RAHSIA SINGKAP KISAH SILAM 1987?

Bagi anda penggemar filem dan karya seram, filem Rahsia mungkin pilihan bijak bagi meletakkan ia sebagai naskhah wajib tonton Ogos ini. Rahsia ditangan Shamyl Othman untuk tayangan 2023 adalah rentetan daripada tajuk yang sama pernah dihasilkan Othman Hafsham, 36 tahun yang lalu. Pada tahun 1987, Rahsia dibintangi Noorkumalasari, Shukery Hashim, Noraini Hashim, Yusof Haslam, S.Roomai Noor dan ramai lagi itu pernah memenangi 8 anugerah utama di Festival Filem Malaysia ke-7, termasuk Filem Terbaik yang memberi saingan pada filem Puteri dan Mawar Merah.

Menerusi Rahsia yang diterbitkan Astro Shaw dengan kerjasama Five Star Trading dan Kuman Pictures pula adalah filem tahun 2023 yang menampilkan Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks serta Nabil Zakaria di samping penampilan istimewa Othman Hafsham dan Susan Lankester

Pembukaan Rahsia seakan-akan mengimbas kenangan lalu apabila kelibat Susan Lankester sebagai penampilan khas bahkan kemunculan Pelakon Lelaki Terbaik FFM5 1984 menerusi Matinya Seorang Patriot, Eman Manan membuktikan Rahsia ditangan Shamyl ada kelainan tersendiri walaupun perjalanan naskhah ini cuba meletakkan versi 1987 sebagai rujukan bagi menghidupkan gaya dan mood perjalanan naskhah ini yang tentunya tidak mengecewakan penonton.

Mengisahkan Ramlah seorang suri rumah, pulang bercuti ke rumah bapanya Tan Sri Karim sempena ulang tahun kelahiran beliau, bersama-sama suaminya, Hamdan seorang pensyarah, serta dua anak mereka, Marina dan Saiful. Namun, keadaan bertukar menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba hilang sewaktu mereka berkelah di tepi pantai. Dalam pada itu, pihak polis yakin Saiful hilang, namun Ramlah  mula diganggu kelibat anaknya sehingga berjaya membongkar satu tragedi menggemparkan. Namun, mampukah Ramlah merungkai rahsia disebalik kehilangan tersebut?. Semuanya bakal terjawab dalam Rahsia yang mula ditayangkan hari ini, bermula 10 Ogos di pawagam seluruh tanah air.

Jika dilihat dari segi lakonan semua pelakon yang membintangi naskhah ini, penulis merasakan Nabila Huda dan Eman Manan ada kekuatannya tersendiri. Berikan sahaja apa jua watak pada mereka, pasti digalas dengan baik. Gandingan dua pelakon hebat ini nyata tidak mengecewakan penonton bahkan kehadiran pelakon lain seperti Marsha Milan, Fikry Ibrahim, Mislina Mustaffa dan ramai lagi tu juga turut membantu sekaligus berjaya meletakkan Rahsia sebagai saingan terdekat buat filem Harum Malam jika tercalon di Festival Filem Malaysia akan datang. Namun, penampilan Eman hanya seketika walaupun wataknya boleh dikembangkan sedikit kerana penulis merasakan tidak puas untuk menonton Eman Manan di layar perak kembali.

Jika dilihat pada keseluruhan filem ini, kredit harus diberikan kepada Alfie Palermo sebagai penulis skrip dan lakon layar bagi Rahsia sehingga berjaya dihasilkan dalam bentuk visual ditangan pengarahnya, Shamyl Othman. Namun, penulis sedikit terkilan tetapi dalam keterujaan sekiranya Rahsia versi Reboot ini menampilkan kembali Noorkumalasari walaupun sekadar sebagai penampilan khas. Namun ia tidak berlaku, namun penulis percaya walaupun tiada Kak Noor dalam naskhah reboot ini, tetapi penampilan Noorkumalasari semasa Malam Gala Rahsia di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan penulis terhadap pelakon dan penyanyi legenda tersebut.

