MAJED SALLEH MENINGGAL DUNIA

Pengarah dan pelakon Majed Salleh meninggal dunia pada jam 6.22 pagi tadi. Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 65 tahun. Berita pemergian aktor itu dikongsikan adik iparnya, penyanyi Shiha Zikir.

“Abang ipar saya, Abdul Majed Mohd Saleh telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi (Jumaat).

“Mohon sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham, semoga diampunkan segala dosa-dosanya dan tergolong bersama golongan beriman,” kata Shiha.

Shiha berkata dia seolah-olah tidak percaya dengan kehilangan abang iparnya itu.

“Masih tak percaya, rasa nak delete balik post tadi,” ujarnya.

Pada Mei lalu, Majed dilaporkan dimasukkan ke hospital akibat lemah jantung apabila fungsi organ itu hanya tinggal 25 peratus saja. Dia juga pernah menjalani pembedahan memasukkan perentak jantung di Hospital Serdang.

Majed terkenal dengan lakonan dalam drama rantaian popular, Gerak Khas dan Metro Squad KL Gangster: Underworld 2. Allahyarham juga pernah mengarahkan filem Syaitan Munafik dan Gerak Khas Undercover. Selain itu, Allahyarham juga merupakan pelakon filem Mekanik (1983), Kembara Seniman Jalanan (1986), Tragedi Oktober (1996), Bara (1999) Lembing Awang Pulang Ke Dayang (2009), dan Nasi Kandar Rosmerah (2013). 

Sumber: Malaysiakini

Catat Ulasan

0 Ulasan