KONSERT JAMAL ABDILLAH DITUNDA

Penyanyi legenda jolokan Raja Pop, Dato' Jamal Abdillah berkongsi konsertnya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 September depan ditunda kepada November depan.

Jamal berkata, Konsert Jamal Abdillah Live In Concert anjuran Shiraz Project ditunda berikutan masalah teknikal, bukan sebab jualan tiket.

"Penganjur memaklumkan pengarah muzik mempunyai komitmen lain, jadi tarikh konsert terpaksa ditunda.

"Saya mencadangkan Shiraz Project menggantikannya dengan S Atan. Namun, apapun saya serahkan keputusan kepada penganjur.

"Sebagai penyanyi, saya hanya datang untuk menyanyi sahaja. Lebih baik anda bertanyakan kepada Shiraj Project untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penundaan konsert," katanya yang dimaklumkan mengenai penundaan konsertnya baru-baru ini.

Mengulas adakah ia berpunca penjualan tiket, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Azura itu menepis dakwaan tiket tidak laku, sebaliknya sebanyak 600 tiket yang juga tempat paling mahal berharga RM995 sudah habis dijual.

Jamal berkata, dia tidak terkilan walaupun sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada jadualnya.

"Saya nak cakap banyak pun tak boleh, kalau produksi sendiri tak mengapalah. Jadi, saya tak nak masuk campur.

"Buat masa ini, saya masih menunggu perkembangan lanjut memandangkan penganjur belum membuat pengumuman rasmi.

"Kalau ikutkan memanglah kecewa, tetapi masalah teknikal berlaku di mana-mana konsert. Jadi, saya beri ruang kepada penganjur dan minta pengarah muzik diganti.

"Biasalah bila anjurkan konsert, memang macam-macam masalah yang timbul," katanya ketika ditemui pada sidang media Akustika Kekasih Awal dan Akhir di Pusat Konvensyen Loong Sing, Johor Bharu pada 20 Oktober depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Project, Shirazdeen Karim enggan mengulas lanjut, sebaliknya satu kenyataan rasmi berhubung penundaan konsert akan menyusul dalam waktu terdekat.

Selain Jamal, konsert berdurasi dua jam dengan rangkaian 16 lagu popular itu akan diserikan dengan penampilan istimewa penyanyi legenda lelaki yang masih dirahsiakan identiti.

Selain itu, dua cahaya matanya, Yamani Abdillah dan Zaki Yamani turut diundang menyerikan konsert yang dijangka mampu memuatkan 2,800 penonton.

Sumber: Berita Harian


Catat Ulasan

0 Ulasan