Alfie Palermo selaku penulis skrip dan lakon layar ketika ditemui media semasa Tayangan Perdana Filem Rahsia di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini menyifatkan Rahsia sebagai sebuah naskhah penting yang mengimbas kembali nostalgia filem yang sama bertajuk Rahsia tahun 1987.

"Untuk versi Reboot, kami telah mengolah jalan cerita asal namun tema serta bahasa visual yang menjadikan filem Rahsia sebuah 'cult-classic' masih dikekalkanIa turut diperbaharui untuk memberikan nafas baru buat generasi penonton muda mahupun penggemar filem asal. Di samping penggunaan teknologi terkini, kami turut mengambil pendekatan 'practical effects' yang digunakan di dalam filem 1987.  Kami memilih Shamyl Othman, anak kepada pengarah filem asal, Othman Hafsham kerana pengalamannya mengarah filem seram Kami Histeria dan siri Gantung. Harapan saya versi Reboot ini mendapat sambutan dan semoga lebih banyak versi Reboot dan Remake filem-filem lama diterbitkan pada masa hadapan," katanya berharap penonton dan peminat filem tempatan menyukai naskhah ini.


Sementara itu, Othman Hafsham yang mengarahkan Rahsia tahun 1987 pula ketika berkongsi kepada media berkata, bukan mudah untuk menerbitkan karya yang seakan sama walaupun jalan ceritanya sedikit berbeza. Rahsia yang dihasilkan tahun 1987 dahulu sedikit berbeza dengan yang dihasilkan anak saya, Shamyl.


"Ada sedikit perbezaan dan pembaharuan yang saya nampak, iaitu dari segi teknik suntingan dan olahan penceritaan. Gaya kami berbeza tetapi untuk Rahsia 2023 ini saya gembira kerana Shamyl berjaya membuktikan antara Rahsia 1987 dengan Rahsia versi Reboot ini banyak perbezaannya walaupun ia mengambil latar masa dan tempat seakan sama. Saya berharap penonton dapat menerima filem ini,", katanya.



Shamyl Othman yang sebelum ini pernah mengarahkan beberapa buah drama dan filem termasuk Rahsia (2023) selepas Kami Histeria (2014), dan Rembat (2015), menyifatkan Rahsia versi Reboot bukanlah sebuah karya yang dihasilkan untuk bernostalgia semata-mata, tetapi penghasilannnya adalah untuk memberi penghormatan kepada nakshah asal bapanya yang pernah dihasilkan tahun 1987 dengan tajuk yang sama.


"Ia bukan menyingkap kisah silam yang pernah berlaku dalam Rahsia 1987, tetapi tujuan asal saya adalah mahu menarik kelompok penonton baharu agar menonton kembali naskhah asal yang pernah dihasilkan tahun 1987", katanya


Walaupun sudah hampir 36 tahun berlalu, namun impak filem Rahsia arahan Othman Hafsham yang mencetuskan fenomena tahun 1987 kembali diperkatakan. Apatah lagi watak Ramlah yang pernah dilakonkan oleh Primadona Tersohor, Noorkumalasari dengan watak Ramlah lakonan Nabila Huda menjadi ukuran malahan penulis mengakui antara Noor dan Nabila mempunyai perbezaan yang cukup ketara. Nabila Huda yang ditemui media di malam gala tersebut berkata, beliau cukup teruja melakonkan kembali watak yang pernah menjadi fenomena apatah lagi Noorkumalasari merupakan pelakon pujaan beliau.



"Nak kata teruja tu memanglah, apatah lagi Ramlah ditangan Noorkumalasari tu besar auranya. Pertama kali saya dipertemukan dengan Noorkumalasari itu rasa macam tak percaya. Tapi saya cuba potretkan watak Ramlah dengan cara saya iaitu lebih moden dan sesuai dengan keadaan sekarang", kata Nabila Huda tidak menafikan antara Ramlah versinya dengan Noorkumalasari masing-masing ada keistimewaannya.


Menariknya filem ini juga menambilkan lagu runut bunyi bertajuk 'Alunan Lara', nyanyian Njwa yang sedikit sebanyak memberikan nafas bahawa dalam 'rahsia' ada jawapannya. Rahsia kini dipawagam seluruh negara.


Amy Ikram by wajib tonton.

4/5 Wajib Tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan