JAC & NORYN BERI PENGHORMATAN BUAT SALAMIAH HASSAN


'Menghitung Hari' dan 'Gelombang' yang dipersembahkan Jaclyn Victor dan Noryn Aziz di Minggu ke-7 All Stars Gegar Vaganza yang berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam malam tadi berjaya meletakkan Jac di kedudukan kedua, manakala Noryn Aziz di kedudukan kelapan. 

Kedua-dua lagu berhantu tersebut merupakan lagu nyanyian asal Salamiah Hassan yang pernah dimuatkan dalam albumnya bertajuk 'Menghitung Hari' (1987) dan 'Suatu Penantian' (1982). Lagu yang pernah mencipta populariti tahun 1980-an itu telah berjaya menaikkan nama Salamiah Hassan sebagai seorang penyanyi rakaman yang popular, memandangkan Salamiah merupakan bintang yang dicungkil bakatnya pada tahun 1971 melalui Bakat TV anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM). Persembahan Jac & Noryn pada malam tadi adalah sebagai penghormatan buat Salamiah Hassan yang sudah 5 dekad dalam industri muzik dan hiburan tanah air. 

Ketika Jaclyn mengalunkan lagu Menghitung Hari, penulis merasakan Jac sangat menghayati bait lirik dan melodi yang dibawanya, manakala Noryn Aziz melalui lagu Gelombang, penulis merasakan seperti ada kekurangan dari segi persembahan yang dibawa beliau, namun kredit harus diberikan buat beliau kerana berjaya mengolah 'gelombang' dari lagu asal Salamiah seperti menjadi lagu miliknya sendiri. 

Persembahan Noryn pada malam tersebut agak bertenaga, namun menerusi lagu 'gelombang', dilihat seperti tiada 'feel' memandangkan kekuatan lagu tersebut sekiranya dibawa oleh Salamiah Hassan pasti memukau khalayak pendengar muzik malahan penonton sendiri, seperti mana kata komposer legenda Tan Sri Datuk Seri Ahmad Nawab dalam sesi temubual beberapa bulan yang lepas dalam konsert yang lain menyifatkan 'sesebuah lagu yang dicipta oleh seseorang komposer adalah milik penyanyi tersebut, sekiranya lagu tersebut dibawa oleh orang lain dan tidak menyentuh perasaan, maka lagu tersebut bukanlah sesuai untuk penyanyi tersebut'.

All Star Gegar Vaganza Minggu ke-7 malam tadi telah menyingkir Ezad Lazim yang memperolehi markah 58.00 peratus berbanding Nikki Palikat yang terselamat dengan markah 59.75 peratus menjadikan beliau antara bintang yang berada di kedudukan terakhir sebelum Ezad Lazim.

Catat Ulasan

0 Ulasan