HOLOGRAM SUDIRMAN ARSHAD MUNCUL DI PENTAS DFP

Jika anda pernah menonton persembahan Whitney Houston, Michael Jackson, Ronnie James Dio, Ulala Session, dan Hatsune Miku dalam bentuk hologram, anda mungkin ternanti-nanti teknologi yang sama menerusi konsert tribute buat bintang legenda, Sudirman Arshad menerusi 'A Tribute To Sudirman' yang bakal berlangsung 16 September depan. 

Konsert yang bakal mencipta fenomena itu akan menggunakan teknologi hologram sepenuhnya di mana Juara Bintang RTM 1976 itu akan muncul buat pertama kalinya di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas secara eksklusif. A Tribute To Sudirman yang juga menampilkan Liza Aziz, Ernie Zakri, Hazama, dan Arish Mikael ini bakal diiringi Orkesta Filharmonik Malaysia (MPO) pada 16 September 2023, jam 8.30 malam.

Ahmad Muriz Che Rose, yang merupakan konduktor MPO menyifatkan penganjuran konsert ini adalah selaras dengan sambutan Hari Malaysia yang akan disambut setiap 16 September. Melaluinya, kami (DFP) akan membawakan Sudirman Arshad sebagai ikon Malaysia di sebuah pentas bertaraf antarabangsa. Walaupun hanya sekadar hologram, namun kemunculan Sudirman sedikit sebanyak memberikan kelainan dari segi persembahan, sekaligus memberi penghormatan buat bintang legenda yang telah tiga dekad meninggalkan kita. 

Teknologi hologram yang cuba diadatasikan ke pentas DFP ini akan menggunakan teknologi terkini yang dibawakan khas dari luar negara, di mana ia banyak digunakan oleh artis ternama luar negara bagi sesebuah persembahan berskala besar. Menerusi konsert A Tribute To Sudirman nanti, penonton akan dapat melihat bagaimana teknologi ini menampilkan imej janaan baharu Sudirman tanpa mengambil visual lama, sekaligus membuktikan penyanyi yang diberi jolokan 'The Singing Lawyer' ini berada di kelasnya yang tersendiri.

"Ia bukanlah perkara baharu, tetapi bagi DFP ini adalah kali pertama kami mengadaptasikan teknologi hologram menerusi konsert A Tribute To Sudirman ini. Bagi meraikan ulang tahun penubuhan ke-25 Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dan sambutan Hari Malaysia, saya rasa ini adalah salah satu kejutan yang bakal kami tampilkan," kata Ahmad Muriz berharap peminat muzik dan Sudirman dapat hadir menyaksikan konsert ini.

Ketika ditanya mengenai senarai lagu dan kualiti persembahan yang bakal ditampilkan, Ahmad Muriz mengakui pada malam persembahan 16 September nanti, penonton akan dibawa merasai pengalaman bagaimana lagu-lagu Sudirman dipersembahkan dalam bentuk Orkestra sepenuhnya tanpa mengabaikan karya asal yang menjadi hak cipta kepada kualiti sesebuah lagu dan lirik yang dimainkan. Lagu-lagu seperti Joget Kenangan Manis, Apa Khabar Orang Kampung, Merisik Khabar, Pelangi Petang, ‘BroadwayBig Spender dan juga beberapa lagu-lagu rakyat Sudirman seperti Punch Card,  Basikal Tua, dan sempena Hari Malaysia, lagu-lagu patriotik seperti Warisan dan 31 Ogos juga bakal dipersembahkan.

Hazama, 39, yang pernah menjuarai program televisyen Akademi Fantasia ke-9 (AF9), melihat A Tribute To Sudirman yang bakal dipersembahkan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Menara Berkembar Petronas KLCC, pada 16 September depan sebagai sebuah konsert yang bakal memberikan pengalaman 'termahal' dalam kariernya sebagai seorang anak seni. Menurut Hazama, ketika dihubungi DFP untuk terlibat dalam projek ini, Hazama atau nama sebenarnya Hazama bin Ahmad Azmi terus bersetuju tanpa menoleh ke belakang.

"Satu perasaan teruja bahkan terharu apabila dihubungi pengurusan DFP untuk saya membuat persembahan di sini. Jika dahulu saya boleh melakukan dua kerja dalam satu-satu masa, tetapi untuk konsert ini, saya akan memberikan hanya sepenuh masa untuk A Tribute To Sudirman memandangkan konsert ini memerlukan fokus dan komitmen yang tinggi. 

"Nak kata gementar tu memanglah, sebab beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dengan orkestra bertaraf antarabangsa ini, saya tidak boleh pandang ia sebelah mata, sekadar datang menyanyi. Tidak boleh!. Saya kena beri fokus, latihan yang mencukupi dan rehat yang secukupnya kerana penonton yang hadir membayar tiket yang mahal untuk menyaksikan saya dan rakan artis yang lain membuat persembahan apatah lagi dalam konsert Sudirman, yang merupakan ikon Malaysia yang amat disegani,"  tegas Hazama optimis dan berharap peminat muzik dapat hadir dan meluangkan masa untuk menyaksikan konsert yang cukup berbeza ini.

Selain Hazama, Arish Mikael yang merupakan pendatang baharu dalam seni suara ini juga terharu dengan tawaran DFP bagi meraikan bintang legenda tersohor ini bersama-sama Liza Aziz, dan Ernie Zakri dalam sebuah konsert di pentas berprestij yang terletak di tengah segitiga bandar Kuala Lumpur., Dewan Filharmonik Petronas. Menurut Arish, beliau bersetuju untuk terlibat dalam projek ini adalah kerana lokasi persembahannya yang strategik apatah lagi dapat menyanyi bersama-sama mereka yang sememangnya bagus dalam industri seni dan muzik, juga kerana seorang bintang legenda, Sudirman Arshad.

"Saya sememangnya meminati Sudirman. Antara banyak lagu yang dinyanyikan Sudirman, saya cukup menggemari lagu 'Jauh di Sudut Hati'. Ketika DFP menghubungi saya, saya terus kata setuju. Dengan cara ini, mereka yang belum mengenali saya, mungkin melalui konsert ini, anda akan kenal siapa Arish Mikael", kata Arish Mikael dengan nada tersipu malu tetapi berharap peminat muzik dapat menerima kehadirannya.

A Tribute To Sudirman yang bakal dipersembahkan selama 90 minit dengan 20 seleksi lagu terbaik Sudirman Arshad pada 16 September 2023 di DFP, KLCC itu sudah mula dijual tiketnya sejak 3 minggu yang lalu.

Harga-harga tiket bermula RM288 hingga RM668 boleh dibeli menerusi www.mpo.com.my

Amy Ikram by wajib tonton.

Catat Ulasan

0 Ulasan