KOMPOSER LEGENDA S ATAN MENERIMA GELARAN DATUK

Setelah lima dekad mewarnai suka duka industri hiburan tanah air, Maestro legenda seni muzik nusantara, S Atan dipilih menerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk pada sambutan Hari Lahir Ke-74, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam. 

S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said, 74 merupakan komposer, penulis lirik dan penggubah lagu tersohor yang banyak terlibat dalam penghasilan lagu-lagu era 70-an hinggalah kini. Nama seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Noorkumalasari, Herman Tino, Datuk Jamal Abdillah, Zaleha Hamid, Dato' Sheila Majid, Tan Sri Dato' SM Salim, Dato' Dj Dave, Carefree, Black Dog Bone, dan Dato' Sri Siti Nurhaliza antara beberapa penyanyi yang terlibat dalam ribuan karya muzik S Atan. Lagu-lagu yang dihasilkannya dalam beberapa dekad yang lalu, kini menjadi legenda dan malar segar. 

Melihat penganugerahan yang diberi sebagai hadiah hari jadinya yang ke-74, S Atan berkata, dia hanya bekerja atas cintanya pada seni, bukan anugerah semata-mata. Jika ditakdirkan dia menerima penghargaan seperti ini, ia adalah rezeki namun bagi S Atan, karya muzik adalah teras penting bagi dirinya untuk terus melakar profil seninya sebagai pengkarya muzik sejati.

"Sama ada dapat anugerah atau tidak, sama sahaja. Saya tetap akan terus berkarya demi cinta saya pada muzik melayu yang menjadi darah daging saya selama ini. Apapun, terima kasih atas pengiktirafan ini," katanya kepada media ketika dihubungi.

S Atan yang juga merupakan bapa saudara kepada komposer Datuk Ramli MS ini juga merupakan 'Bapa Lagu Raya'. Kebanyakan lagu-lagu sentuhan S Atan khususnya hari raya menjadi siulan ramai sehingga menjadi lagu penting setiap kali tibanya musim perayaan.

Amy Ikram by wajib tonton I Gambar: BH Online

Catat Ulasan

0 Ulasan