ALL STARS GEGAR VAGANZA, ZAMANI TERSINGKIR MINGGU KEENAM

Penyanyi Zamani yang berada di kedudukan paling bawah pada minggu lalu, kini menerima nasib malang apabila tersingkir pada minggu keenam All Stars Gegar Vaganza (GV10) yang berlangsung di Dewan Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam tadi. 

Zamani atau nama sebenarnya Zamani bin Ibrahim, 52, memperolehi markah 56.50 peratus menerusi persembahannya yang disifatkan agak kaku dan kurang menyerlah berbanding Aliff Aziz dan Noryn Aziz, masing-masing memperolehi 62.00 peratus dan 63.00 peratus. 

Zamani yang mendendangkan lagu Kau Pergi Jua, nyanyian asal Adam Ahmad tidak berjaya mengekalkan taringnya apabila terpaksa meninggalkan pentas GV selepas enam minggu kekal menjadi bintang yang disifatkan sebagai 'legenda' di dalam industri hiburan dan muzik tanah air. 

Sementara itu, penyanyi Liza Hanim yang masih kekal berada di kedudukan paling atas memperolehi 76.75 peratus , diikuti Hady Mirza 76.50 peratus dan Azharina 75.25 peratus. 

Liza Hanim yang dikatakan bakal menjuarai GV10 malam tadi mengumumkan beliau akan mengadakan konsert solo pertamanya pada 4 Februari tahun depan.

Catat Ulasan

0 Ulasan