Diadaptasikan daripada novel popular bertajuk Petrichor, Astro Ria tampil mempersembahkan karya terbaharu bertajuk ‘My Famous Ex-Boyfriend’, sebuah drama percintaan penuh suka duka yang bakal menghidupkan slot MegaDrama. Siri drama ini diterajui barisan pelakon dan penyanyi terkenal tempatan seperti Qasrina Karim, Hael Husaini dan Nadhir Nasar.
'My Famous Ex-Boyfriend’ merupakan drama yang menggambarkan kesan buruk buli siber yakni salah satu isu sosial popular yang kerap berlaku di kalangan masyarakat kita terutamanya golongan muda yang lebih dikenali sebagai ‘digital natives’.
Drama rantaian ini mengisahkan kehidupan Sameera yang bertemu dengan Ishaak ketika remaja dan saling jatuh cinta sebelum Ishaak ditawarkan untuk menjadi seorang artis popular dengan nama Haque Zuhal. Populariti Haque mengakibatkan keretakan hubungan mereka sehingga membuat kehidupan Sameera penuh dengan cabaran dan rintangan yang diterima oleh pengikut-pengikut sosial media. Sukar buat Sameera untuk melupakan cinta pertamanya sehingga dia bertemu dengan Jamie yang berkongsi peristiwa silam yang sama.
Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, “Isu sosial semasa seperti buli siber ini lebih banyak berlaku pada zaman sekarang di mana rakyat Malaysia lebih selesa meluahkan semuanya di sosial media berbanding secara bersemuka. Naratif drama ini mengetengahkan tekanan yang dihadapi mangsa siber buli terutamanya di kalangan orang muda. Lantas drama rantaian ‘My Famous Ex-Boyfriend’ menerusi slot MegaDrama ini amat relevan untuk penonton-penonton bahkan masyarakat umum yang berkemungkinan terkesan dengan isu yang dipaparkan sebagai satu langkah untuk menyebarkan kesedaran tentang buli siber, dan ini turut dikuatkan dengan pemilihan barisan pelakonnya yang datang daripada latar belakang yang berbeza.
Selain itu, plot utamanya yang menerokai first love ketika di usia remaja serta perasaan suka duka yang dirasai selepas itu merupakan satu genre yang mempunyai daya tarikan tersendiri. Penceritaan sebegini amatlah popular di mana-mana sahaja. Lebih-lebih lagi dengan gandingan baharu yakni Qasrina Karim dan Hael Husaini yang akan membuat para penonton tertunggu-tunggu episod baharu pada setiap minggu. Para peminat Hael Husaini juga pasti akan teruja untuk menyaksikan lakonannya buat pertama kali di kaca TV. Kami berharap para penonton terhibur dengan penceritaan setiap watak sekaligus mengambil ikhtibar daripada pengajaran-pengajaran yang terselit”, tambahnya lagi.
‘My Famous Ex-Boyfriend’ merupakan drama pertama Hael Husaini selepas 17 tahun bergelar penyanyi dan penulis lagu dalam industri hiburan. Hael juga merupakan pelantun runut bunyi drama ini yang bertajuk Diam. Menerajui drama ini sebagai Ishaak/Haque Zuhal, Hael Husaini bakal bergandingan bersama pelakon cantik Qasrina Karim sebagai Sameera. Drama arahan Hadith Omar ini mempamerkan kemunculan perdana Qasrina sebagai heroin bagi slot rantai popular, MegaDrama.
Turut menjadi tunjang utama drama ini merupakan hero kesayangan ramai, Nadhir Nasar yang membawa watak chef bernama Jamie yang juga dipamerkan sebagai seorang ‘suami syaitan’ kerana meninggalkan isterinya yang lumpuh. Adakah para penonton akan membenci Jamie atau sebaliknya seiring perjalanan roller coaster drama ini?
Pempengaruh media sosial serta Youtuber terkenal, Cupcake Aisyah juga membuat penampilan dalam drama ini sebagai sebagai Dahlia, seorang artis yang sedang meningkat naik.
‘My Famous Ex-Boyfriend’ bakal menemui para penonton Astro mulai 23 Oktober setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (saluran 104). Rancangan ini turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO. Ia juga akan ditayangkan di Sooka menerusi pelan langganan mudah alih pelan Sports & Entertainment serendah RM1.15 sehari, tanpa kontrak.
0 Ulasan