TEBUS ANGKAT PRINSIP DAN HARGA DIRI MANUSIA


Duit memberi definisi yang pelbagai oleh setiap manusia. Ada yang hidup mewah kerana duit malah tidak kurang yang masih bermati-matian bekerja untuk hanya mencari duit untuk digunakan sehari-harian. Meski ‘si kaya’ mahupun ‘si miskin’, selagi namanya sebuah kehidupan, memiliki duit adalah satu keperluan untuk kelangsungan hidup.

Tetapi adakah setiap manusia menggunakan ‘jalan’ yang ‘lurus’ dan betul untuk mendapatkan duit?  Barangkali isu inilah yang sangat signifikan dan mahu diangkat oleh Jason Chong lewat naskhah terbaharu arahannya, Tebus dan diedarkan oleh MyContent Distribution. 

Tebus yang dibawakan oleh Vian Media Sdn Bhd ditunjangi oleh bintang hebat tanah air iaitu Aedy Ashraf, Azhan Rani, Jay Iswazir dan Marisa Yasmin. Bersama mereka, pendatang baharu yang semakin meningkat naik, Ahirene Ahirudin dan Idan Aedan menyuntik kelainan dan sesuatu yang segar dalam karya hasil tulisan Sky Khor.



Ia bukan sembarangan naskhah meski masih mengangkat tema kehidupan masa kini. Tebus memiliki sesuatu yang unik dan mampu membuat audiens berfikir setelah menontonnya.


“Satu perkara yang tidak boleh dinafikan kita kini hidup dalam dunia yang penuh konflik. Sama ada ia peperangan antara negara, skandal tanpa penyudah dan perebutan kuasa namun tanpa disedari kita juga secara peribadi berdepan dengan konflik yang ‘membunuh’ jika tidak dikendalikan dengan baik. Tebus akan menjadi sebuah naskhah yang mengajak kita berfikir bahawa manusia boleh berubah kerana banyak perkara sama ada ia baik atau buruk.


“Dan duit adalah antara faktor utama yang merubah manusia. Kenapa saya katakan begitu? Anda akan menemui jawapannya di dalam Tebus,” ujar Jason Chong yang juga merupakan  Penerbit Eksekutif Tebus.


Mengangkat kisah tentang seorang pengawal keselamatan, Johan yang telah menculik pewaris barangan kemas, Ana untuk mendapatkan jantung di pasaran gelap bagi membantu adiknya, Jalil. Kerana terdesak Johan melakukan perbuatan jahat tersebut namun perancangannya tidak berjalan lancar apabila Bakar iaitu bapa tiri Ana tidak mahu membayar walau satu sen pun hasil penculikan tersebut.



Berdasarkan situasi tersebut, Tebus yang berdurasi 114 minit membawa penonton masuk ke dalam dunianya yang penuh dengan aksi, kasih sayang, kemanusiaan, empati dan berkenalan dengan ‘dunia gelap’ yang sentiasa menanti untuk menjerumuskan seseorang ke dalam kemusnahan.


Menurut calon Pengarah Terbaik dari Festival Filem ke-23 ini, pemilihan barisan pelakon seperti Aedy yang digabungkan bersama Idan dan Ahirene adalah sebuah keputusan yang tepat setelah melihat hasil kerjasama mereka di layar skrin.


“Seperti kita ketahui Aedy Ashraf adalah seorang aktor yang baik dan mampu memainkan apapun peranan yang diberikan kepadanya. Walaupun dia perlu bekerja dengan pemain baharu dalam industri, chemistry di antara mereka pantas tercetus.  Dan Ahirene menepati kriteria Tebus yang memiliki unsur aksi dan romantik, begitu juga sifat spontan yang ada dalam diri Idan menghidupkan naskhah ini dengan sangat baik,” kata Jason Chong.


Tebus yang menjalani penggambaran 100 peratus di Kuching, Sarawak kini boleh ditonton di Prime Video bermula 31 Ogos 2023 dan boleh ditonton di seluruh Asia Tenggara. Langganan Prime berharga RM25 di Malaysia dan penonton boleh melanggan secara percuma selama 7 hari untuk menonton filem Tebus.



Filem ini dihasilkan dengan Bantuan Kewangan oleh Film in Malaysia Incentive (FIMI)  dan rebat tunai (cash rebate) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).


Jangan terlepas menyaksikan Tebus edaran MyContent Distribution ini kerana menerusi naskhah ini anda akan menemukan erti menjalani kehidupan dengan keputusan paling tepat agar ia menjadi sebuah kembara yang sangat bermakna.


Catat Ulasan

0 Ulasan