EKORAN TERSEBARNYA KLIP 'PANAS' FILEM MAR RAK, 'SAYA BUKAN BIKIN FILEM LUCAH' - DATO' T.S JEFFRY


Walaupun baharu menjengah pawagam tempatan sejak semalam, Mar Rak yang diarahkan Dato' T.S Jeffry itu menerima nasib malang apabila terdapat beberapa babak dalam filem tersebut bocor. Klip yang mengandungi adegan 'panas' yang dilakonkan oleh dua pelakon utama filem tersebut tersebar seminggu yang lalu.

Bukan bertujuan untuk mencari publisiti murahan atau sekadar sebagai elemen promosi bagi membawa penonton ke pawagam, pengarah yang juga seorang pelakon hebat sekitar tahun 80-an ini menyelar tindakan tidak bertanggung jawab beberapa individu yang disyaki penyebab tersebarnya adegan tidak senonoh itu di laman YouTube baru-baru ini. 

Ketika bercakap kepada media sejurus selepas Tayangan Perdana Filem Mar Rak di sebuah pawagam terkemuka di ibu kota pada malam Isnin yang lepas, Dato' T.S Jeffry berkata tiada babak panas yang dilakukan semasa penggambaran membabitkan pelakon utama filem tersebut. 


"Jika ada pun hanya sekadar babak mesra yang menggunakan teknik kamera bagi menunjukkan keakrabatan pasangan yang bercinta. Tidak timbul isu video lucah atau babak keterlaluan. Saya masih berpegang pada prinsip bahawa saya tidak akan melakukan perbuatan tidak senonoh atau mengambil kesempatan terhadap pelakon baharu yang muncul dalam karya saya.

"Tanyalah pada mereka yang membintangi filem ini, ada atau tidak babak keterlaluan yang mereka lakonkan!. Saya berharap peminat menonton filem ini bukan sebab isu viral ini tetapi melihat kepada elemen seni tari serta kasih sayang yang saya tampilkan," katanya.

Mengulas lanjut, Dato' T.S Jeffry memberitahu filem terbaharu arahannya ini, Mar Rak menerima kelulusan penuh tanpa potongan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri. Malah syarikat produksinya akan memanggil kesemua tenaga produksi dan krew terlibat dalam waktu terdekat berhubung isu berkenaan. 


Mar Rak yang diterbitkan Pentas Wayang Production ini memaparkan kisah percintaan tiga segi antara dua  wanita yang menyintai seorang pemain Menora lelaki bernama Krasem. Akibat terlalu taksub akan lelaki tersebut, Ai Ling sanggup melakukan sihir terhadap Rashidah dan Krasem demi kepuasan hatinya. 

Filem yang mengangkat Menora Siam sebagai plot penceritaan ini diedarkan oleh Metrowealth Pictures, merupakan sebuah filem yang menerima Dana Kandungan Digital (DKD) FINAS.  Menampilkan Kael, Shatirah Amanda, Nina KSC, Dyvianna James, Erry Putra dan ramai lagi, Mar Rak bakal menemui penonton dan peminat filem tanah air bermula 2 November 2023. 


Gambar oleh: Rufdean

Catat Ulasan

0 Ulasan