BUDAK FELDA GEMENCHEH BOYS JADI PEMAIN KRIKET BERTARAF DUNIA

Mampukah 6 budak Felda yang digelar ‘6 Jahanam’ meraih pingat emas kriket di peringkat antarabangsa? Gemencheh Boys ialah sebuah filem inspirasi yang diadaptasi daripada kisah benar 6 budak Felda Bukit Rokan Utara dan guru mereka, Cikgu Azman. 

Diterbitkan studio terkemuka Astro Shaw bersama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures, filem yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 26 Oktober ini bukanlah filem sukan semata-mata. Ia mempertaruhkan jalan cerita penuh inspirasi di sulami gelak tawa, perasaan bangga dan menyentuh hati dengan tema semangat setia kawan dan keupayaan untuk mencapai kejayaan.  

Menerusi tagline ‘no retreat, no surrender’, Gemencheh Boys memaparkan kisah Shafiq dan lima sahabatnya semasa zaman persekolahan. Kenakalan mereka sering diperkatakan bukan sahaja di sekolah, tetapi dalam kalangan penduduk kampung. 


Demi menjadikan mereka manusia berguna, Cikgu Azman bertanggungjawab untuk membimbing dan mendorong mereka menyertai pasukan kriket sekolah. Meskipun cikgu Azman tidak mempunyai asas tentang sukan yang dianggap elit itu, dia bertekad membimbing ‘6 jahanam’ -  Shafiq, Rashid, Fauzi, Amin, Shukri dan Azad untuk bermain kriket, sekaligus mengubah kehidupan mereka. 



Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kebangsaan Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017. Gemencheh Boys membuktikan kita sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa jua latar belakang, apabila meletakkan kepercayaan dan kesungguhan, pasti mampu meraih kejayaan ; ‘from zero to hero’. 


Menarik lagi, babak-babak yang dipaparkan amat dekat dengan masyarakat kita dan ia akan membawa penonton mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak pada era 1990an. Antaranya main cop tiang, mandi sungai, petik buah mangga selepas balik sekolah, berbasikal sekitar kawasan kampung dengan kawan-kawan, lawan labah-labah dan simpan dalam kotak mancis, denda ketuk ketampi, layang-layang dan banyak lagi. 


Gemencheh Boys adalah hasil arahan pemenang Cerita Asal Terbaik Festival Filem Malaysia 2017, Jason Chong bersama Eric Ong. Cerita asalnya diilhamkan oleh Jason dengan kerjasama Sky Khor untuk penulisan skrip.


Menurut Penerbit Eksekutif Gemencheh Boys merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, “Filem Gemencheh Boys adalah sebuah cerita Malaysia dengan karakter dan mesej yang amat dekat dengan masyarakat kita. Tema yang dipersembahkan membuktikan kita semua, tanpa mengira latar belakang, mampu meraih kejayaan serta menjadi luar biasa atas usaha dan kepercayaan.”  



“Astro Shaw percaya Gemencheh Boys mempunyai tarikan hebatnya tersendiri, selain muncul sebagai naskhah berkualiti serta sarat dengan pengisian yang mampu meninggalkan kesan. Harapan kami agar filem ini dapat memberi inspirasi kepada masyarakat Malaysia berbilang kaum serta menyuntik minat terhadap karya tempatan.”


“Dalam usaha mempromosikan Gemencheh Boys, kami telah mengadakan tayangan eksklusif. Kami berbesar hati apabila menerima maklum balas positif, lebih-lebih lagi apabila penonton bersorak dengan laungan ‘Monceh Mogah’ (Gemencheh Megah), di samping tepukan gemuruh bagaikan di stadium selepas tamat tayangan. Sebuah pengalaman menonton yang sangat berbeza”. 


Gemencheh Boys menampilkan pelakon berpengalaman seperti Pekin Ibrahim, Farah Ahmad dan Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar yang mempamerkan persembahan cukup meyakinkan. Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem ke-28, Pekin Ibrahim sekali lagi menonjolkan sisi berbezanya apabila membawa watak Cikgu Azman yang memerlukan dialog dalam dialek Negeri Sembilan. Selain itu, Gemencheh Boys menyandarkan wajah-wajah baru dalam arena lakonan sebagai tunggak utama Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq. Turut membintangi adalah Zaidi Omar, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin, Arumugam A/L Vedan dan penampilan istimewa Farah Fauzana


Lagu rasmi filem ini adalah ‘Siapa Kami’ nyanyian penyanyi rap terkenal dari Negeri Sembilan, W.A.R.I.S bersama David Koon, Andrew Lui dan Ronald Mok.



Pengarah, Penulis Skrip, Cerita Asal Gemencheh Boys, Jason Chong menyatakan filem ini adalah tentang transformasi dan harapan.


Gemencheh Boys adalah sebuah kisah sebenar yang memaparkan tentang bagaimana seseorang mengubah kehidupan orang lain dengan memberi harapan dan keyakinan. Kami yakin filem ini mampu membuatkan penonton mengakui bahawa semua orang boleh menjadi seperti Gemencheh Boys jika percaya pada diri sendiri.”


Astro Shaw menjalinkan kerjasama bersama jenama tempatan APOM! dalam rangka promosi filem. Penonton boleh dapatkan t-shirt dan beg eksklusif Gemencheh Boys X APOM! di www.apom.my bermula 9 Oktober atau di outlet APOM! bermula 26 Oktober.  


Gemencheh Boys juga mendapat sokongan daripada Malaysia Cricket Association dan Kementerian Belia Dan Sukan. Antaranya kolaborasi di acara julung kali diadakan di Malaysia, Internasional Cricket Counsil  - ICC Men’s Cricket World Cup Trophy Tour.  Selain itu turut bekerjasama bersama pusat beli belah AEON dan jenama DJI dalam rangka promosi filem. 


untuk menonton trailer , sila klik poster

Pembelian tiket Gemenchech Boys boleh dibeli awal di pawagam seluruh negara bermula 18 Oktober ini.  


Gunakan #Gemenchehboys bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Gemencheh Boys di platform TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak. 


Nantikan Gemencheh Boys, sebuah cerita adaptasi dari kisah sebenar tentang enam budak FELDA yang digelar ‘enam jahanam’ yang berjaya mencipta sejarah dalam dunia sukan antarabangsa. Filem ini bakal berada di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober ini. 

Catat Ulasan

0 Ulasan