DEBARAN PENUH MAKNA AINA ABDUL

Bermula dengan kejayaan konsert solo pertama ‘A Night With Aina Abdul’ 1.0 (‘ANWAA’) pada tahun 2021 dan diikuti dengan penganjuran edisi kedua tahun lalu, penyanyi berimej estetik, Aina Abdul yang juga merupakan pemilik trofi vokal terbaik di Anugerah Juara Lagu selama dua tahun berturut-turut kini bakal tampil dengan konsert solo berskala besar pada November depan.

Memilih Axiata Arena Bukit Jalil, konsert yang bakal berlangsung 18 November depan itu bakal menyaksikan Aina Abdul secara solo selepas 13 tahun menjadi penyanyi. Anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu bakal mempersembahkan 33 buah lagu hits termasuk secara medley itu bakal menampilkan pengarah muzik tersohor, Mac Chew di mana konsert ini akan diiringi barisan band dan pemuzik orkestra. 'A NIght With Aina Abdul 3.0' itu merupakan konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) bersama Aina Abdul Entertainment (AAE).

Aina Abdul yang ditemui media di The Starhill, Bukit Bintang pada petang selasa menyifatkan konsert yang bakal berlangsung 18 November depan itu sebagai rakaman kenangan yang tentunya akan menjadi sebuah konsert bersejarah dalam karier seninya sebagai seorang penyanyi.

“Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan PRIHATIN bagi menganjurkan konsert solo berskala besar di lokasi yang cukup gah seumpama ini.  Sejujurnya, pengalaman membuat persembahan di Axiata Arena sewaktu AJL telah memberikan satu pengalaman memukau dan tidak boleh dilupakan sama sekali. Sebagai penyanyi, saya tentunya mempunyai impian untuk mengadakan konsert solo di sini. Kepercayaan yang diberikan ini sekaligus meletakkan penanda aras baharu dalam pencapaian rencana seni saya secara peribadi.



Konsert ‘ANWAA’ 3.0 ini juga merupakan tanda penghargaan kepada peminat setia yang amat saya sayangi khususnya kelab peminat saya AINATIONS yang tidak pernah berhenti menyokong dan menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya. Tanpa mereka, mana mungkin saya dapat bertahan dalam industri yang cukup mencabar ini. 

Oleh kerana konsert kali ini merupakan kesinambungan daripada dua konsert yang diadakan sebelum ini, saya sepasukan telah bekerja keras untuk membuat perancangan rapi bagi memastikan agar penganjuran kali ini adalah edisi yang terbaik pernah dianjurkan. Apa yang pasti, saya akan tampilkan konsep berbeza terutamanya daripada pelbagai aspek secara keseluruhan agar mampu memberi kepuasan yang tiada tolok bandingan kepada para peminat kelak.”

Buat julung kalinya juga, kolaborasi strategik yang terjalin di antara pihak PRIHATIN dan AAE menerusi penganjuran bersama konsert ‘ANWAA’ 3.0 pada kali ini turut menyokong inisiatif untuk menggerakkan misi mengumpul dana dengan menyalurkan sebahagian daripada hasil jualan tiket kepada Tabung Kasih PRIHATIN khusus bagi kegunaan dan manfaat pendidikan pelajar yang tidak berkemampuan dalam kategori B40 dan asnaf di peringkat institut pengajian tinggi.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, “Penganjuran Konsert ‘ANWAA’ 3.0 ini bakal memberi manfaat buat pelajar di menara gading yang kurang berkemampuan dari golongan asnaf untuk mengurangkan beban kos sara hidup di kampus. 

PRIHATIN amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan terutama dalam memperkasakan pendidikan negara ke aras yang lebih tinggi di persada dunia.

 Saya teruja kerana diberi peluang untuk menganjurkan konsert ini yang bukan hanya bersifat komersial semata-mata tetapi turut menekankan konsep ‘Berhibur Sambil Beramal’.

Saya gembira untuk bekerjasama buat kali pertama bersama Aina Abdul untuk sama-sama mencari dana melalui jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan untuk tujuan kebajikan. 

PRIHATIN turut berterima kasih kepada pihak korporat dan orang perseorangan yang membeli tiket korporat sekaligus memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan.”


Dalam pada itu, penganjuran konsert ’ANWAA’ 3.0 ini juga disokong oleh Kementerian Komunikasi Dan Digital menerusi MyCreative Ventures serta turut diserikan dengan kehadiran B De Paris selaku Rakan Pengurusan Konsert, ERA & SINAR selaku Radio Rasmi, GEMPAK selaku Rakan Digital Rasmi dan ticket2u selaku Platform Jualan Tiket Rasmi.

Tiket untuk menyaksikan konsert ANWAA’ 3.0 akan mula dijual dengan harga RM98 (Silver), RM188 (Gold), RM258 (Platinum), RM288 (VIP), RM388 (VVIP) dan RM488 (MIP) bermula 15 September 2023 di www.ainaabdul.my

Catat Ulasan

0 Ulasan