Ratu Rock Ella mendedahkan hilang suara sehari sebelum Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota Edisi Utara di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada 28 Oktober lalu.
Ella mendakwa terpaksa mengambil hormon penambah tenaga di bawah seliaan pakar perubatan bagi memastikan dirinya dapat beraksi pada konsert di mana tiketnya habis disapu peminat.
Disebabkan keadaan itu, Ella tidak dapat menjayakan sesi raptai penuh konsert berkenaan. Namun, Ella bersyukur suaranya pulih beberapa jam sebelum konsert bermula.
"Saya fikir tidak boleh beraksi kerana sehari sebelum konsert, saya tiada suara. Hanya Allah tahu bagaimana saya boleh menyanyi
"Sebenarnya, jerebu memberi kesan kepada saya. Namun, macam-macam usaha dibuat untuk pulihkan suara termasuk membaca surah Yasin.
"Saya takut kerana ini kali pertama hilang suara. Sudahlah habis 14,000 tiket dibeli peminat. Malah ramai datang dari Medan dan Jakarta, Indonesia selain Brunei serta Singapura," katanya pada program Program Komuniti Ke Arah Pendengaran dan Pertuturan Yang Lebih Baik anjuran Global Hearing Care Centre (GHCC) di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur di ibu negara, kelmarin.
GHCC dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Ella menganjurkan program komuniti memfokuskan kesihatan pendengaran serta kelancaran pertuturan di setiap peringkat usia.
Kerjasama itu menyaksikan termeterainya kolaborasi antara GHCC dan Ella melalui keluaran edisi eksklusif alat bantu dengar jenama Bernafon Alpha RockQueen x GHCC.
Ella berkata, berikutan sambutan memberangsangkan, dia akan membawa konsert itu ke Kota Kinabalu, Sabah, tahun depan.
"Namun, tarikh belum ditetapkan, mungkin suku pertama tahun depan.
"Di Pulau Pinang, saya seronok kerana dapat bantu rakyat Palestin. Saya harap bantuan disalurkan melalui Tabung Cinta Gaza Malaysia sampai kepada mereka," katanya yang meraih sumbangan kira-kira RM30,000 pada konsert berkenaan.
Sementara itu, Ella mengaku tidak malu menggunakan alat bantuan pendengaran untuk kedua-dua telinga sejak setahun lalu berikutan masalah yang boleh menjejaskan kerjaya jika tidak diberi perhatian dari awal.
Ella berkata, stigma masyarakat terhadap penggunaan alat sokongan hanya untuk golongan pekak perlu dikikis agar lebih ramai individu yang mempunyai masalah sama mendapatkan pemeriksaan awal.
"Alat pendengaran ini banyak membantu. Ella percaya ramai orang ada masalah sama. Mungkin tidak serius, tetapi perlukan bantuan.
"Kami dalam industri ini kerap mendengar muzik yang kuat yang memberi kesan kepada pendengaran.
"Ini alat yang sangat baik buat saya dan rakan yang lain," katanya.
Petikan dari: Berita Harian, Fatin Farhana
0 Ulasan