Walaupun kita dibanjiri dengan pelbagai konsert sejak kebelakangan ini, penganjuran Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia yang telah berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Ogos lalu wajar diberikan pujian. Konsert yang mengangkat irama keroncong nusantara itu adalah penghormatan tertinggi buat komposer, penulis lirik, dan penggubah lagu tersohor, Mahzan Manan.
Mahzan, 89, juga adalah pengasas Irama Studio di mana beliau merupakan penggiat seni muzik tersohor yang banyak terlibat dalam penghasilan lagu-lagu melayu lama era 70-an hinggalah ke 90-an. Lagu-lagu seperti Cinta Abadi (Dj Dave), Sepetang di Pinggir Bukit (Sudirman Arshad), Ke Mana Ku Bawa Diri (Noorkumalasari), Bunga Mawar (Gaya Zakry), Berpisah (Rosemaria), Mungkinkah Kembali (Rahim Maarof) dan banyak lagi merupakan antara lagu sentuhan Mahzan Manan yang meninggalkan kesan dan memori tersendiri pada era kegemilangannya.
Setelah lima dekad mengharungi suka duka dalam industri seni dan muzik tanah air, Mahzan optimis apabila konsert yang berlangsung 5 dan 6 Ogos lalu berjaya memukau penonton apatah lagi menyaksikan Datin Alyah, Dato' Yusni Hamid, Rasyidah Abdul Rahim, Rizal Ahmad, Dato' Awie, sehinggalah kepada kemunculan legenda seni suara tanah air, Dato' Khadijah Ibrahim dan Ratu Keroncong Malaysia, Jamilah Abu Bakar mengalunkan bait melodi dan lirik dari lagu-lagu ciptaan Mahzan Manan yang sangat indah nukilannya.
Ketika persembahan, penulis amat mengkagumi alunan vokal Jamilah Abu Bakar yang menyampaikan seleksi lagu ciptaan Mahzan seperti Inginkan Kedamaian, dan Puteri Gunung Ledang sehinggalah kepada lagu Korea bertajuk Winter Sonata. Ditangan Jamilah, lagu-lagu seperti ini adalah makanannya, berbanding mereka yang bukan penyanyi keroncong tetapi diberikan peluang untuk mengalunkan irama yang sungguh mengasyikkan apatah lagi rata-rata penonton dan peminat muzik yang hadir bukan sahaja dari Malaysia malahan mencakupi negara jiran seperti Brunei, Indonesia dan Singapura.
Jamilah yang mendapat pendidikan muzik dari Aswara dan Berklee College Of Music ini menyifatkan penganjuran Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia ini adalah sebagai penghargaan kepada penggiat muzik asli dan keroncong yang masih aktif. Walaupun diberikan peluang menggantikan Han Byul bagi lagu Winter Sonata yang dikeroncongkan, Jamilah melihat dari sudut positif bahawa semua lagu boleh dikeroncongkan tetapi keaslian lirik dan lagu asal wajar dihormati. Sebagai peminat muzik dan pengkarya seni, Jamilah berharap konsert sebegini wajar diteruskan pada masa akan datang sebagai satu legasi seni muzik agar ia tidak luput ditelan zaman.
Kemunculan konduktor jemputan, Jari atau Jaffar Abdul Rahman di pentas Istana Budaya bagi mengiringi beberapa buah lagu membuktikan aura dan pesona beliau sebagai penggiat muzik tanah air dalam usianya 89 tahun wajar dihormati. Kegemilangan era muzik terdahulu bukan sahaja dapat dilihat menerusi persembahan penyanyi semata-mata, tetapi minat yang mendalam terhadap sesebuah naskhah itu perlu seiring dengan bakat yang dilontarkan.
Penyanyi legenda terkenal era 70-an, Dato' Khadijah Ibrahim yang mengalunkan seleksi lagu-lagu malar segar di konsert tersebut seperti Doa Buat Kekasih dan Ku Pendam Sebuah Duka berjaya meletakkan beliau sebagai penyanyi tempatan berprofil tinggi. Menurut beliau, tiada yang mustahil untuk melihat irama keroncong ini bergema lagi, tetapi sekiranya ada mereka yang masih lagi meminati, mana mungkin irama indah ini akan lenyap di bawa angin.
Dato' Yusni Hamid memukau penonton menerusi lagu Kenang Daku Dalam Doamu, Senandung Lagu Lama dan Kau Yang Ku Nanti, berjaya membuktikan bahawa aura dan pesonanya masih lagi hebat walaupun usianya menginjak 72 tahun tetapi vokal mantapnya seakan berusia 30-an.
Mahzan Manan yang muncul dalam beberapa segmen ketika persembahan masih dilihat bertenaga apatah lagi malam apresiasi tersebut seolah-olah malam keramaian penggiat seni keroncong dan melayu tradisi yang berhimpun bagi memberi penghormatan buat penggiat muzik tradisi yang masih aktif mewarnai industri muzik tempatan. Bagi penulis, konsert sebegini wajar diteruskan lagi bukan sahaja sebagai penyedap halwa telinga, tetapi momentumnya mampu menarik generasi peminat baharu yang mula berjinak mengenali betapa indahnya muzik melayu di tengah populariti muzik moden yang sedikit sebanyak membantu perjalanan industri hiburan dan muzik tanah air.
Amy Ikram by wajib tonton.
0 Ulasan