SUE-ON FILEM PERTAMA TERBITAN DATO' AWIE KE LAYAR PERAK

Walaupun cuba mengangkat legasi arwah Mamat Khalid, penulis merasakan Sue-On sebuah filem yang 'gagal' untuk diletakkan sebagai sebuah naskhah filem yang memberi inspirasi terhadap tokoh perfileman tersohor itu.

Sue-On yang diterbitkan oleh Rumah Produksi Merah merupakan filem pertama terbitan pelakon, penyanyi dan pelawak terkenal, Dato' Awie yang sudah berada di pawagam sejak 6 Julai yang lalu. Naskhah yang dibintangi oleh Dato' Awie, Reen Rahim, Ropie, Joey Daud, Azlee Senario, Nadia Mustafar, Achey, Shawani dan ramai lagi itu mengisahkan tentang satu hantu korea yang keluar dari peti televisyen sehingga kemunculannya telah menganggu seluruh penduduk kampung. Pelbagai peristiwa lucu terjadi sehingga penulis merasakan filem ini tidak lepas dari roh sutradara tersohor itu.

Diarahkan oleh Razif Ajiboy Rashid, Sue-On membuka persepsi bahawa roh Mamat Khalid masih ada dalam karya ini. Setiap babak yang dipaparkan, tidak lekang dari gelak ketawa penonton, tetapi penulis merasakan sedikit bosan sehingga tertidur pada beberapa babak yang ditayangkan. Bukan untuk mengutuk filem ini, namun penulis memberikan kredit kepada Dato' Awie kerana berani mengambil risiko untuk membawa filem ini untuk ditayangkan di pawagam, walaupun kita tahu jika filem ini gagal di pawagam, ia akan ditendang keluar, namun ia berlaku sebaliknya.

Sue-On yang berlatarbelakangkan sebuah perkampungan di utara, ada ketika menyebut Kampung Pisang dan sebagainya, merupakan filem yang mendapat sambutan baik penonton di pawagam. Menurut Dato' Awie, "filem ini dibuat adalah untuk mengenang kembali karya-karya yang pernah dihasilkan Mamat Khalid. Saya mahu penonton tahu, sebab watak Husinlah, saya dikenali sehingga ke hari ini. 

"Walaupun Sue-On bukanlah karya yang boleh membuatkan orang berfikir, namun saya mahu penonton yang hadir dapat bergelak ketawa dan kemudian pulang dengan hati gembira", katanya.

Ketika diajukan tentang perancangan akan datang, Dato' Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 55, tidak menolak kemungkinan untuk membesarkan watak Husin menerusi filem Husin The Movie Kilang Spenda. Menurutnya, filem ini akan membuka ruang yang lebih besar terhadap watak ciptaan Mamat Khalid ini. Tetapi, untuk merealisasikannya bukan semudah yang disangka kerana ia membabitkan hak cipta ke atas karya asal", katanya.

Sementara itu, Razif Ajiboy Rashid selaku pengarah berkata, dia menjadikan arwah Mamat Khalid sebagai sumber ilham untuk dia menghasilkan filem Sue-On ini. Menganggap allahyarham sebagai ‘sifu’ dalam bidang pengarahan, tidak dinafikan dia banyak menjadikan filem-filem arahan Mamat Khalid sebagai rujukan.

“Saya banyak membesar dengan filem-filem beliau. Malah, saya mengenali dunia filem secara lebih mendalam pun daripada beliau,” ujarnya.

Razif berkata, penggambaran filem berkenaan dilakukan pada November hingga Disember 2021 di Taiping, Perak. Dalam pada itu, Razif juga mengakui dia tidak dapat lari daripada cabaran-cabaran tertentu sepanjang menghasilkan filem Sue-On.

Antaranya, dia perlu memikirkan cara yang terbaik agar filem arahannya itu dihasilkan dengan cerita yang cukup santai dan mampu menghiburkan penonton.

“Kalau ditanya tentang cabaran ketika penggambaran, paling utama adalah cuaca memandangkan Taiping adalah kawasan tadahan hujan. Namun, cabaran sebagai pengarah pula pastinya adalah mahu memastikan filem ini betul-betul dapat menarik penonton ke panggung. Apa-apapun saya berasa sangat beruntung kerana penerbit sendiri iaitu Dato Awie banyak memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu kepada saya,” jelasnya.

Menampilkan ramai barisan pelakon-pelakon hebat tanah air, Sue-On kini ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 6 JULAI 2023.

Rating: 2/5  by admin  wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan