Menyasarkan komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran, syarikat produksi yang menerbitkan filem MagiK ingin ‘mendekati’ golongan itu melalui tayangan khas filem berkenaan sepanjang dua bulan berturut-turut di beberapa lokasi terpilih mulai 16 Sept ini sebelum dibawa ke panggung.
Salah seorang pemilik syarikat produksi filem itu, 42nd Pictures, Bea Tanaka, yang merupakan isteri pengarah Yasu Tanaka dari Jepun berkata pihaknya mahu menampilkan kelainan untuk masyarakat luar bandar termasuk golongan yang mempunyai masalah pendengaran.
“Tujuan tayangan khas ini ialah untuk berkongsi filem dengan para penonton. Versi yang akan ditayangkan untuk tayangan khas ini ialah versi yang mempunyai closed caption yang memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran.
“MagiK memaparkan kisah orang kampung di Kampung Kuantan, Kuala Selangor dan kami mahu mendekati golongan sasaran seperti masyarakat luar bandar menerusi konsep tayangan khas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Bea lagi, pihaknya juga bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Perak untuk melibatkan komuniti dengan masalah pendengaran negeri itu dalam projek berkenaan.
Selain itu, mereka juga menjemput sekolah pendidikan khas di sekitar Ipoh dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
“Kami amat berterima kasih kepada PORT (People Of Remarkable Talents) Ipoh yang menaja tayangan di Ipoh untuk 2 hari.
“Untuk tayangan-tayangan ini kami juga bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Perak untuk melibatkan komuniti pekak,” katanya.
Tanaka berkata Bea ialah bekas guru pendidikan khas untuk golongan bermasalah pendengaran selama 15 tahun dan hingga kini dia masih akrab dengan golongan istimewa berkenaan.
Menurutnya, idea untuk MagiK diperolehi selepas dua idea disatukan iaitu; pertama, hubungan Bea dengan komuniti pekak dan kedua minatnya kepada alam semula jadi.
“Begitulah cara dua idea ini digunakan untuk mencipta cerita tentang seorang gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip,” tambah Tanaka.
Tanaka berkata, dia juga berpeluang melihat konsep tayangan wayang pacak pada tahun 2017, apabila Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT) menjayakan tayangan Nota - iaitu filem pertama arahannya yang menampilkan Maya Karin.
Filem itu ditayangkan pada 2015.
Justeru, menurutnya pengalaman itulah yang mendorong dia dan isteri untuk merancang salah satu tayangan khas di Terengganu dengan konsep wayang pacak.
“Kami amat teruja untuk berinteraksi secara langsung dengan para penonton yang akan hadir untuk tayangan-tayangan khas ini,” ujarnya.
Tanaka berkata bahawa MagiK bukan sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip, tetapi turut mengajak penonton menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan bermasalah pendengaran.
MagiK menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain
Tayangan khas filem MagiK membabitkan tujuh lokasi terpilih di seluruh tanah air membabitkan lokasi di Warung Adri, Kuantan 16 September ini disusuli Pantai Telaga Papan (23 September) dan Space08000, Sungai Petani (29 September).
Tayangan khas di Terengganu akan diadakan di tepi pantai dengan konsep Wayang Pacak.
Selain itu, lokasi tayangan khas di YMCA, Kuala Lumpur (1 Oktober); YMCA, Georgetown, Pulau Pinang (7 Oktober); PORT, Ipoh (14 dan 15 Oktober) Tiga lokasi tayangan khas itu akan melibatkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran. Tayangan khas MagiK di YMCA KL, adalah sebahagian dari sambutan International Deaf Day.
Jadual tayangan khas akan berakhir di Embrace Hall, Johor Bahru pada 20 Oktober.
Sumber: Malaysiakini
0 Ulasan