BELANJAWAN 2024 RANSANG PERTUMBUHAN INDUSTRI KREATIF NEGARA

Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) yang mewakili tujuh persatuan seni utama industri perfileman negara menyambut baik Belanjawan 2024.

Presiden GAFEMA, Pansha berkata, gabungan itu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim atas usaha memperkasakan pembangunan industri perfileman tempatan seiring kemajuan ekonomi negara.

“GAFEMA yakin dan percaya, Belanjawan MADANI Kedua ini akan merangsang pertumbuhan industri kreatif dalam negara.

“Pada masa yang sama, industri kreatif juga menyokong lain-lain industri secara keseluruhan yang berkaitan.

“Kefahaman Perdana Menteri berkaitan aktiviti seni budaya bukan sekadar hiburan adalah sangat dikagumi bagi membantu memelihara, melestarikan dan menyebarkan warisan budaya dalam masyarakat,” katanya.

Menurut Pansha, pelbagai insentif diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 untuk industri hiburan diyakini dapat memberi manfaat terutama RM60 juta di bawah Dana Kandungan Digital (DKD).

Katanya ia dapat mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan.

“Ia secara langsung mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara dalam pelbagai pekerjaan seperti artis, pengarah filem, kru belakang tabir dan banyak lagi,” katanya.

Tambahnya, RM90 juta peruntukan di bawah Insentif Penerbitan Filem Di Malaysia (FIMI) juga akan terus menggalakkan penghasilan filem tempatan bertaraf antarabangsa.

Jelasnya, pindaan menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem secara langsung turut menarik minat kemasukan produksi filem asing membuat penggambaran di Malaysia.

“Pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas, acara hiburan seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan di Selangor, Wilayah Persekutuan harus dicontohi oleh negeri-negeri lain yang mengenakan duti hiburan.

“Kadar 25 peratus duti hiburan sedia ada yang terpaksa ditanggung oleh rakyat antara duti hiburan tertinggi di dunia,” katanya.

GAFEMA diwakili oleh Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (MEWA), Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM), Persatuan Pasca Produksi, Animasi Dan Kandungan Kreatif Malaysia (POSTAM), Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS).

Selain itu, Pansha berkata, GAFEM turut menghargai usaha kerajaan menganjurkan semula Anugerah Seni Negara sebagai acara tahunan.

Menurutnya, ini bermaksud kerajaan menghargai jasa serta sumbangan penggiat seni kepada negara.

“Melalui acara secara tahunan itu, ia dapat mengiktiraf dan menghargai tahap tertinggi kepada tokoh-tokoh, penggiat seni, budaya dan warisan,” katanya.

Sumber: Malaysia Kini

Catat Ulasan

0 Ulasan