Berbaki hampir seminggu menanti debaran, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Kali ke-35 bakal melabuhkan tirainya. Bertemakan Ekspresi Legasi Seni, anugerah yang mengiktiraf hasil kerja penggiat seni tanah air itu diwujudkan sejak tahun 1987 dengan nama Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular 1987 (APPP87) - Nescafe Classic. Anugerah yang telah menobatkan Fauziah Ahmad Daud kali pertama dianjurkan pada tahun 1987 itu meraikan ulang tahun ke-35 yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, 21 Julai depan.
Sebanyak 12 kategori utama bakal dipertandingkan iaitu BBNU Lelaki Popular; BBNU Wanita Popular; Penyanyi Lelaki Popular; Penyanyi Wanita Popular; Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular; Aktor Filem Popular; Aktres Filem Popular; Aktor TV Popular; Aktres TV Popular; Penyampai Radio Popular; Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular. Turut dipertandingkan adalah tujuh (7) Kategori Ekstra! iaitu Couple Drama Popular; Couple Filem Popular; Drama Popular; Lagu Paling Boom; Content Creator Popular; TikTokers Popular dan Video Viral Popular.
Bell Ngasri yang tercalon dalam kategori Artis Komedi Popular dilihat berpotensi besar untuk membawa pulang trofi tersebut, di mana Jaa Suzuran, Johan, Syahmi Syazli dan Zizan Razak dikatakan pencabar terdekat bagi merebut gelaran tersebut. Selain Bell, Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Ben Amir, Ernie Zakri, Khai Bahar, Meerqeen, Sharifah Rose dan Siti Nordiana telah mendahului undian Top 5 bagi kategori masing-masing.
Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ yang kini bergelar penyampai radio Hot FM, diumumkan antara penyampai trofi yang bakal menghangatkan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, manakala penyampai radio Hot FM, Johan dan pengacara popular, Ain Edruce diumumkan sebagai hos utama edisi ke-35 ABPBH, yang diiktiraf sebagai acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia.
Manakala acara karpet merah akan dihoskan penyampai radio Hot FM, Fizi Ali dan Riena Diana. Antara barisan artis dan selebriti penyampai trofi adalah pelakon baharu seperti Meerqeen, Siti Hariesa dan Anna Jobling termasuk Puteri Sarah Liyana dan Raysha Rizrose.
Tidak ketinggalan, pelakon hebat seperti Beto Kusyairy dan primadona filem Melayu, Erra Fazira serta pengarah, penerbit dan pelakon, Erma Fatima dan Janna Nick. Turut memeriahkan acara adalah pengacara radio dan televisyen (TV) seperti Fara Fauzana, AG dan Haiza serta Sherry Al-Hadad dan Che Puan Sarimah Ibrahim, penyanyi Mas Idayu dan Sissy Iman.
Jika dilihat dari barisan artis yang membuat persembahan, ABPBH 35 turut membabitkan bintang lagenda tanah air seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk Yusni Hamid, Dato' Seri Siti Nurhaliza, Amelina, Aizat Amdan, Aina Abdul, Sufian Suhaimi dan Baby Shima.
Tidak ketinggalan, Roslan Madun, Haziq Rosebi, Luca Sickta, Kmy Kmo, Luqman Podolski, Aya Amiruddin dan Norreen serta kumpulan Mergasatwa.
Menambah debaran malam kemuncak ABPBH 35, majlis pengumuman pra-kemuncak ABPBH 35 yang diadakan di The Agam, Sg Penchala, Kuala Lumpur baru-baru ini turut mengisytiharkan 10 artis yang setakat ini mendahului undian, sekaligus mempunyai harapan untuk dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.
Selain keputusan 12 kategori utama dan tujuh kategori sampingan, Ekstra! serta Bintang Paling Popular, malam kemuncak ABPBH 35 juga bakal menyaksikan dua bintang menerima trofi anugerah khas yang dibawakan khusus bagi edisi ke-35 acara anugerah berprestij ini.
Selain itu, sebagai elemen kejutan, peminat bakal disajikan satu lagi slot persembahan yang masih dirahsiakan.
Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, ABPBH 35 menampilkan konsep yang berbeza kali ini sesuai dengan penganjurannya yang berusia lebih tiga dekad.
“Bertemakan Ekspresi Legasi Seni, konsep ini akan diketengahkan dalam pengendalian acara malam kemuncak ABPBH 35 nanti. Kekal relevan sebagai acara hiburan pilihan peminat No 1 sejak 1987, acara ABPBH tahun ini memberi interpretasi terhadap usaha berterusan penggiat seni dalam menghasilkan karya tanpa sempadan, namun, tidak mengabaikan jati diri dan menjadikan bintang legenda serta artis ternama sumber inspirasi,” katanya.
Shamshul Azree juga berkata, selain menyanjung bintang legenda seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma, ABPBH 35 mengiktiraf bakat pelapis yang meneruskan legasi seniman terdahulu dalam mengangkat martabat seni negara.
“Satu anugerah khas akan diberi kepada bakat pelapis yang mencipta kejayaan membanggakan buat negara sepanjang kembara seninya. Inisiatif ini diambil sebagai usaha ABPBH menyemarakkan pembangunan industri kreatif dan mendorong penggiat mewakili generasi muda meneruskan legasi seni sebagai khazanah negara yang tidak ternilai,” katanya.
ABPBH 35 menyenaraikan calon yang mematuhi syarat asas ditetapkan Jawatankuasa Penganjur ABPBH 35 termasuk penilaian Lembaga Juri ABPBH 35, membabitkan artis atau selebriti yang menghasilkan sekurang-kurangnya satu produk fizikal termasuk rakaman atau kandungan digital yang memenuhi kriteria mengikut kategori disaingi, bagi tahun pencalonan 2021 dan 2022.
Membariskan 12 kategori di bawah Kategori Utama dan tujuh (7) Kategori Ekstra!, peminat masih boleh mengundi finalis ABPBH 35 sehingga jam 11.59 malam 15 Julai ini menerusi laman web ABPBH 35 di www.abpbh.com.my. Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma atau pakej langganan BH digital.
Dibawakan khas oleh Fellera Skin, ABPBH 35 antara anugerah yang masih bertahan hingga kini dan bakal mencipta fenomena dan sejarahnya tersendiri.
Amy Ikram by wajib tonton
0 Ulasan