FILEM ANWAR: THE UNTOLD STORY KINI DI NETFLIX

Bagi anda yang belum menonton Anwar: The Untold Story yang ditayangkan di pawagam 18 Mei lepas, boleh berbuat demikian menerusi tayangan pembukaannya di saluran penstriman popular, Netflix sejak khamis lalu. Filem arahan pengarah terkenal Indonesia, Viwa Westi itu merupakan sebuah karya yang memaparkan suka duka kisah hidup dan jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hinggalah 1998.

Filem yang menampilkan Farid Kamil, Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan itu merupakan antara filem terlaris di Netflix dan menduduki carta pertama menewaskan filem seram, The Pope's Exorcist arahan Julius Avery. Menurut Zulkiflee Anwar Haq atau Zunar, Penerbit Eksekutif,  Anwar :The Untold Story dalam satu kenyataan berkata, beliau melihat sambutan yang diterima terhadap naskhah filem ni agak baik dan maklum balas penonton agak berbeza. 

"Penonton filem ada dua, ada yang menonton kerana mahukan hiburan dan ada juga yang menonton sambil menggali falsafah dan mesej yang tersirat dalam sesebuah karya. Saya melihat kedua-dua aspek ini sebagai satu cabaran untuk menjual sesebuah cerita. Ada yang suka dan ada jugak yang tidak. Walaupun tema filem ini cuba membawa falsafah tentang perjuangan, namun sedikit sebanyak ia mengajar kita tentang erti kasih sayang, kesetiaan dan tanggung jawab dalam hidup sebenarnya," katanya.

Menyifatkan filem Anwar: The Untold Story sebagai pembuka jalan bagi mendokumentasikan khazanah warisan dan sejarah negara, Zunar turut berkongsi kegembiraan apabila filem terbitannya itu bakal ditayangkan di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai bahan rujukan untuk pelajar dan generasi seterusnya.

Diterbitkan oleh Yusrych Global Sdn Bhd, Anwar: The Untold Story kini boleh ditonton di saluran Netflix. 

Catat Ulasan

0 Ulasan