MEREWANG KELUARGA PAK AWANG KOMEDI SANTAI YANG SANGAT MENGHIBURKAN



Sering berkongsi pentas dalam program-program realiti terkenal Malaysia, buat pertama kalinya Zizan Razak dan Sabri Yunus digandingkan sebagai teraju utama dalam ‘Merewang Keluarga Pak Awang’. Filem komedi ini pasti membuatkan penonton tidak kering gusi dari babak pertama hingga ke akhir. 


Bukan sekadar menampilkan jalan cerita yang dekat dengan masyarakat iaitu telatah dan momen dalam persiapan sesebuah majlis, ia turut mengetengahkan elemen-elemen budaya tempatan dalam adat resam perkahwinan dari sudut busana, ragam hias, muzik dan tradisi merewang. Tradisi merewang iaitu aktiviti bergotong-royong di kampung menjadi satu kemeriahan dalam sesebuah majlis perkahwinan suatu ketika dahulu. Namun, aktiviti tersebut semakin hilang ditelan zaman. 


Selain Zizan Razak dan Sabri Yunus, filem ini diperhebatkan lagi dengan lakonan yang meninggalkan kesan dari Adriana Adnan, Fabian Loo, Watie Sadali, Emelda Rosmila, Emma Sofea dan Adlin Aman Ramlie yang turut bertindak selaku pengarah. Ini merupakan filem pertama arahan Adlin, manakala skrip oleh Amin Shakib dan cerita asal oleh Syahrul Imran Shariffuddin. 



Menurut Pengarah Merewang Keluarga Pak Awang, Adlin Aman Ramlie, “Ini merupakan kali pertama kali saya mengarahkan filem selepas beberapa telemovie. Cabaran menghasilkan filem ini adalah berperingkat. Pertama adalah ketika di fasa perkembangan watak dan penulisan; manakala fasa kedua ketika sesi penggambaran iaitu berdepan dengan faktor cuaca dan cabaran ketiga adalah di peringkat pasca produksi.”


“Visi saya adalah filem ini mampu berdiri sebagai naskhah ‘ensemble’ yang padat dengan jalan cerita dan watak unik. Selain itu elemen budaya rewang, muzik tradisi seperti ghazal serta budaya persandingan dan perarakan di Johor turut ditampilkan. Saya menaruh harapan agar filem ini dapat diterima dan ditonton oleh segenap lapisan umur kerana ia dihasilkan untuk seisi keluarga. Saya juga berharap filem ini mampu menonjolkan sisi saya yang berbeza kerana saya memang suka mengarah dan menulis,” – tambah Adlin Aman Ramlie.



Sementara itu, Ketua Kandungan Strategi dan Pengedaran, Norsalvina Alwee berkata, “Tahun ini merupakan tahun yang baik buat Astro Shaw, bukan sekadar meletakkan fokus menghasilkan filem serta drama premium untuk Astro Originals, tetapi turut aktif dalam menghasilkan filem khusus untuk platform Astro First. Terbaru, kami bawakan filem Merewang Keluarga Pak Awang dan yakin filem sarat dengan komedi ini sesuai untuk tontonan seisi keluarga di rumah. 


kredit foto :@RuffeyDean

“Filem ini memperlihatkan bakat Adlin Aman Ramlie dalam mengarahkan filem. Platform Astro First pernah menjadi medan dalam mengangkatkan bakat-bakat pengarah baru seperti Syahmi Sazli. Justeru kami berharap platform Astro First sekali lagi dapat mengetengahkan hasil kerja bakat anak seni dalam industri filem.”


“Filem ini juga memperlihatkan kerjasama Astro Shaw sekali lagi bersama produksi Infinitus Gold selepas filem ‘Talbis Iblis’ serta drama premium ‘Histeria The Series’. Diharapkan kerjasama sebegini dapat diteruskan menerusi projek berbeza pada masa akan datang”, tambah Norsalvina lagi.


Kredit Foto : @ Ruffey Dean


Filem komedi ini mengisahkan tentang pesara tentera yang berpangkat komander, Pak Awang ingin mengadakan majlis perkahwinan anak perempuan bongsunya secara besar-besaran. Dol iaitu seorang jejaka di kampung mereka cuba untuk menggagalkan perkahwinan tersebut dan telah melancarkan pelbagai helah yang menjadikan situasi majlis perkahwinan huru hara. 

 

Saksikan filem Merewang Keluarga Pak Awang yang akan berada Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 15 Julai 2023. Gunakan #MerewangKeluargaPakAwang bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Merewang Keluarga Pak Awang di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw, Astro Gempak, Astro First. 



Kredit foto : Ruffey Dean & Astro Shaw


Catat Ulasan

0 Ulasan