KONSERT SUDIRMAN ARSHAD PENUH NOSTALGIA

Melihat sosok tubuh Liza Aziz mengalunkan seleksi lagu-lagu terbaik Allahyarham Sudirman Arshad bersama Ernie Zakri, Hazama dan Arish Mikael, penulis merasakan inilah momen paling 'mahal' yang dapat penulis dan penonton rasai kerana Bintang Legenda era 80-an itu bukanlah seorang penyanyi biasa, malahan pengalamannya ketika pernah beraksi bersama Penghibur Nombor Satu Asia ketika konsertnya di Chow Kit pada 18 April 1986 menjadi penanda aras untuk beliau bertapak sekaligus membuktikan aura sebagai anak pasangan seniman dan seniwati tersohor, Aziz Jaafar dan Normadiah bukan calang-calang biasanya.

Walaupun hanya menjadi penyanyi latar untuk Konsert Sudirman di Chow Kit, Liza Aziz berkata, antara kenangan paling manis yang beliau tidak dapat lupai adalah ketika Arwah Abang Sudir (panggilan manja Liza buat Sudirman) meminta agar Liza menjahit baju bermanik untuk digayakan Arwah dalam konsert tersebut. Tanpa berfikir panjang. Liza bersetuju dan beliau bersama ibunya, Normadiah bertungkus lumus menyiapkan baju bermanik tersebut untuk dipakai Sudirman pada malam konsert tersebut.

Dalam berkongsi kenangan, Liza Aziz tidak dapat menahan air matanya yang jatuh ke pipi setiap kali bercerita tentang kebaikan Arwah Sudirman, kata Liza, Sudirman antara satu dalam sejuta, kerana keperibadian penyanyi kesayangan rakyat itu bukan sahaja disaksikan peminatnya, malahan Arwah turut menyanjungi rakan artis lain terutamanya penyanyi wanita bersuara manja, Uji Rashid. Kata Liza, Sudirman mahu menerbitkan album khas buat Uji Rashid, apakan daya, tuhan lebih menyayanginya. 

Mengalunkan seleksi lagu-lagu terbaik Sudirman seperti Teriring Doa, Jauh Di Sudut Hati dan Terasing secara medley, Liza Aziz berjaya memukau pendengar dan peminat muzik tanah air melalui suara gemersiknya menerusi lagu Merisik Khabar. Menurut Liza, inilah persembahan pertamanya bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) sepanjang empat dekad pembabitannya sebagai penyanyi. 

"Inilah persembahan pertama saya bersama Orkestra MPO di Dewan Filharmonik Petronas walaupun saya pernah menyanyi di sini beberapa tahun yang lalu. Saya berterima kasih kepada pihak DFP kerana memilih saya untuk bersama-sama dalam konsert tribute ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai konsert solonya, Liza Aziz berkata dia dalam perancangan untuk mengadakan konsert bersama Azlina Aziz dan jika diizinkan Allah SWT, Liza dan Azlina akan berkongsi pentas selewat-lewatnya tahun hadapan dalam sebuah konsert khas. Menurutnya lagi, penganjur bagi konsert ini sudah ada dan hanya menunggu masa untuk diumumkan sahaja. 

Arish Mikael yang suaranya seperti  Sudirman Arshad juga menjadi perhatian penonton apabila mengalunkan lagu medley Sudirman bertajuk Apa Khabar Orang Kampung, Sepetang di Pinggir Bukit, Anak Gembala dan Joget Kenangan Manis. Populariti Arish sebagai penyanyi jalanan kini berbeza apabila anak muda berusia 20 tahun itu dipilih untuk mengadakan persembahannya bersama orkestra dipentas berprestij yang kini memasuki tahun yang ke-25 penubuhannya. 

Menurut Arish, beliau sedikit gementar ketika menyanyikan lagu-lagu popular arwah, memandangkan inilah kali pertama beliau membuat persembahan berskala besar di sebuah dewan yang menjadi idaman semua pengkarya muzik. Katanya lagi, inilah momen paling manis dan tidak akan dilupakannya apabila dapat bersama-sama penyanyi hebat seperti Hazama, Liza Aziz dan Ernie Zakri di atas satu pentas.

Siapa menyangka kehebatan vokal Hazama dan Ernie Zakri ketika diminta menyanyikan lagu bertajuk Milik Siapakah Gadis Ini dan Smile, Big Spender & Memory (from Cats) secara medley. Kelunakan suara Ernie dapat dilihat apabila membawakan lagu Bis Spender secara kabaret malahan membuktikan Bekas Juara Bintang RTM 2004 ini berada di kelasnya yang tersendiri. 

Bagi Hazama, membawakan lagu-lagu Sudirman di dalam Konsert Tribute ini adalah sebagai penghormatan tertinggi DFP buat dirinya walaupun hanya berpengalaman 17 tahun di dalam industri muzik tanah air. 

"Nak kata teruja, gementar dan sedikit perasaan takut itu memang ada bagi setiap penyanyi ketika mahu membuat persembahan. Untuk konsert ini, saya sedikit risau sekiranya saya tidak mampu menjadi yang terbaik, tetapi dengan izin Allah SWT saya mampu menghiburkan kalian dengan lagu-lagu popular Sudirman yang semestinya begitu dekat di hati saya," kata Hazama menutup bicara.

Jika dilihat dari segi penggunaan teknologi Hologram yang menampilkan Sudirman Arshad ketika minit terakhir konsert ini boleh dianggap sebagai satu percubaan tetapi sekiranya hologram Sudirman itu muncul di atas pentas bersama-sama Hazama ataupun Liza Aziz dan mereka berduet ini pasti menjadi kejutan yang tidak disangka. Dalam situasi ini, penulis memberi kredit buat seluruh tenaga kerja DFP kerana berjaya membawakan teknologi ini walaupun sekadar percubaan pertama dalam konsert besar di DFP. 

Konsert Tribute Sudirman yang telah berlangsung pada 16 September 2023 di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur itu merakamkan kenangan dan memori tersendiri buat semua yang hadir bukan sahaja dikalangan penonton malahan mereka yang terlibat menjayakan penganjuran konsert bersejarah ini. 

Kredit Gambar: MPO

Catat Ulasan

0 Ulasan