata “Memandangkan kemajuan dalam kedua-dua bidang muzik dan alam reproduksi audio, saya ingin membayangkan semula bagaimana muzik P. Ramlee akan berbunyi dalam konteks hari ini. Dengan menerima pendekatan muzik moden, instrumentasi dan bunyi, saya berharap dapat membawa perspektif baharu kepada gubahan abadi beliau sambil kekal berpegang pada intipatinya. Matlamatnya adalah untuk menghormati legasi P. Ramlee dengan menawarkan tafsiran kontemporari yang menawan dan bergema kepada khalayak masa kini,"katanya penuh teruja menantikan sambutan peminat pada konsert ini nanti.
“Tan Sri P. Ramlee adalah seorang ikon. Apa lagi yang boleh kita katakan?. Dedikasinya terhadap seni sungguh menakjubkan dan memukau. Ini menunjukkan bakat dan penguasaannya yang sangat tinggi dalam bidang muzik dan filem. Tahun 2023 merupakan genap 50 tahun beliau meninggalkan kita. Namun, muzik dan filem-filemnya akan sentiasa kekal dalam hati dan fikiran kita selama-lamanya.”
“Dengan mengadakan konsert ini, kami berharap generasi muda akan menyedari impak yang telah Tan Sri P. Ramlee tinggalkan bukan sahaja untuk kita tetapi juga untuk negara. Kami mengetengahkan lagu-lagu daripada filem yang pernah dimenanginya di peringkat tempatan dan antarabangsa. Lirik dari lagu-lagunya dan dialog dalam filem-filemnya yang tak lapuk dek zaman kerana mampu menyentuh realiti hari ini.
Sementara itu, penyanyi yang juga pelakon dalam P.Ramlee The Musical tahun 2008-2009, Liza Hanim menyifatkan persembahan beliau bersama Sean Ghazi pada 7 dan 8 Julai nanti bakal memaparkan momen-momen menarik yang tidak pernah anda saksikan dalam konsert sebelum ini. Liza Hanim yang berpadu suara bersama Sean Ghazi akan menyampaikan beberapa seleksi lagu duet P.Ramlee dan Saloma yang tentunya menimbulkan nostalgia silam, ujar Liza, 44, dalam satu sidang media yang diadakan di PJPAC baru-baru ini.
Album Solo
Ketika ditanya tentang pembikinan album baharu, Liza yang pernah merakamkan 7 buah album sebelum ini berkata beliau sememangnya rindu untuk menghasilkan album penuh, namun berharap peminat bersabar menantikannya. Liza yang terkenal dengan kekuatan vokal mengalunkan lagu berentak perlahan berharap peminat seni dan muzik dapat menghadirkan diri pada 7 atau 8 Julai 2023 ini.
Konsert P. Ramlee - Signature A Minor 7 akan dipersembahkan di Stage 1, PJ Performing Arts Centre (PJPAC), 1Utama Shopping Centre, Petaling Jaya; pada 7 Julai 2023 (Jumaat) & 8 Julai 2023 (Sabtu), bermula jam 8.30 malam.
Harga tiket adalah RM125.00 (atas), RM155.00 (biasa) dan RM205 (premium). Untuk sebarang pembelian tiket boleh beli di halaman www.onetix.com.my atau boleh hubungi Ann Nurbaya di 019-330 8133 dan/atau Wani di 013-628 7485 sekiranya membeli tiket secara pukal (10 tiket ke atas).
Ikuti perkembangan tentang Konsert P. Ramlee - Signature A Minor 7 di laman rasmi PH7 Production Management Sdn. Bhd.; Instagram @ph7.productionmanagement dan Facebook @ph7productionmanagement serta hashtag #KonsertSignatureAMinor7
admin by wajib tonton
0 Ulasan