'AURA' LAHIRKAN ERNIE ZAKRI SELEPAS 14 TAHUN

Penantian yang sudah agak lama berlarutan bakal menemui penghujungnya buat bintang berbakat besar Ernie Zakri dan para peminat tegarnya. Setelah mengumumkan perpindahannya ke syarikat rakaman antarabangsa Universal Music Malaysia tidak lama dahulu, Ernie juga sempat memaklumkan bahawa dirinya bakal tampil dengan sebuah album penuh. Setelah memberi gambaran sedikit demi sedikit lewat wadah media sosialnya beberapa minggu lalu, album solo pertama Ernie di bawah Universal Music Malaysia yang berjudul 'Aura' akhirnya muncul menemui peminat.

'Aura' merupakan sebuah album yang membawa pesan tentang peneguhan diri dan sikap positif. Ia diolah khas oleh Ernie sendiri untuk memberi keyakinan kepada mereka yang rasa terluka dalam menghadapi kehidupan harian. Album ini mengajak pendengar untuk menghayati aura yang ada pada diri sendiri, sambil mengingatkan bahawa setiap yang berlaku dalam hidup ini adalah takdir yang sudah tersusun sekaligus bertujuan memberikan kesedaran untuk menerima segala kekurangan tanpa rasa takut.

Ernie menjelaskan mukadimah tentang mahakarya terbaharunya menerusi album 'Aura'  ini sangat istimewa, kerana ia menceritakan tentang sumber kekuatan seseorang. Semua lagu dalam album ini berkisahkan nasihat, motivasi dan sumber kekuatan untuk insan yang memerlukan semangat. Sebagai pembuka cerita kepada album ini, lagu berjudul Masing-Masing diberi penghormatan menjadi single pertama untuk memperkenalkan 'Aura'.

Masing-Masing adalah sebuah lagu galau yang bertemakan putus cinta. Digubah dan ditulis oleh Ade dari kumpulan Govinda bersama Nabila V, ia mempunyai jalan cerita tersendiri.

“Saya dan Mas Ade bersependapat untuk menghasilkan lagu galau dengan kisah putus cinta yang sedikit berbeza. Masing-Masing mengisahkan pasangan yang terpaksa teruskan kehidupan mereka dengan cara berpisah demi mencari kebahagiaan diri sendiri. Tidak semua perpisahan tentang pertengkaran atau pergaduhan. Ada perpisahan yang berlaku atas persetujuan kedua-dua pihak demi mencapai kebahagiaan sendiri. Saya tahu ramai rakyat Malaysia yang suka lagu galau sebegini,” tambah Ernie lagi. Lagu tersebut menjalani proses rakaman di Yogyakarta, Indonesia dengan begitu mudah.

Ernie Zakri menceritakan bahawa, ia tidak terasa seperti bekerja malah seolah-olah sedang bercuti kerana semuanya lancar dan senang. Kami hanya mengambil masa sehari untuk rakaman. Buat video muzik pula kami hanya perlukan setengah hari sahaja untuk penggambaran.

Video muzik yang berkonsep penuh kesenian itu menampilkan dua orang penari yang menyampaikan jalan cerita secara simbolik lewat setiap pergerakan yang ditampilkan dalam bentuk seni tari.

Ernie menceritakan tentang video muzik Masing Masing, terdapat dua orang penari yang bercerita dengan pergerakan. Setiap gerak tari ada maknanya. Sebagai contoh, ada babak mereka jatuh, itu ada maksud simbolik yang tersirat tentang mesej yang disampaikan dalam lagu itu.

Album AURA yang membabitkan ramai komposer dan penerbit mengambil masa perancangan sekitar setahun kerana Ernie mempunyai beberapa permintaan khas.

“Saya yang meminta sendiri lagu daripada penulis serta pencipta yang terbabit dalam album ini. Proses rakaman kesemua lagu juga memakan waktu sekitar tiga hingga empat bulan untuk disiapkan. Jadi saya harap para pendengar akan dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan di dalam album ini. Semoga ia menjadi teman buat mereka yang memerlukan semangat serta kekuatan itu,” bingkas Ernie menutup bicara.

Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan dan potensi Ernie Zakri untuk meluncur lebih jauh dalam karier muziknya di bawah label ini.

“Kami mempunyai perancangan yang rapi untuk memastikan nama Ernie Zakri bukan sahaja terpahat di hati peminat Malaysia, malah di rantau ini terutamanya Indonesia. Selain menghasilkan karya muzik yang berkualiti untuk para peminat, Ernie juga akan berkolaborasi bersama beberapa jenama tempatan sebagai salah satu strategi mengembangkan karier beliau. Sebagai contoh, hari ini kami melancarkan album 'Aura' Ernie Zakri bersama dengan koleksi tudung jenama tempatan Ayuwan.” katanya.

Album ini menampilkan 10 buah lagu dengan pembabitan nama-nama besar industri muzik serantau seperti Aubrey Suwito, Ezra Kong, Faizal Tahir, Amylea Azizan, Rozi Sangdewi, Helen Yap, Firdaus Rahmat,John Jeeves, Ade Govinda dan beberapa orang lagi. Ia turut menampilkan suami Ernie sendiri, Syamel yang menyumbangkan lagu ‘Jangan Hilang Percaya’.

'Aura' yang lahir selepas 14 tahun Ernie Zakri berada di lapangan seni suara tanah air boleh dianggap sebagai percubaan pertama beliau menghasilkan album solo. Pelantun suara bagi lagu Gelita, Tercipta Sempurna dan Terima Seadanya ini merupakan Juara Bintang RTM pada tahun 2009. 

'Aura' yang sudah berada di semua platform digital sejak 3 November 2023 yang lalu juga diterbitkan dalam album fizikal. Bagi pencinta album fizikal, boleh segera dapatkan di beberapa kedai muzik seluruh negara yang berdekatan. 

Catat Ulasan

0 Ulasan