Jika anda pernah merasai bagaimana sambutan ketika lagu-lagu nasyid diputarkan di corong radio pada tahun 1990-an, waktu itu penulis masih kecil dan lagu-lagu nyanyian Nadamurni, Rabbani, Hijjaz, Raihan, Inteam, Mestica, Brothers bermain difikiran, sehinggalah ke era kemunculan penyanyi solo seperti Imad, Hafiz Hamidun, Daqmie, Fitri Haris dan sebagainya memecah tradisi muzik popular, ketika itu industri muzik tanah air bagaikan menerima 'gelombang' baharu namun perjuangan untuk mengenengahkan irama kerohanian ke seluruh pelusuk hati masyarakat terbukti berkesan malahan sehinggalah ke hari ini industri muzik nasyid mampu berdiri sama tinggi dengan muzik pop, rock, balada dan sebagainya.
Melihat sambutan penonton ketika penganjuran Konsert 5 Rukun diumumkan, rata-rata peminat memberi respond positif malahan penjualan tiket bagi menyaksikan bagaimana Rabbani, Hijjaz, Inteam, Mestica dan Daqmie disatukan di atas pentas, penulis merasakan ada kekuatan luar biasa walaupun lokasi yang dipilih adalah Zepp Kuala Lumpur, iaitu ditengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur dan merupakan antara kawasan hiburan terkenal di ibu kota.
Menjejakkan kaki menelusuri ruang ke dalam Zepp sebelum usai acara yang menghimpunkan legenda muzik nasyid tempatan, penulis begitu kagum melihat bagaimana irama kerohanian mampu menambat hati pendengar muzik malahan senarai lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam tersebut menyuntik nostalgia tersendiri. Dendangan lagu-lagu seperti 'Kasih Kekasih, Pergi Tak Kembali, Sumayyah, Tangis Sebatang Tamar, Fatamorgana, Layar Keinsafan, Assalamualaikum, Sahabat Selamanya dan banyak lagi itu memberi signifikan dan definasi bahawa irama nasyid masih relevan dalam industri muzik tempatan.
Ketika menjawab pertanyaan media dan berkongsi keterujaan, Isman Nadim dari Kumpulan Hijjaz menyifatkan 5 Rukun yang dipersembahkan pada Jumaat malam itu sebagai kenangan yang cukup berharga. Konsert hampir 2 jam itu memberi petanda bahawa irama nasyid masih segar memandangkan semua peminat yang hadir menyokong setiap artis atau kumpulan yang membuat persembahan.
"Istimewanya apabila kami bersatu di atas pentas, peminat yang hadir bukan sahaja meminati satu-satu kumpulan, malahan mereka turut menyokong persembahan kumpulan lain. Saya cukup teruja menyaksikan sambutan peminat di sini. Dalam usia Hijjaz yang memasuki tahun yang ke-26, saya merasakan inilah kenangan paling manis untuk kami abadikan dalam sejarah perjuangan kami," katanya.
Azmee Abdul Manaf, 51, atau Daqmie pula menegaskan, "Tanpa peminat yang menyokong perjuangan kami, mana mungkin kami dapat mengadakan persembahan di sini. Buat penganjur yang bertungkus lumus mahu kami beraksi di sini untuk anda, saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan Insya-Allah jika ada rezeki, kita akan berjumpa sekali lagi untuk konsert seterusnya," katanya penuh teruja.
Samirah Hambali, salah seorang penganjur Konsert 5 Rukun ketika berkongsi kepada media, mengatakan jika diberi keizinan untuk beliau membawa siri kedua konsert ini pada tahun berikutnya, beliau bersedia dan jika ada penambah baikkan atau kekurangan dalam konsert sebelum ini, beliau memohon sejuta kemaafan.
Konsert 5 Rukun yang dipentaskan di Zepp Kuala Lumpur pada 15 September lalu merakamkan kenangan manis dan pastinya akan tersemat dalam sanubari sebagai rakaman bersejarah buat dirinya dan industri muzik seluruhnya.
0 Ulasan