RAIKAN NOSTALGIA 40 TAHUN, ANUAR ZAIN TIDAK MUDAH MENGALAH

Hampir sedekad lamanya tidak melihat Anuar Zain beraksi sebegitu, menerusi sebuah konsert berskala besar yang berlangsung malam tadi. Susuk tubuh figura hebat yang mencipta nama luar biasa menerusi rangkaian lagu-lagu hebat berentak pop balada dan R&B itu telah berjaya memukau hampir 8,000 penonton membanjiri segenap ruang Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Memilih lokasi yang sama ketika penganjuran konsert terdahulu pada tahun 2012 menerusi Tiga Dekad Muzik Cinta dan Sanubari, Anuar Zain mencipta legasi luar biasanya apabila Konsert Anuar Zain 40 Tahun (AZ40) yang berlangsung malam Sabtu dianggap sebagai meraikan perjalanan ke 40 tahun Anuar Zain dalam industri muzik dan hiburan tanah air. 

Walaupun dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan, Anuar berjaya mengekalkan taring hebatnya melalui 20 buah lagu popularnya yang dimainkan secara orkestra oleh 25 barisan pemuzik handalan yang dipimpin oleh Sze Wan sebagai pengarah muzik, manakala Jennifer Thompson merupakan pengarah konsert tersebut.

Ketika ditemui sejurus selepas konsert tersebut, Anuar Zain atau nama sebenarnya Shahrul Anuar bin Zain, 53, menganggap keseluruhan persembahannya sebagai sederhana malahan pelantun suara Bila Resah dan Lelaki Ini berasa tidak puas memandangkan kotak suaranya mengalami masalah dengan tahap kesihatannya yang agak terganggu. 

"Kesihatan saya mungkin terganggu tetapi saya tetap berusaha untuk menghiburkan peminat saya. Teruja untuk saya katakan dalam keadaan hujan lebat diluar, mereka tetap hadir dan bersemangat untuk melihat saya menghiburkan kalian. 

"Saya mohon maaf seandainya ada kekurangan dari segi nyanyian dan persembahan saya pada malam tadi. Dari segi susunan muzik ia masih sama dan tidak berubah. Sebelum saya melangkah kaki masuk ke ruang stadium, jiwa saya risau sekiranya saya tidak mampu menghiburkan peminat saya memandangkan seminggu lepas saya tidak sihat dan suara saya hampir hilang. Alhamdulillah saya okay cuma nak sampai ke note music tertentu, mungkin terlalu tinggi, jika ada yang tidak sedap, maafkan saya," katanya.

Hanya berbekalkan alat penyedut udara atau nebulizer dalam setiap persembahan, Anuar Zain kelihatan agak penat seketika, namun ini tidak mematahkan semangat untuk beliau terus berjuang menyampaikan seleksi lagu-lagu terbaik antaranya seperti Kaulah Satunya, Sesucinya Cintamu, Teman Terulung, Keabadian Cinta, Bila Resah dan banyak lagi. 

Ruang stadium agak tenang dan mendayu dingin apabila Anuar mula mengalunkan sebuah lagu bertajuk 'Hujan' yang memberi penghormatan buat Penghibur No.1 Asia, Datuk Sudirman Hj. Arshad. Bagi Anuar, Sudirman adalah ikon seni suara yang terlalu hebat dan besar impaknya buat industri muzik tempatan, malahan anak seni kelahiran Temerloh, Pahang itu menjadi inspirasi buat dirinya untuk kekal relevan dalam lapangan seninya yang berakar hampir 4 dekad lamanya.

Tidak terhenti di situ sahaja apabila Anuar mengabadikan setiap inci memori kenangan yang bersalut di hatinya menerusi rangkaian lagu-lagu indah yang pernah dipopularkan oleh Dato' Sheila Majid antaranya Di dalam Emosi Ini ciptaan Mukhlis Nor yang dimuatkan dalam album kedua Sheila, Emosi pada tahun 1986. 

Kemudian, seluruh ruang stadium bergema dengan jeritan penonton apabila skrin memaparkan beberapa wajah Anuar Zain dari awal pembabitannya iaitu ketika masa kecil dan sewaktu muda remaja sehinggalah berusia separuh abad. Begitulah penangan hebatnya seorang yang bernama Anuar Zain dari kaca mata sebagai seorang penghibur yang tiada gantinya.

Menurut Anuar, ini bukan konsert terakhirnya sebagai seorang penyanyi, namun Anuar yang mengenakan 4 persalinan dari Dato' Sri Bernard Chandran berharap beliau dapat kembali lagi selepas 5 dekad dengan konsert yang lebih besar dan menakjubkan.

Konsert yang berlangsung hampir 3 jam itu turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, iaitu Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang sudi mencemar duli selain rakan artis seperti Dato' Shiela Majid, Misha Omar, Rozita Che Wan, Datin Nina Juren, Ernie Zakri, Syamel, Rahim Sepahtu, Dina Nadzir dan kemunculan rakan duet Anuar tahun 1990-an iaitu Penyanyi Ellina Razak. 

Kredit Gambar: Anuar Zain Network & Jiobuddy

Catat Ulasan

0 Ulasan