PESONA YONNYBOII KEMBALI



Penyanyi hip hop dan komposer yang baru-baru ini gempar dengan berita kehilangan dari platform Instagram muncul kembali dengan album baru Persona. Bintang yang merangkul Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 tahun lepas ini telah
mengadakan majlis pelancaran album penuh kedua beliau pada tanggal 7 Oktober 2023 di Putrajaya Challenge Park – Skatepark secara besar-besaran dari jam 4 petang hingga malam.

Kemenangan di AIM ke-23 turut melayakkan penyanyi muda ini membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik berjumlah RM200,000 daripada MyCreative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).


Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, “Sokongan dan galakan daripada kerajaan terutamanya melalui agensi seperti MyCreative Ventures serta kerjasama dengan pemain industri di bawah Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) amat penting dalam melonjakkan pembangunan industri muzik tanah air. Program seperti Dana Kandungan Digital (DKD) ini membantu mengetengahkan bakat-bakat tempatan untuk terus menghasilkan muzik yang berkualiti seiring dengan citarasa masyarakat zaman sekarang”.

Insentif tersebut bukan sekadar memberi suntikan semangat kepada Yonnyboii untuk menghasilkan karya baru kepada peminat tetapi juga menggalakkan beliau untuk terus bergiat aktif dalam industri kreatif.


Sebagai sebahagian daripada usaha menghargai sokongan peminat terhadap beliau, dana tersebut telah digunakan untuk menerbitkan lagu dan video muzik selain urusan pemasaran serta promosi buat album terbaru ini.

Zainariah Johari, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures berkata, “Dana Kandungan Digital (DKD) yang dahulunya dikenali sebagai Dana Industri Kandungan Digital (DIKD) adalah kesinambungan di bawah Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) sejajar dengan penubuhan Content Malaysia Pitching Centre (CMPC) bertujuan memudah dan menggalakkan penggiat industri seni dan muzik dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan muzik yang berdaya cipta serta berupaya dipasarkan dalam negara mahupun antarabangsa.”


Sementara itu, Rosmin Hashim, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) terhadap RIM dan industri muzik tempatan menerusi hadiah geran DKD kepada 4 pemenang utama anugerah

AIM23 termasuk Yonnyboii yang memenangi kategori ‘Album Terbaik’. Rosmin yakin bahawa Anugerah Industri Muzik (AIM) akan terus kekal sebagai platform yang menerajui pengiktirafan kualiti dan kecemerlangan penggiat muzik tempatan di Malaysia.


Acara pelancaran album ini melakar sejarah dalam perjalanan seni Yonnyboii kerana belum ada penyanyi yang mengadakan pelancaran album di lokasi seperti itu dengan skala gergasi. Ramai yang telah hadir di acara tersebut.

Antara yang menjayakan pelancaran album itu termasuk artist jemputan Alyph, Killa Driz, Guccimith, dan Asyraf Nasir. Tidak melupakan para hakim yang juga memainkan peranan yang penting dalam acara ini, ia termasuk SXPH, Dmet Si Lain, Zahier, Nazar Hashi, Joe Ipoh, Fuad Saifullah, dan Mariss Khan.

Malah untuk mengukuhkan lagi pelancaran album ini, stesen radio tersohor Malaysia Erafm yang dipilih sebagai stesen radio rasmi telah memberi sokongan yang amat padu terhadap perasmian album ini. 
Seramai 300 orang hadir memeriahkan pelancaran album ini.

Hadiah istimewa kepada peminat beliau melalui album penuh berjudul Persona ini menceritakan perjalanan beliau dalam mencari jati dirinya yang sebenar, khasnya melalui muzik. “Ia menceritakan bagaimana saya mencari bunyi yang mencerminkan identiti saya sendiri. Saya melalui beberapa persona untuk mencari identiti ini. Jadi album ini menggambarkan persona saya dalam setiap lagu. Kesemua lagu dalam album ini berbeza-beza mengikut persona saya yang bervariasi,” ujar Yonnyboii tentang album terbaru ini.

Menurutnya lagi, niat untuk mengeluarkan album ini sebenarnya sudah lama terpendam dan kemenangan di AIM tahun lepas secara tidak langsung melonjakkan semangat beliau untuk menyempurnakan demo-demo yang pernah dihasilkan selama ini.


“Ada juga beberapa lagu yang dihasilkan pada saat akhir, dan semuanya dihasilkan secara spontan kerana pada waktu itu isteri saya sedang hamil. Saya menjaga dia pada waktu itu sehinggalah dia melahirkan anak kami. Itulah perjalanan yang diceritakan di dalam album ini. Selain itu sebahagian besar rakaman album ini dilakukan di studio di rumah saya sendiri. Ini kerana saya lebih selesa merakam di tempat sendiri. Namun ada juga beberapa lagu yang dirakam di studio luar dan studio kawan-kawan saya. Yang pasti studio professional mempunyai kelengkapan yang lebih bagus. Itu tidak saya nafikan dan itu jugalah sebab utama saya bersikap lebih terbuka untuk merakam
selain di rumah sendiri. Setiap studio mempunyai suasana berbeza dan memberi hasil yang berlainan,” jelasnya Panjang lebar mengenai proses rakaman.

Untuk album Persona ini Yonnyboii memilih lagu ‘Dilamun’ sebagai single yang pertama.
“Saya memilih Dilamun kerana ia tentang isteri saya. Saya mahu menghargai isteri saya yang telah bersusah payah melahirkan cahaya mata kami. Tanpa isteri saya, album ini tak mungkin akan terhasil dengan sempurna. Penting untuk orang ramai tahu betapa saya sangat menghargai isteri saya yang tercinta,” kata Yonnyboii lagi.


Album ini turut menampilkan ramai nama-nama terkenal dalam arena hip hop serantau termasuk kawan-kawan baik Yonnyboii sendiri seperti SonaOne, MeerFly, Killa Driz, Guccimith, Alyph, Tommy King serta Adam E.


“Kesemua mereka memberikan input yang berbeza dan mereka memang gila-gila. Saya senang sekali bekerjasama dengan mereka yang memang berbakat,” ulasnya mengenai kolaborasi bersama rakan- rakan seperjuangannya.

Bila ditanya tentang cabaran dalam menghasilkan album ini, Yonny menjelaskan hanya satu cabaran yang nyata iatu dirinya terpaksa bijak membahagikan masa.


“Pada waktu album ini disempurnakan, waktu agak suntuk dan isteri saya sedang hamil dan kemudian melahirkan anak kami. Jadi saya terpaksa menyelitkan masa untuk memberi perhatian pada isteri dan anak selain memastikan album siap dengan baik. Jadi itu cabaran tersebar untuk album ini,” ujarnya.

Yonnyboii turut berharap album ini bakal disukai oleh kesemua peminatnya sepertimana beliau menyukai album ini. Persona telah berada di semua platform digital pada 22 September yang lalu.

Catat Ulasan

0 Ulasan