TIBA MASA ZAINAL MEMUKAU!


Menonton persembahan Zainal Abidin di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini bagaikan mencipta memori tersendiri yang mungkin sukar untuk dilupakan. Kehebatan seorang penghibur bukan sahaja diukur menerusi cara nyanyian atau melodi lirik yang dibawa, malahan ia merangkumi juga cara bagaimana seseorang penyanyi itu berinteraksi dengan penonton malahan kredibilitinya turut diakui sebagai seorang seniman yang mempunyai pesona dan auranya yang tersendiri. Itulah wujudnya sebuah konsert yang dinamakan 'Tiba Masa Zainal Abidin'.

Memulakan kerjaya seawal tahun 1977 menerusi kumpulan Headwind, kemudian bergerak secara solo pada 1991 menerusi album pertama yang diberi nama Zainal Abidin, Datuk Zainal Abidin antara penyanyi lelaki terkenal yang bertaraf legenda apabila buat pertama kalinya meraikan lebih empat dekad kariernya dalam industri muzik melalui konsert 'Tiba Masa' dengan memilih Istana Budaya sebagai lokasi penganjuran. 

Dipentaskan pada 30 September lalu, Zainal membuka persembahan dengan lagu 'Memori Luka', yang memberi tribute kepada Headwind; merupakan antara kumpulan muzik popular tahun 1980-an. Terbahagi kepada tiga segmen iaitu Zainal bersama Headwind, Zainal secara solo dan Zainal Tiba Masa,  Datuk Zainal Abidin boleh dianggap sebagai penghibur serba boleh apabila  'Tiba Masa Live In Concert' ini memberikan justifikasi bahawa Zainal antara anak seni berjiwa kental apabila dua jam persembahannya berjaya memukau pendengar dan peminat muzik tanah air, malahan rata-rata penonton yang hadir tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing kerana setiap minit yang dipersembahkan Zainal adalah cukup berharga.

Mempersembahkan kira-kira 16 buah lagu popularnya dengan 4 lagu secara medley, Datuk Zainal Abidin memecah tradisi penganjuran sebuah konsert apabila dua jam masa yang diberikannya menampakkan sisi Zainal sebagai seorang pencerita melalui setiap lagu yang dibawanya. 

Kenangan masa silam Zainal bersama Headwind dikongsikannya secara terbuka tanpa prejudis, malahan juga cerita bagaimana beliau bergerak secara solo kemudian kini sebagai seorang ayah, suami dan penghibur, membuktikan figura hebat berusia 63 tahun ini bukan calang-calang anak seni. Setiap tutur kata dari beliau kadangkala bersifat agak keras, keterlaluan namun dilihat ada positifnya. Ada ketika beliau sempat berseloroh dan bertanyakan kepada penonton, "kenapa anda mahu lihat orang tua ini?. Apa istimewanya saya berbanding orang lain?", ujar pelantun suara Hijau dan Ikhlas Tapi Jauh ini pada 1,000 penonton yang membanjiri Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.


Kemunculan secara mengejut pengarah dan pelakon terkenal Datuk Afdlin Shauki di pentas, berduet bersama Datuk Zainal menerusi lagu Ikhlas Tapi Jauh memberikan nostalgia tersendiri terhadap fenomena yang pernah dicetuskan mereka berdua menerusi  populariti lagu tersebut hampir tiga dekad yang lalu. 

Kolaborasi tanpa dirancang itu menyaksikan betapa eratnya hubungan persahabatan antara Zainal dan Afdlin diterjemahkan mereka di atas pentas membuktikan Konsert Tiba Masa sebagai momen bersejarah yang akan diingati sepanjang hayat. 

Sepanjang dua jam konsert itu berlangsung, Zainal mendendangkan beberapa seleksi lagu terbaiknya seperti, 'Segalanya Mungkin, Hanya Di Radio, Suraya, Telaga, Manis. Inayah, Baba, Bongkar' dan banyak lagi itu membuktikan beliau antara penghibur yang masih relevan dalam industri muzik tanah air. 

Dalam usianya separuh abad, Zainal menyuntik elemen kerinduan dan kasih sayang melalui tribute khas buat penyanyi Adibah Noor menerusi gesekan biola yang melatari satu video pendek dengan lagu Terlalu Istimewa. Situasi ini menggambarkan bagaimana arwah Adibah terlalu memuja Zainal sehingga kedua-dua mereka menjadi akrab malahan berkongsi minat dan muzik yang sama. Momen ini berjaya menumpahkan sedikit air mata penonton dan setiap kenangan yang telah berlaku tidak akan berulang kembali. 


Dipersembahkan BSync Live dan X-FWD Management,  konsert ini adalah untuk meraikan ulang tahun empat dekad pembabitan Zainal dalam dunia seni tanah air dan 'Tiba Masa' adalah kemunculan semula beliau selepas beberapa tahun tidak menghasilkan sebarang karya baharu dalam industri muzik tempatan.


Catat Ulasan

0 Ulasan