MALAM AMAL SEPANJANG JALAN KENANGAN GAMATKAN MELAKA NOVEMBER DEPAN

Suatu ketika dahulu, industri hiburan tanah air sememangnya dipelopori oleh mereka yang hanya menjadikan karier seni sebagai satu cabang kehidupan melalui persembahan menerusi bakat yang lahir dari jiwa tanpa pengaruh negatif yang besar, namun siapa menyangka dan menduga populariti yang dikecapi segelintir dari anak seni ini hanya bertahan dalam satu jangka masa tertentu, tanpa ada perubahan drastik walaupun ada ketika mereka masih diperlukan. 

Generasi terdahulu mungkin mengenali Dato' Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jefrydin, Dato’ Yusni Hamid, Mariam Ahmad, Helen Velu, A. Rahman Onn, S. Mariam, Hairee Kool, dan Sophia Ibrahim. Kehebatan mereka mengalunkan pelbagai rentak lagu menjadikan setiap persembahan, melodi dan lagu yang ditampilkannya menjadi malar segar sehingga ke hari ini. 

Atas inisiatif bagi membantu kebajikan para artis, Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal 'Sepanjang Jalan Kenangan' pada November depan. Memilih Melaka  International Convention Centre, Ayer Keroh, Melaka sebagai lokasi penganjuran, Malam Amal yang bakal menampilkan P.Radhi dan Abon bersama barisan artis legenda tanah air seperti Dato' Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jefrydin, Dato’ Yusni Hamid, Mariam Ahmad, Helen Velu, A. Rahman Onn, S. Mariam, Hairee Kool, dan Sophia Ibrahim ini bakal dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam.

Ketika dihubungi Wajib Tonton (WT), Sandakiah Azez yang merupakan Timbalan Presiden PKAVM, merangkap Ketua Penyelaras Program berkata, "Tujuan utama malam amal ini dianjurkan adalah untuk mengumpul dana bagi tabung kebajikan persatuan. Seperti yang umum ketahui, ramai dari kalangan artis veteran kini sedang diuji dengan masalah kesihatan. Kos rawatan dan perubatan kini semakin meningkat dan ramai dari kalangan mereka ni tidak lagi menerima tawaran untuk berkarya kerana tidak mampu dari segi fizikal. Mereka bergantung harap kepada anak-anak, atau cucu-cucu untuk menyara kehidupan seharian, di mana mereka juga ada komitmen masing-masing. 

Adalah menjadi tanggungjawab persatuan untuk membantu ahli-ahlinya. Walaupun tidak sebesar mana sumbangan tersebut, tapi dapatlah juga meringankan sedikit beban perbelanjaan. Selain daripada itu, artis veteran bukan hanya tidak mendapat tawaran kerana masalah kesihatan, tetapi ada juga yang terpaksa bersaing dengan artis-artis muda. Mereka (artis lama) seringkali mendapat bayaran tidak setimpal dengan pengalaman mereka. Bayangkan harga artis lama lagi rendah dari artis baharu. Jadi sampai ke hari ini masalah ini tidak juga berjaya diselesaikan," katanya.

Ketika ditanya mengenai persembahan malam amal tersebut, Sandakiah yang juga merupakan anak kepada seniman tersohor, Allahyarham Datuk Abdul Aziz Sattar menyifatkan malam amal pada November depan sebagai malam kenangan seniman dan seniwati tempatan yang lahir dan membesar di Melaka. 

"Pada Malam Amal Sepanjang Jalan Kenangan ini, kami akan menyajikan sebuah persembahan eksklusif dari Mariam Ahmad, P.Radhi, Helen Velu, Dato' Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jefrydin, Dato’ Yusni Hamid, A. Rahman Onn, S. Mariam, Hairee Kool, dan Sophia Ibrahim. Kesemua bintang ini akan mempersembahkan seleksi lagu-lagu terbaik era 50-an hinggalah 90-an. Ada juga lagu-lagu dari filem melayu lama yang masih segar dan menjadi siulan ramai. Kepada anda yang ingin menyaksikan secara dekat seniman dan seniwati ini beraksi, anda dijemput hadir," kata Sandakiah berharap Malam Amal yang dirancang November depan dapat dijayakan dengan sebaik mungkin. 

Dalam pada itu, Sandakiah Azez juga berharap isu membabitkan bayaran artis lama sehingga kepada pemilihan artis ramai followers hanya diberikan job sahaja berdasarkan rating di stesen televisyen tempatan dapat diselesaikan agensi dan kementerian berkaitan melalui produksi tersebut.  Sandakiah yang teruja menantikan debaran malam amal tersebut berharap peminat muzik tanah air dapat memberikan peluang dengan membeli tiket bagi menyaksikan persembahan bintang pujaan mereka sambil beramal. 

Selain itu, PKAVM mengalu-alukan juga sokongan daripada pihak jabatan dan agensi kerajaan, badan-badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu melalui penajaan Platinum, Emas, Perak dan Gangsa berharga antara RM10,000.00 ke RM50,000.00; belian meja berharga antara RM2,000.00 ke RM8,000.00 (10orang); ruang iklan dalam buku cenderamata dengan harga antara RM1,000.00 ke RM4,000.00; tajaan barangan atau sumbangan ikhlas. 

Untuk tempahan dan maklumat lanjut, boleh hubungi Timbalan Presiden PKAVM, merangkap Ketua Penyelaras Program, Puan Sandakiah Azez (0102660562), Setiausaha, Puan Norlydiawati Shahibullah (0192529805), atau email kemalamamalpkavm@gmail.com segera. 

Amy Ikram by wajib tonton.

Catat Ulasan

0 Ulasan