"Andai kata satu hari nanti, bakat saya sebagai penyanyi terhenti di sini, saya reda dan berserah pada kehendak dan ketentuanNya", ujar Dato' Sri Siti Nurhaliza ketika ditemui media semasa Pelancaran Album Sitism di The Face Suites, Kuala Lumpur pada petang Rabu.
Siti yang memakai busana serba keemasan itu menyifatkan setiap apa yang dimilikinya pada hari ini adalah anugerah pemberian dari Yang Maha Esa. Berkongsi kepada media, Penyanyi Nombor Satu Negara itu tidak menolak kemungkinan sekiranya satu hari nanti beliau bukan lagi seorang penyanyi, namun berharap apa yang telah berlaku akan menjadi titik tolak untuk dirinya memperbaiki diri khususnya dari segi penjagaan kesihatan kerana baginya suara adalah aset penting bagi seseorang Penyanyi.
"Walaupun agak mencabar saat merakamkan kesemua lagu untuk album ini, saya percaya apa yang berlaku ada hikmahnya. Jika Allah SWT nak tarik apa yang Dia berikan satu persatu, saya terima dan sesungguhnya saya tidak pernah menyesal dengan jalan yang saya pilih," kata Siti ketika berkongsi saat kehilangan suara apabila berada di studio untuk menyiapkan rakaman lagu untuk album bertajuk Sitism.
Dalam usia yang ke-28 tahun penglibatan Siti dalam arena seni suara tanah air, Siti berkata, tanpa peminat setianya mana mungkin adanya Siti Nurhaliza. Akui Siti, pengalaman lalu banyak mengajarnya tentang erti kehidupan, bagaimana dia menyesuaikan diri, membina karier, menghiburkan peminat dan terus menyanyi selagi masih disayangi.
Ketika ditanya tentang penerbitan album Sitism, Siti berkata, agak sukar untuk berdepan dengan situasi genting di mana beliau hampir kehilangan suaranya.
"Alhamdulillah, dapat juga saya menyiapkan album ini walaupun rakamannya dibuat pada bulan Ramadan dan ketika itu saya mengalami kehilangan suara. Kemudian, rakaman dibuat semula bagi membetulkan kualiti rakaman pertama. Bagi anda yang telah mendengar lagu-lagu dari album Sitism, saya amat menghargainya," katanya.
Sitism merupakan album ke-20 Dato' Sri Siti Nurhaliza yang mengandungi 12 buah lagu ciptaan komposer tempatan dan Indonesia. Sebelum ini, Siti telah melancarkan 8 buah lagu pengenalan, dan pada hari ini album penuh (Deluxe) Sitism dilancarkan. Sitism membawa maksud cara Siti menyanyi, ia merangkumi kualiti persembahan, ciri khas dan gaya seorang yang bernama Siti Nurhaliza.
Pelantun suara Jerat Percintaan yang memenangi Anugerah Juara Lagu ke-11 tahun 1996 itu kini beruntung kerana masih bertahan di dalam industri muzik tempatan malahan berjaya mengeluarkan album fizikal terbarunya, Sitism dalam bentuk Cakera Padat (CD), selain digital.
Ketika menjawab pertanyaan media, Siti berkata pemilihan tarikh 20 September 2023 sebagai tarikh pelancaran album beliau ke-20 adalah kerana sebagai simbolik bagi mewakili jumlah keseluruhan album solo yang pernah dihasilkannya. Walaupun berjarak hampir dua bulan pelancaran album Sitism dan album Sitism edisi deluxe dengan penambahan 4 buah lagu, Siti dapat mempromosikan lebih banyak lagu sebelum muncul album lengkap.
Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini beliau dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula.
Tambah Siti, album Sitism menggambarkan diri beliau seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan vokal. Pada detik ini, beliau memilih untuk terus menghasilkan album yang terbaik di samping dapat mengangkat karya insan seni lama dan baharu.
Album Sitism bertambah istimewa apabila Siti mengundang penyanyi rock legenda, Dato’ Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih. Ini merupakan penampilan pertama Dato’ Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.
Lagu-lagu di dalam album Sitism sehingga kini telah mendapat 1.6 juta strim sejak dilancarkan sehingga pertengahan September 2023. Bagi peminat muzik, harus mendapatkan album Sitism yang diterbitkan Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd yang sudah pun berada dipasaran.
0 Ulasan