Mempersembahkan kira-kira 20 buah lagu klasik melayu pelbagai zaman, Penyanyi Aruel Ariel & The Fasola komited dalam menghiburkan peminat semasa Showcase ‘Ronggeng Malaya’ di Regal, Menara Mustapha Kamal, Damansara Perdana, Petaling Jaya pada Sabtu malam, 2 September. Aruel yang menyampaikan seleksi lagu lama nyanyian Biduanita Negara Puan Sri Saloma, Tan Sri P.Ramlee dan Nona Asiah, antaranya, ‘Jalan Bersama, Darah Muda, Pahlawanku, Malaysia Baru, Itulah Sayang, Bila Larut Malam’ dan banyak lagi itu memberi penghormatan buat seniman dan seniwati legenda. Showcase yang berlangsung pada malam tadi dan berakhir malam ini, adalah susulan dari Ronggeng 1957 yang telah diadakan pada 19 Ogos lepas.
Ketika dihubungi Wajib Tonton, Aruel Ariel, 37, berkata, beliau terharu dengan sambutan penonton yang hadir menyaksikan persembahannya. Walaupun masih baharu dan cuba untuk dikenali, Aruel tidak menolak kemungkinan jika apa yang dilakukannya itu menjadi penanda aras untuk beliau terbang lebih jauh memandangkan genre muzik yang dibawakannya adalah retro klasik yang sememangnya diminati pelbagai lapisan masyarakat.
"Pada mulanya saya tak percaya, tetapi bila saya sendiri membawakan irama ini, baru saya tahu bahawa lagu klasik ini ramai peminatnya. Saya bukan menumpang populariti orang yang sudah tiada, namun perjuangan saya, adalah saya mahu generasi kita yang lebih muda tahu bahawa lagu-lagu melayu lama ini cukup indah bukan sahaja dari segi melodinya malahan senikatanya yang begitu mendalam maksudnya," katanya.
Aruel yang pernah menjuarai program realiti tv, Getaran Jiwa pada tahun 2022 menyifatkan persembahan yang berlangsung selama 2 dan 3 September ini sebagai langkah awal untuk beliau lebih dikenali. Aruel yang juga merupakan graduan muzik dari Aswara berharap, peminat muzik dan hiburan tanah air dapat menerima kehadirannya bagi mewarnai industri hiburan tempatan.
Showcase 'Ronggeng Malaya' yang telah diadakan pada 2 dan 3 September 2023 itu juga menampilkan Mazlina Manan bersama Aruel Ariel & The Fasola.
0 Ulasan